BARU-BARU ini, isu bangsa banyak dibangkitkan. Isu bahasa seperti menjadi suatu sebab untuk memisahkan masyarakat. Namun demikian, sepatutnya bahasa sebagai suatu pemangkin untuk pembinaan suatu negara bangsa Malaysia.
Kedudukan bahasa Melayu sebagai bangsa kebangsaan tidak boleh dipertikaikan. Undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan, dengan jelas menyatakan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Tetapi pada masa sama penggunaan dan pembelajaran bahasa-bahasa lain dibenarkan.
Namun, untuk tujuan rasmi, hanya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan boleh digunakan. Parlimen juga telah menggubal Akta Bahasa Kebangsaan.
Seksyen 2 akta tersebut memperuntukkan bahawa kecuali sepertimana diperuntukkan dalam akta dan Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan mana-mana bahasa lain, bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.
Di sini, ‘maksud rasmi’ ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.
Maka, dengan Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan, kedudukan undang-undang bahasa Melayu telah pun dijamin. Namun demikian, walaupun bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang kedudukannya tiada tara, kita masih gagal menjadikan bahasa Melayu itu sebagai suatu wadah untuk menyatupadukan rakyat Malaysia.
Di Malaysia, kita mengambil pendekatan yang mengiktiraf kepelbagaian etnik kita yang majmuk. Negara ini tidak pernah menafikan hak mana-mana orang untuk menggunakan apa-apa bahasa lain, selain daripada bahasa Melayu.
Dalam isu pembinaan negara bangsa, amat mudah untuk kita salahkan bahasa lain. Kita boleh kata, sepatutnya semua belajar bahasa Melayu sahaja. Kita boleh kata, mesti ada satu aliran sekolah sahaja. Tetapi jika kita pegang pada Perkara 152 tentang kedudukan bahasa Melayu, kita juga kena pegang pada perkara yang sama, yang pembelajaran bahasa-bahasa lain.
Ini yang telah dipersetujui dari awal, dan menjadi sebahagian daripada kerangka negara Malaysia ini. Pada masa sama, pembentukan suatu bangsa Malaysia, yang meraikan kepelbagaian etnik di dalam negara ini, harus berteraskan bahasa Melayu sebagai identiti bangsa.
Bagi tujuan itu, bahasa Melayu tidak boleh dilihat hanya sebagai bahasa bagi orang Melayu sahaja, tetapi harus diterima dan dimiliki sebagai bahasa etnik-etnik dan komuniti-komuniti lain juga, selain daripada bahasa ibunda mereka sendiri.
Dalam erti kata lain, untuk membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu, untuk mewujudkan suatu identiti rakyat Malaysia yang kekal mendepani zaman, bahasa Melayu haruslah menjadi bahasa rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau ras.
Inilah cabaran untuk kita yang mencintai bahasa. Menjadikan bahasa Melayu itu bahasa bagi orang Malaysia, bukan dengan paksaan tetapi dengan memupuk perasaan kepunyaan atau ownership ke atas bahasa Melayu.
Pada saya, untuk kita pupuk perasaan tersebut kita tidak boleh melihat bahasa Melayu hanya sebagai bahasa untuk urusan rasmi sahaja.
Kita harus ketengahkan keindahan dan keunikan bahasa Melayu itu kepada rakyat Malaysia melalui seni dan sastera. Jika orang kata bahasa Melayu itu tidak sesuai menjadi bahasa sains dan teknologi, kita tunjukkan bagaimana sebuah laman sesawang teknologi maklumat seperti Amanz boleh menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya tanpa apa-apa kesukaran.
Yang penting, pada saya, jangan ada paksaan. Apabila ada paksaan, maka akan ada tentangan. Biar cinta pada bahasa itu terbit melalui ‘serangan lembut’ keindahan bahasa Melayu.
Sekiranya semua pihak dapat merasakan bahawa mereka mempunyai pemilikan dan kepentingan dalam bahasa Melayu, barulah mereka akan melihat bahasa sebagai asas perpaduan rakyat.
* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur
0 Komentar untuk " Bahasa untuk membina negara bangsa "