Kepala Batas: Memanah bukan semata-mata sukan biasa, sebaliknya ia menjadi antara sunnah yang dituntut kepada umat Islam untuk mempelajarinya, selain berenang dan menunggang kuda.
Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kalian (belajar) memanah kerana ia sebaik-baik permainan.” (HR Bazzar dan Tabarani)
Falsafah memanah sebenarnya bukan saja dapat melatih fizikal seseorang, bahkan ia turut mendidiknya daripada sudut emosi untuk menjadi lebih sabar, tenang dan tidak mudah gelabah.
Ini kerana sekiranya emosi seseorang berada dalam keadaan tertekan, panik dan marah, sudah tentu tumpuannya akan terjejas, manakala pemikiran mudah tersasar.
Lebih penting lagi, memanah juga menjadi antara aktiviti riadah yang boleh memperkasakan ummah dan negara.
Tidak hairanlah Saidina Umar ibnu Khattab sendiri menyuruh umat Islam supaya menerapkan sukan memanah sebagai antara pendidikan kepada generasi muda seperti katanya: “Ajarlah anak-anak kamu dengan memanah, menunggang kuda dan berenang.”
Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah SWT daripada orang beriman yang lemah.” (HR Muslim)
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata agenda memperkasakan umat Islam memerlukan kerjasama setiap golongan lapisan masyarakat untuk menjayakannya.
🔥Anjur program🔥
Ahmad Zakiyuddin berkata, ketua masyarakat disarankan menganjurkan program yang boleh menarik minat segenap lapisan masyarakatnya.
“Usaha Surau Ar Rayyan di sini yang menganjurkan liga memanah, sangat baik kerana ia bukan sahaja menggalakkan masyarakat menyukai sukan digemari Nabi Muhammad SAW, bahkan menyatupadukan ummah.
“Melalui penganjuran sukan ini, masyarakat dari segenap lapisan dapat berhimpun dan berkumpul yang secara tidak langsung dapat bertukar-tukar fikiran.
“Ia akan dapat mengajak ummah ke arah kebenaran yang dituntut dalam Islam,” katanya selepas merasmikan Liga Memanah Tradisional Petal 3.0 di sini, baru-baru ini.
Ahmad Zakiyuddin berkata, kehadiran generasi muda khususnya ke masjid dan surau amat berkurangan hingga memerlukan setiap kariah memikirkan aktiviti yang boleh menarik minat mereka ke sana.
“Apa juga aktiviti yang ingin dilaksanakan jangan tinggal mana-mana golongan lapisan masyarakat sekiranya mahu melihat kepada perubahan.
“Sukan memanah yang dilaksanakan kariah ini, dapat menarik penyertaan semua golongan lapisan dari cilik, remaja hingga golongan dewasa yang pada masa sama ahli kariah dapat meuar-uarkan aktiviti lain yang dianjurkan,” katanya.
Sementara itu, Biro Akademi Memanah Rayyan (AMAR) Muhammad Afandy Abdullah, berkata sukan memanah yang sudah dianjurkan dalam kariah itu sejak tiga tahun lalu menampakkan hasil positif apabila mengeratkan persaudaraan dan membina semangat bekerjasama dalam kalangan Rukun Tetangga.
“Tujuan akademi mengadakan sukan ini kerana mahu menggalakkan seluruh generasi mempelajari dan mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW yang akan membangkitkan semangat kecintaan terhadap kekasih Allah SWT.
🔥Menyatukan ummah🔥
“Di sebalik penganjurannya juga, turut tersirat kemanisan dalam kalangan masyarakat apabila sukan ini juga mampu menyatukan ummah seperti yang dituntut dalam ajaran Islam,” katanya.
Bagi Pengerusi Kariah Surau Ar Rayyan, Muhd Helmi Md Zain, berkata akademi memanah yang diwujudkan dalam kariahnya begitu membantu dalam mengimarahkan kawasan surau.
“Surau yang terletak berdekatan dengan padang dijadikan tempat yang semua ahli datang menjalankan latihan pada setiap Ahad.
“Pada masa sama, kita dapat menggunakan peluang ini bagi mendekati mereka berkaitan aktiviti keagamaan yang dijalankan pihak surau,” katanya.
Jelasnya, bagi menarik lebih ramai rukun tetangga menyertai sukan memanah itu, pihaknya turut menyediakan kelengkapan memanah.
“Ini kerana kita mahu menarik lebih ramai menyertainya termasuk membantu mereka yang kurang berkemampuan,” katanya
Oleh Nur Izzati Mohamad
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/11/502448/aktiviti-memanah-dituntut-sunnah
0 Komentar untuk " Aktiviti memanah dituntut sunnah "