Bahayanya semangat kebangsaan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bahayanya semangat kebangsaan



SEBENARNYA ‘semangat kebangsaan’ boleh digantikan dengan ‘nasionalisme’ memandangkan perkataan-perkataan Inggeris sudah banyak dipadankan ke dalam bahasa Melayu tanpa silu-silu lagi. Dalam tahun-tahun 1950-an semangat ‘nasionalisme’ berleluasa di media dalam kancah perjuangan mencapai kemerdekaan.

Namun begitu dalam keadaan politik yang sedang berlaku di dunia kini, nasionalisme boleh menjadi sesuatu yang berbahaya. Kasih, sayang dan cinta (KSC) kepada bangsa sendiri adalah sesuatu yang baik, tetapi jika semua bangsa di seluruh pelosok dunia bersemangat begitu sekali, berlakulah letusan bahaya tanpa batasan. Ia bukan andaian. Ia sudah terbukti dalam sejarah.

Ambil negara China dan Itali sebagai contoh. Tiga ribu tahun dulu, bumi China mengandungi berpuluh negeri dan kota yang dipanggil ‘negeri-negeri berperang’ (Inggeris: warring states) kerana semuanya tidak lekang saling berperang sebab KSC. Tiap-tiap negeri dan kota merasakan lebih baik, lebih cerdik, lebih mulia, lebih pintar dan lain-lain daripada yang lain.

Apabila sebuah negeri menakluki beberapa yang lain, ia menjadi sebuah yang besar di bawah satu dinasti. Ini bererti kalau dulunya ada 40 buah negeri dan kota, kini hanya tinggal 10.

Namun yang 10 itu tetap terus bersengketa. Maka banyaklah dinasti yang wujud. Demi keselamatan diri, Tembok Besar mula dibina. Timbullah seorang yang bersemangat nasionalisme KSC paling kental bernama Shi Huang Ti. Dengan dinastinya bernama Qing, beliau memerintah selama 15 tahun. Namun begitu, beliau berjaya melumpuhkan negeri-negeri dan kota-kota lain dan menyatukan semuanya.

Tembok Besar dipanjangkan lagi. Negeri-negeri yang disatukan memungkinkan terbentuknya sebuah negara China seperti sekarang ini. Selepas kematian beliau, negeri-negeri dan kota-kota yang pelbagai tumbuh semula, bersengketa dan berperang terus. Nasionalisme KSC masing-masing terus memecah-belah mereka, justeru panggilan ‘hantu’ merebak. Ia merujuk kepada orang asing atau mereka dari luar negeri dan kota sendiri.

Pusat kuasa Shi Huang TI dekat kota Xian telah saya kunjungi. Banyak askar boneka yang dibuat daripada tanah liat terdapat di situ yang dipercayai boleh menjaganya selepas mati.

Perpecahan kerana nasionalisme KSC itu memecahkan orang Cina dan membuka peluang kepada orang luar – Jepun, Rusia dan Eropah – mendominasi dan menaklukinya. Hanya setelah memasuki abad 20 barulah negara China mendapat identitinya sebagai sebuah negara merdeka yang berpadu di bawah Dr Sun Yat Sen.

Dari situ Chiang Kai Shek dengan parti Nasionalisnya pula memerintah sebelum Mao Tze Tung dan parti komunisnya mengambil-alih sejak 1949 apabila Chiang kalah. Kos mahal yang ditanggung akibat nasionalisme KSC yang sempit itu benar-benar membebankan dan merugikan mereka begitu lama.

Di Itali, kota Rom menjadi maha kuat lalu menelan semua kota lain di Itali dan banyak kota lain di seluruh Eropah, termasuk di Perancis dan England. Rom adalah lambang nasionalisme yang menggalakkan penaklukan. Sebaliknya, nasionalisme di tempat-tempat yang ditakluki pula yang meruntuhkan Rom.

Pendek kata, nasionalisme ialah penyebab negara-negara Eropah tidak henti-henti berperang, termasuk Perang 100 tahun antara England dan Perancis. Ia berkemucakkan Perang Dunia Pertama, 1914-1918, dan Kedua, 1940-1945.

Kini Presiden Perancis Macron, sempena 100 tahun Perang Dunia Pertama, mahukan patriotisme menggantikan nasionalisme. Patriotisme bererti semangat mengutuhkan diri sendiri tanpa meruntuhkan orang lain. Ini patut dianuti orang Melayu di Malaysia.

Malaysia dirakyati Melayu dan Bumiputra (Sabah dan Sarawak) tidak lebih 65 peratus, sedangkan Cina dan India serta lain-lain, 35 peratus. Ini adalah hakikat. Ia pemberian sejarah yang sudah tidak boleh dielakkan.

Lihat apa yang berlaku di Bosnia- Herzegovina, Serbia, Croatia, Sylvania dan di sesetengah negara Afrika apabila bangsa dan kaum hendak dijejaskan! Kuasa-kuasa besar lantas menyerang demi menegakkan kemanusiaan dan mengetepikan diskriminasi.

Pengajaran dari Myanmar yang dikutuk dunia kerana salah menangani Rohingya yang sedikit dan miskin itu patut diambil iktibar di Malaysia. Orang Cina dan India yang kolektifnya lebih ramai, lebih tegap dan lebih kaya tiada bandingannya dengan Rohingya.

Oleh itu orang Melayu/ Bumiputra tidak ada pilihan lain melainkan mengutuhkan diri dalam semua lapangan, dengan tidak meruntuhkan orang lain. Kata perbilangan Inggeris: Live and Let’s Live (Hidup dan Sama-Samalah Hidup). Inilah nilai dunia sekarang ini.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet
0 Komentar untuk " Bahayanya semangat kebangsaan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ