PERKARA pertama dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW apabila tiba di Madinah selepas berhijrah dari Makkah pada 622 Masihi ialah membina sebuah masjid.
Menurut riwayat dan bukti sejarah, Masjid Quba’ siap tidak sampai sebulan. Hal ini membuktikan betapa Rasulullah sangat menitikberatkan soal kejuruteraan dan pembinaan.
Pembinaan Masjid Quba’ yang terletak kira-kira 3 kilometer daripada Masjid Nabawi di Madinah, dikerjakan bersama sahabat setia Nabi Muhammad dan khalifah pertama umat Islam, Syaidina Abu Bakar As-Siddiq.
Ketika mahu membina Masjid Quba’, Rasulullah telah melantik Syaidina Ammar bin Auf sebagai pengurus projek. Syaiddina Amar memulakan projek pembinaan Masjid Quba’ dengan mengumpul batu batan, tanah liat, pelepah, daun dan batang pokok kurma di sekitar Madinah, sebagai bahan binaan masjid tersebut. Pembinaan Masjid Quba’ menjadi lambang dan tunjang kekuatan serta keteguhan umat Islam ketika itu.
Justeru, apabila umat Islam berarak dan berselawat mengagung-agungkan Nabi Muhammad sempena Maulid Nabi Selasa lalu, penulis merasakan aspek kejuruteraan dan pembinaan adalah perkara yang mesti diberi nafas baharu dalam kamus kehidupan jurutera di negara ini.
Soalnya kenapa aspek masjid dan kejuruteraan pembinaan dijadikan agenda penting ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah? Atau selepas 1,400 tahun wafatnya Rasulullah, aspek kejuruteraan dan pembinaan bukan lagi menjadi satu perkara yang penting kepada kehidupan seseorang manusia?
Rasulullah telah memberikan satu pedoman dalam kehidupan manusia. Jika mahu maju, kita harus menguasai dan mendominasi aspek kejuruteraan dan pembinaan. Lihatlah apa yang sedang berlaku di China sekarang. China adalah sebuah negara yang sangat menitikberatkan aspek kejuruteraan dan pembinaan. Lihatlah di manakah kedudukan China ketika ini? China kini dianggap sebagai ‘naga terbesar’ di dunia, selain Amerika Syarikat dan Jepun.
Dalam hal ini, penulis memuji tindakan Malaysia yang memberi keutamaan kepada aspek pembangunan kemahiran tenaga kerja. Dua hari lalu, Institut Pengurusan Pembangunan (IMD) mengeluarkan sebuah laporan World Talent Ranking 2018.
Laporan tersebut menunjukkan Malaysia menduduki tempat ke-22 di dunia mendahului Britain, Perancis, Taiwan, Jepun dan China daripada segi aspek pelaburan pendidikan untuk membangunkan kemahiran tenaga kerja. Hal ini membuktikan kerajaan telah memberikan satu penekanan sangat serius terhadap soal pembangunan kemahiran tenaga kerja.
Penulis menemukan dua hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah dalam kitab Shahih Al-Bukhari bermaksud “Tidak akan ada penghakiman sehingga bangunan-bangunan yang sangat tinggi dibina.” Dan “Tidak akan datang hari kiamat, sehingga manusia berlumba-lumba meninggikan bangunan.” Maka bermulalah era kemajuan umat Islam yang dipelopori Rasulullah dalam bidang teknologi pembinaan dari sekecil-kecil sehingga setinggi bangunan pencakar langit.
Sekiranya kita mengkaji sejarah teknologi seni bina dan kejuruteraan, kita melihat bahawa bangunan bertingkat telah mula dibina pada penghujung abad ke-19. Perkembangan penggunaan teknologi keluli yang semakin meningkat dan penggunaan lif telah mempercepatkan pembinaan struktur yang dipanggil pencakar langit.
Pencakar langit telah menjadi sebahagian komponen terpenting dalam seni bina abad ke-20. Ia kini telah menjadi lambang prestij kepada setiap negara. Apa yang dikatakan oleh Rasulullah di dalam hadis di atas telah menjadi kenyataan - orang bersaing dalam pembinaan bangunan tinggi, dan bangsa bersaing antara satu sama lain dalam membina gedung pencakar langit yang paling tinggi.
Kamus Oxford menjelaskan maksud teknologi ‘aplikasi pengetahuan sains untuk tujuan praktikal, terutamanya dalam industri untuk faedah manusia dan alam semesta.’ Ini memberi keyakinan kepada penulis bahawa Rasulullah adalah pencetus kepada pembangunan teknologi setiap zaman yang sejajar dengan apa yang telah ALLAH SWT jelaskan di dalam Surah Al-Anbiyaa’ [21:104-107] yang maksudnya,
“Pada hari Kami gulung langit sebagai menggulung lembaran-lembaran kertas. Sebagaimana Kami telah memulai penciptaan pertama begitulah Kami akan mengulanginya. Itulah suatu janji yang pasti Kami tepati; sesungguhnya Kami lah yang akan melaksanakannya; Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Lohmahfuz, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hamba-Ku yang soleh; Sesungguhnya (apa yang disebutkan) dalam (surat) ini, benar-benar menjadi peringatan bagi kaum yang menyembah ALLAH); Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam; Katakanlah: “Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku adalah: “Bahawasanya Tuhanmu adalah Tuhan Yang Esa, maka hendaklah kamu berserah diri (kepada-Nya)”.”
Rekod sejarah menunjukkan bahawa, ketika al-Quran diturunkan, masyarakat Arab tidak mempunyai teknologi untuk membolehkannya melaksanakan penyelidikan tentang dunia atau pun alam semesta. Oleh itu, terdapat perbezaan yang penting antara tahap sains dan teknologi pada ketika itu, adapun ketika zaman Rasulullah ataupun zaman kita sekarang ini.
Bukti yang jelas tentang ini adalah bahawa beberapa inovasi teknologi yang namanya tidak dapat disangkal hanya beberapa dekad yang lalu menjadi elemen sangat penting dalam kehidupan kita hari ini seperti teknologi pengangkutan, komunikasi, pendidikan, perubatan, pembinaan dan sebagainya.
Kesimpulannya, umat Islam dan dunia secara khususnya mesti berterima kasih kepada Rasulullah kerana telah memberi peringatan tentang pentingnya aspek kejuruteraan dan pembinaan. Namun, pada masa sama, apakah jurutera muda di negara ini bersedia untuk menyelami apa telah dilontarkan Nabi Muhammad kira-kira 1,400 lalu. Jawapannya ialah tepuk dada tanyalah selera.
* Penulis Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (Unisel)
0 Komentar untuk " Rasulullah pencetus teknologi maju "