BIDANG kesihatan, khususnya farmaseutikal pada masa kini mengalami perkembangan yang memberansangkan demi menyahut keperluan masyarakat bagi mendepani pelbagai masalah kesihatan yang kian menular. Banyak syarikat dibangunkan untuk menceburkan diri dalam bidang farmaseutikal.
Antara yang tidak ketinggalan ialah pengusaha-pengusaha produk makanan tambahan. Terdapat dalam kalangan pengusaha ini mengetengahkan produk makanan tambahan berasaskan makanan sunnah. Malangnya, disebabkan oleh kecuaian dalam menepati standard penghasilan produk farmaseutikal, terdapat produk yang memberi mudarat kepada kesihatan masyarakat.
Pada 24 September yang lalu, Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan larangan terhadap penjualan Jus Al-Sunnah, Jus Al-Sunnah Gold dan Jus Penawar keluaran Syarikat Sri Saga Marketing Sdn Bhd. Larangan tersebut kerana didapati produk-produk berkenaan mengandungi bahan yang dikenali sebagai dexamethasone dan prednisolone. Kedua-dua merupakan bahan steroid yang telah dilarang di bawah Akta Makanan 1983.
Terdapat kes yang dilaporkan melibatkan kesan buruk terhadap pengguna produk berkenaan. Di Singapura, dilaporkan bahawa lima kanak-kanak yang mengambil salah satu daripada produk berkenaan mengalami kesan sampingan yang buruk.
Mereka mengalami sindrom crushing, yang menyebabkan wajah menjadi bulat (moon-faced) serta obesiti pada bahagian atas badan. Mereka turut mengalami peningkatan paras gula dalam darah secara mendadak yang membawa kepada diabetes dan pelbagai siri komplikasi lain.
Komplikasi kesihatan daripada amalan farmaseutikal yang tidak bertanggungjawab perlulah dielakkan kerana ia melibatkan kesihatan dan nyawa manusia. Islam amat menekankan agar setiap urusan yang dijalankan tidak membawa mudarat.
Bahkan dalam suatu hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi) (Hadis Riwayat Abu Dawud, No. 4586).” Seseorang atau sesuatu syarikat perlulah mempunyai kelayakan untuk terlibat dalam penghasilan ubatan.
Dalam bidang farmaseutikal, penghasilan dos ubat bagi tujuan penggunaan perlu melalui fasa yang panjang dan ketat agar ia selamat dan berkesan. Antara fasa-fasa itu termasuklah: (1) penyelidikan untuk menemuan bahan bioaktif yang bermanfaat bagi melawan penyakit, (2) ujian pra-klinikal yang melibatkan ujian bahan terbabit kepada haiwan, (3) siri-siri ujian klinikal bagi memastikan dos yang selamat dan berkesan untuk kegunaan manusia, (4) pengilangan produk yang telah dipastikan keberkesanannya bagi tujuan pemasaran, dan (5) pemantauan pasca-pemasaran produk secara berterusan.
Langkah-langkah yang dinyatakan merupakan protokol penting dalam proses menghasilkan produk farmaseutikal. Sekiranya protokol ini tidak dipatuhi, adalah tidak wajar bagi pengusaha-pengusaha untuk mendakwa bahawa produk-produk farmaseutikal keluaran mereka selamat digunakan dan mempunyai kesan terapeutik.
Selain daripada protokol perubatan, penghasilan dan pemasaran produk-produk makanan tambahan berasaskan makanan sunnah turut mendapat perhatian yang serius menurut perspektif Islam. Hal ini kerana penggunaan istilah “sunnah” sentiasa dikaitkan dengan Islam. Sekiranya tidak teliti, ia berpotensi mencalarkan imej agama.
Tidak dapat dinafikan bahawa banyak sunnah Rasulullah SAW yang menceritakan tentang makanan-makanan yang dimakan oleh Baginda. Misalnya, Baginda SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma ajwa pada setiap pagi, maka dia tidak akan terkena racun dan sihir (Sahih Bukhari, No. 5445).” Pengambilan kurma sememangnya menghidupkan sunnah Baginda SAW.
Namun, sunnah Baginda SAW bukan hanya pada makanan yang dimakan oleh Baginda. Sunnah tersebut perlu juga diteliti dari sudut cara pemakanan dan kadar pengambilan kurma yang dianjurkan oleh baginda. Perkara ini penting agar sesiapa yang mengamalkannya bukan sahaja beroleh pahala menghidupkan sunnah, malahan mendapat manfaat kepada tubuh badan.
Adunan pelbagai bahan makanan ke dalam satu produk makanan tambahan dikhuatiri menghilangkan semangat pemakanan terbaik yang dianjurkan oleh sunnah Rasulullah SAW. Bahkan dalam satu hadis, Baginda SAW pernah bersabda, mafhumnya: “Janganlah mencampurkan kismis dan kurma kering, dan jangan mencampurkan kurma muda dan kurma kering (Sunan al-Nasa’i, No. 5555; Sunan Abu Daud, No. 3705) .”
Percampuran pelbagai makanan sunnah tanpa kawalan juga berpotensi membawa kesan yang tidak baik kepada tubuh badan, terutamanya apabila percampuran tersebut membawa kepada kandungan gula yang tinggi. Pengambilan gula yang berlebihan sememangnya terbukti membawa kepada pelbagai siri komplikasi tubuh badan.
Kesimpulannya, penghasilan dan pemasaran produk-produk farmaseutikal dan makanan tambahan perlulah mematuhi protokol tertentu dalam disiplin farmaseutikal, di samping memenuhi tuntutan adab mengamalkan ilmu perubatan dan farmasi yang ditekankan oleh Islam.
Penghasilan dan pemasaran produk yang menggunakan label makanan sunnah perlulah dikawal selia dengan baik bagi mengelakkan salah tanggap pada Islam.
MOHAMMAD MUSTAQIM MALEK
* Penulis Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
0 Komentar untuk " Adab, tanggungjawab farmaseutikal "