*SEMENJAK dua menjak ini seorang demi seorang individu terkenal diheret ke mahkamah atas tuduhan rasuah dan penyelewengan melibatkan RM juta-juta.
Khamis baru lalu, isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meminta suapan berjumlah RM187.5 juta.
Turut dibawa ke muka pengadilan pada hari sama ialah pembantu khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor, atas tuduhan meminta rasuah RM25 juta.
Juga pada hari sama bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dibawa ke mahkamah atas tuduhan rasuah RM3 juta.
Ketiga-tiganya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. Jika mengikut tuduhan, semua mereka macam mudah sangat mendapat habuan haram RM berjuta-juta.
Apakah mereka tahu dan sedar ketika RM juta-juta-juta masuk ke saku dan perut mereka, ada berjuta-juta rakyat merintih dan menangis tidak berduit hanya untuk mendapatkan sesuap nasi untuk anak-anak?
Harap-harap hukuman – jika ada – di penghujung perbicaraan nanti, akan menyedar dan menginsafkan mereka!
*PERIHAL individu-individu yang sebelum ini dibawa ke mahkamah dari lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ramai orang bertanya:
Kenapa ada individu tidak memakai baju lokap SPRM? Mereka hendak tahu mengapa ada orang dikecualikan dari memakai baju warna jingga yang nampak gah itu?
Sepatutnya agensi anti suap yang bebas itu tidak menunjukkan pilih kasih atau pilih bulu dengan mengenakan baju lokap ke atas semua suspek.
Nanti ada persepsi bahawa di dalam lokap SPRM pun wujud anak ikan dan bapak ikan. Tidak ada beza seluang atau jerung; di sini undang-undang – dan di mata dan hati rakyat – ikan kecil atau ikan besar semua boleh buat lauk.
*TIBA-TIBA orang ramai, khasnya di Kedah, memberi perhatian dan komen terhadap apa yang dipanggil Skuad Badar yang bergiat di Sungai Petani.
Pasukan pencegah maksiat itu ditegur kerana dikatakan beroperasi – antaranya menyerbu pasangan berkhalwat di hotel murah – tidak mengikut undang-undang.
Sesetengah pihak menuduh skuad tersebut bertindak keterlaluan, contohnya yang ditangkap berkhalwat akan dibawa ke kubur untuk menyedar dan menginsafkan mereka.
Pihak polis pula menegaskan tidak pernah memberi kebenaran kepada pasukan sukarela itu untuk operasi mencegah maksiat.
Hatta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof Rawa ketika mengulas Skuad Badar pula berkata, apa-apa penguatkuasaan agama mesti dilaksanakan selari dengan peruntukan undang-undang.
Setelah dua tahun beroperasi, kenapa baru sehari dua ini hendak dihebohkan? Inilah persoalan umum yang perlu dijelaskan oleh pihak berkuasa agama negeri Kedah.
*SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi amaran kepada Astro mengenai kandungan promosi produk yang didakwa mempersenda kulit dan raut wajah orang. Ia merujuk kepada satu program hiburan yang disiarkan stesen popular itu baru-baru ini.
Pengacara yang juga penjaga utama program siaran langsung itu telah mengeluarkan kenyataan menghina ke atas seorang wanita. Pengacara yang dikatakan gila glamor itu juga mengeluarkan kenyataan rasis.
Tingkah laku dan kata-kata pengacara itu telah menimbulkan kemarahan orang ramai.
Memang sesetengah penaja yang menjadi pengacara kerap tersasar kata-kata dan ‘terloklak’ perangai ketika beraksi di pentas. Mentang-mentang menjadi penaja dan untuk mempromosi produk dia lupa perasaan dan sensitiviti orang lain.
Dia mungkin boleh mengeluarkan RM berjuta untuk menaja, tetapi duit berjuta itu bukanlah lesen untuk menghina orang secara ‘live’. Wang berjuta-juta pun kena hormat orang. Jangan ingat wang adalah raja!
*AKHIR kalam, masih mengenai program realiti TV. Sesekali menonton program hiburan, saya mendapati sesetengah yang menjadi panel juri, agak keterlaluan.
Mereka macam hilang akal, ‘kaw-kaw’ mengutuk dan mengherdik peserta, macamlah peserta tidak ada maruah diri. Juri sepatutnya memberi komen membimbing, bukan membuli.
Ada juri yang garang entah apa-apa, macamlah dia pandai sangat. Peserta ditengking, dimarah dan diaibkan. Ada peserta menangis dimarah juri.
Juri tidak perlu berlagak sangat. Sedarlah diri awak hanya juri dalam program hiburan TV, jadi janganlah berangan dan bertindak macam hakim mahkamah tinggi yang membicarakan kes skandal 1MDB.
TOK PERAK
0 Komentar untuk " Air mata rakyat & rasuah juta-juta "