KEBELAKANGAN ini seluruh negara termasuk ibu kota, dilanda hujan dan ribut petir. Setiap petang menjelang malam, berlaku hujan diikuti kilat sabung menyabung.
Berbicara soal kilat, ada fakta menarik tentangnya. Rupa-rupanya Subang – bandar lapangan terbang lama sering jadi sebutan sejak dahulu adalah lokasi yang menerima panahan kilat tertinggi di dunia.
Laporan Jabatan Kaji Cuaca Malaysia (JKM) menyebut, kajian mendapati pada 1987, Subang menerima panahan kilat sepanjang 362 hari dalam masa setahun. Angka tersebut menjadikan Subang menerima panahan kilat hampir setiap hari dalam masa setahun.
Perangkaan tersebut juga menyebut Cibinong – sebuah kawasan perkampungan berdekatan Bandung di wilayah Jawa Barat, Indonesia mengalami pancaran kilat sebanyak 322 hari dalam masa setahun pada 1988.
Seterusnya, laporan itu menyebut Subang menerima hujan ribut petir selama 269 hari dalam masa setahun pada 1969. Selepas meneliti laporan tersebut, penulis mendapati Subang akan terus berpotensi untuk mengekalkan rekod tersebut untuk satu jangka masa panjang.
Apakah yang menarik tentang kilat? Kilat tercetus apabila berlaku perlanggaran antara awan-awan yang berlawanan caj (caj positif dan negatif) menyebabkan pengembangan haba plasma secara mendadak dengan anggaran suhu setinggi 30,000 darjah Celsius.
Dalam tempoh sesaat dua, udara panas ini bertembung dengan udara sejuk yang ada di sekelilingnya menyebabkan ia mengeluarkan alur cahaya kilat dan gelombang bunyi guruh petir sangat kuat secara serentak.
Wap air yang terkandung di dalam awan-awan tersebut langsung jatuh ke bumi menjadi hujan. Kita akan dapat melihat percikan cahaya kilat diikuti dengan bunyi guruh disebabkan anggaran kelajuan cahaya hampir 110 bilion kilometer sejam (km/j) atau 300,000 kilometer sesaat (km/s) berbanding kelajuan bunyi hanya 1,100 km/j atau 0.3 km/s.
Kilat sebenarnya telah disebut dalam al-Quran sejak 1,400 tahun yang lalu. ALLAH SWT telah menyatakan perkara ini dalam Surah An-Nur [24:43] yang maksudnya:
“Tidakkah engkau melihat bahawasanya ALLAH mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya. Dan ALLAH pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya; lalu Ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sinaran kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan.”
Penulis mendapati udara panas dihasilkan daripada kilat boleh membentuk bentuk tenaga yang sangat tinggi. Sejak awal 1980-an, beberapa kajian telah dibuat oleh saintis Barat bagi menghasilkan tenaga elektrik dengan anggaran 5 bilion unit joules (J) tenaga bagi setiap kejadian kilat dalam tempoh 10 mikro saat yang dianggarkan bersamaan dengan 500 trillion watts (W) .
Pada 2007, seorang saintis bernama Steve LeRoy dari Illinois Amerika Syarikat, berjaya mencipta alat penangkap tenaga elektrik daripada kilat yang mampu menghidupkan lampu 60 W selama 20 minit. Cabaran yang dihadapi oleh penyelidikan ketika ini ialah bila dan di mana ribut petir akan berlaku untuk menghasilkan kilat secara konsisten.
Sehingga sekarang mereka tidak dapat menghasilkan sesuatu yang jitu kerana kejadian ribut petir ini adalah jauh dari paras kemampuan manusia untuk menentukannya.
Namun, ALLAH telah memberi amaran kepada manusia bahawa kuasa dan kehebatan-Nya telah di sebalik kejadian sebagaimana yang dijelaskan dalam Surah Al-Baqarah [2:17-20] maksudnya:
“Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api. Apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) ALLAH hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat (sesuatu pun); Mereka (seolah-olah seperti orang yang) pekak, bisu dan buta. Dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran); Atau (perbandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit bersama dengan gelap-gelita dan guruh serta kilat, (dan) mereka menyumbat telinga masing-masing dengan jarinya dari mendengar bunyi petir kerana mereka takut mati. (Adakah mereka boleh terlepas) sedangkan (pengetahuan dan kekuasaan) ALLAH meliputi orang-orang yang kafir itu.”
ALLAH menyambung lagi amaran-Nya, “Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka setiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan dalam cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu dengan bingungnya). Dan sekiranya ALLAH menghendaki, nescaya dihilangkannya pendengaran dan penglihatan mereka. Sesungguhnya ALLAH Maha Kuasa ke atas setiap sesuatu.”
Penulis mendapati kita masih lagi alpa dalam menghayati laporan dan jumlah angka yang dikeluarkan pihak berkuasa. Laporan tersebut dengan jelas menyebut tentang kilat. Bagaimanapun, kita sama sekali tidak pernah mengambil iktibar daripada kejadian kilat dan apakah kebaikan kepada manusia.
Kita hanya takut setiap kali kilat, guruh dan petir berlaku. Namun kita belum mencuba untuk menghayati apakah mesej yang disampaikan oleh ALLAH di sebalik kehebatan kejadiannya itu.
Barangkali sebagai permulaan, bagi menikmati kekuasaan ALLAH, kita wajar memuji ALLAH menerusi zikir dan tasbih setiap kali berlaku kejadian kilat, guruh dan petir kerana `terbunuh syaitan’ yang ada di sekeliling kita.
* Penulis ialah Profesor Madya dan Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (Unisel)
0 Komentar untuk " Hikmah antara kilat dan Subang "