BEBERAPA episod dan insiden fahaman liberalisme yang melanda umat Islam semakin menakutkan mutakhir ini. Telah wujud perjuangan untuk kesamarataan gender, menolak bijak pandai dan ulama. Perkahwinan sesama jenis, menghalalkan perkahwinan orang Islam dengan penganut agama lain, malah tuntutan kebebasan beragama serta menukar agama sesuka hati.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyatakan kebimbangan bahawa fahaman liberalisme jelas bertentangan dengan ajaran Islam sebenar dan boleh memesongkan akidah. Fahaman sebegini perlu segera ditangani dan dibanteras hingga ke akar umbi.
Baginda bertitah demikian pada program Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah 2018 dan pelancaran Buku Fatwa Warta Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak minggu lalu. Baginda menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil langkah proaktif dan lebih tegas dengan tindakan penguatkuasaan terhadap semua pihak yang didapati cuba menyebarkan sebarang bentuk fahaman bertentangan dengan ajaran Islam.
Manakala ajaran yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng perlulah terus dipantau agar tidak terus merebak dan mempengaruhi umat Islam.
Liberalisme bererti ‘kebebasan’, merupakan satu bentuk fahaman sekularisme, iaitu memisahkan aspek agama dan membolehkan sesuatu tindakan atau amalan bebas daripada ketentuan agama.
Fahaman ini menegaskan mengenai wajibnya menghormati kebebasan individu. Penganut fahaman ini menuntut agar pemerintah perlu menjaga, melindungi kebebasan rakyat. Kebebasan berfikir, menyampaikan pendapat, kebebasan hak peribadi dan juga kebebasan individu.
Kebebasan bagi fahaman ini bermaksud setiap individu bebas untuk melakukan apa sahaja perbuatan yang ingin dilakukan. Mereka berpaksikan kepada gagasan Barat yang mempelopori kebebasan bersuara dan berhimpun.
Manakala aspek individualisme ini merujuk kepada sikap keakuan dan cinta terhadap diri sendiri. Individualisme bagi fahaman ini pula bermaksud kemerdekaan diri dan ini adalah fahaman baharu dalam anutan liberalisme yang dipanggil sebagai pragmatisme.
Rasionalis pula merujuk kepada penggunaan rasionalisasi atau mendewa dan mengagungkan akal. Ini bermaksud penggunaan akal semata-mata dalam mencari dan mencapai sesuatu kepentingan dan manfaat tanpa memerlukan kekuatan yang lain. Bagi fahaman ini, mana-mana bentuk atau perkara yang tidak boleh diterima akal, walaupun daripada al-Quran, hadis atau ijmak ulama akan ditepis dan ditolak.
Mereka juga beranggapan, pihak pemerintah wajib melindungi rakyat kerana negara terbentuk untuk menjaga hak asasi setiap individu dan negara perlu terpisah dari agama dan pemikiran sedia ada. Berdasarkan kepada fakta dan kefahaman mereka, jelas kumpulan liberal ini hanya sebahagian kumpulan fahaman sekularisme yang dibangunkan atas sikap berpaling daripada syariat ALLAH sebenar. Kufur kepada ajaran dan petunjuk ALLAH dan rasul serta menghalang manusia lain mengikut syariat ALLAH sebenar.
Kewujudan media sosial menyebabkan penganut ini cuba menularkan fahaman secara jelas dan tidak langsung. Sesetengah strategi mereka pula berusaha membina keraguan dalam kalangan orang Islam dengan menggunakan fakta dan istilah mengelirukan. Mereka ini “pandai’ dalam bidang undang-undang kerap bermain dengan fakta, akta dan bukti serta klausa tertentu untuk memancing dan menambat hati pendengar dan sasaran mereka.
Pernah suatu ketika dahulu mereka mempersoalkan hal ehwal agama yang dianggap menyekat kebebasan dan hak individu. Golongan seperti ini pernah mempersoalkan kenapa wanita tidak boleh menjadi imam atau mewalikan anak untuk bernikah?
Kumpulan ini juga berselindung atas nama kebebasan wanita menuntut beberapa perkara yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam. Mereka juga menggunakan apa juga kaedah memutarbelitkan fakta dan realiti ajaran Islam dengan gaya dan pemikiran gerakan mereka.
Wujud juga kes-kes tertentu dengan memilih orang sesat dan keliru sebagai ketua atau jurucakap kumpulan liberalisme ini. Sesetengahnya berpengaruh dan mempunyai ramai pengikut. Malah mereka menganggap ulama atau cerdik pandai Islam orang yang konservatif, kolot dan tidak tahu hak asasi manusia.
Namun niat sebenarnya, golongan liberalisme ini ingin mengajak Muslim mengikut pemikiran Barat disebut sebagai westernisasi. Dengan kaedah ini secara beransur-ansur menyerap fahaman, sekali gus menghilangkan akidah Islamiah dalam diri umat Islam.
Perlu berhati-hati bahawa penyerapan fahaman liberalisme ini merupakan satu jalan memudahkan musuh Islam menghancurkan Islam, sehingga mereka anggap fahaman liberal suatu yang mendesak, penting serta sangat sesuai dengan kemajuan Islam untuk masa hadapan.
* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM
0 Komentar untuk " Liberalisme mesti ditentang "