RAMAI yang ingat pendidikan sivik adalah pendidikan moral. Pendidikan moral mengajar sifat-sifat yang baik dan buruk seperti menghormati dan tidak sombong, ikhlas dan tidak riak.
Tetapi pendidikan sivik bukan sekadar mendidik peribadi, ia mendidik “jiwa kewarganegaraan”. Itulah sebab pendidikan sivik juga dikenali sebagai pendidikan kewarganegaraan.
Ia meletakkan peribadi dan akhlak dalam konteks negara dan dunia. Guru-guru tidak berbicara tentang sifat baik buruk secara ideal tanpa kaitan dengan kehidupan yang realistik dan isu-isu semasa dalam dan luar negara. Pendidikan sivik harus bersifat realistik.
Contohnya, penolakan ICERD secara total. Adakah ini realistik? Semasa membentang bantahannya terhadap ICERD di Parlimen pada 13 November lalu, Hadi Awang langsung tidak memetik mana-mana artikel ICERD secara spesifik yang beliau tidak setuju seolah-olah ini memberi gambaran bahawa beliau tidak membaca ICERD.
Beliau hanya menyampaikan ceramah agama secara umum dan bukan memberi kritikan yang realistik terhadap ICERD. Kelihatan seolah-olah bantahan Hadi hanya bersifat propaganda politik dan berdasarkan fobia semata-mata.
Contohnya, kalau seseorang Kristian dakwa bahawa al-Quran menyokong terorisme tetapi langsung tidak memetik mana-mana ayat al-Quran sebagai bukti, sudah tentu kita akan terfikir bahawa beliau sebenarnya tidak baca al-Quran. Kritikannya terhadap al-Quran adalah tidak realistik dan hanya berdasarkan fobia semata-mata.
Contoh ceramah Hadi anti-ICERD di Parlimen pada 13 November yang mengugut bahawa Pas mampu mengerah sejuta rakyat untuk berdemonstrasi jika tuntutan mereka tidak dipenuhi, adalah contoh radikalisasi yang membahayakan keharmonian negara. Ia bersifat ugutan ala mafia yang tidak rasional, bukan akhlak rahmah dan ilmiah seorang ulama.
YB Dr Mujahid Yusof risau tentang perkembangan radikalisasi ini. Dalam artikel bertajuk “ICERD: Absurd atau berserk”, beliau berkata, “Sikap kerajaan tidak menandatangani ICERD amat jelas tetapi perjuangan menangani gejala radikalisasi kaum dan agama belum terhenti kerana ia bukan soal ICERD tapi budaya dan sikap perkauman serta agama sempit yang semakin membimbangkan seluruh rakyat Malaysia.”
Maka, YB Dr Maszlee telah memilih tiga nilai utama yang patut ditanam dalam pendidikan sivik iaitu kasih sayang, kegembiraan dan saling menghormati. Ini bertujuan memperkasakan 4M yang ditambah elemen manusiawi selain mengira, menulis dan membaca. Malaysia tidak memerlukan ICERD bila rakyat menentang radikalisasi dan mengamalkan tiga nilai utama ini serta 4M.
Perjuangan Dr Maszlee dalam memperkasakan pendidikan sivik semula adalah langkah proaktif dalam menghadapi krisis ummah di mana salah satu daripadanya ialah gejala radikalisasi. Demonstrasi jalanan semata-mata hanya utamakan keuntungan jualan baju T dan menyemai sifat agresif.
Respons kerajaan terhadap demonstrasi ialah mengawal demonstrasi dengan memberi senyuman dan botol minuman! Kerajaan perlu menjadi apa yang Dr Maszlee namakan sebagai “Hero Teachers” kepada rakyat.
Konsep Herologikal atau Hero Teachers menjadikan pendidikan sivik realistik. Guru bukan sekadar menyampaikan informasi tetapi menjadi sumber inspirasi kepada pelajar-pelajar. Tetapi perlu diingat bahawa bukan sekadar guru sekolah sahaja yang patut menjadi hero tetapi juga ibu bapa, ahli politik, ulama, para artis, aktivis sosial patut memikul amanah Herologikal ini.
Pendidikan sivik tidak akan berjaya kalau rakyat bersifat menyerahkan amanah sepenuhnya kepada guru sekolah. Dr Maszlee telah berkata bahawa tiada peperiksaan pendidikan sivik. Maknanya ia bukan subjek hafalan dan tulisan.
Ia adalah pendidikan manusiawi yang realistik dalam melahirkan generasi anti-rasuah, tegakkan hak-hak asasi manusia, sedar tentang tanggungjawab membangun negara sehingga mampu bersaing dengan negara-negara lain.
Memperkasakan ummah bukanlah menjual baju T ICERD, membuat demonstrasi anti-ICERD, memberi ceramah agama tanpa sokongan fakta di Parlimen. Ummah hanya boleh diperkasakan melalui pendidikan sivik yang bersifat realistik supaya generasi-generasi baru akan menghadapi realiti manusiawi dengan ilmu, hikmah dan menjauhi radikalisasi dalam agama atau kebendaan.
Rakyat menjadi radikal bila rasa lemah dan defensif kerana tak mampu bersaing dengan ICERD yang umpama anjing liar. Bila kesedaran sivik kuat, rakyat akan dapat jinakkan ICERD sebagaimana anjing liar dijinakkan untuk menjaga maslahat manusiawi yang lebih besar.
* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak
0 Komentar untuk " Pendidikan sivik jinakkan ICERD "