MEMBACA sahaja tajuk artikel ini, tentu pembaca akan tertanya-tanya tentang maksudnya. Jaya bermaksud kemenangan, Suria bermaksud cahaya, dan Safar merupakan salah satu bulan dalam kalendar Islam.
Jaya Suria Safar ialah nama sahabat baik penulis ketika sama-sama belajar di Kolej Sultan Abdul Hamid dan terus menjadi sahabat akrab sehingga akhir hayatnya. Semua rakan sekolah memanggilnya dengan panggilan Pak Ya Bulat. Hal ini mungkin disebabkan susuk tubuhnya yang sedikit gempal. Jaya reda dan gembira dengan panggilan mesra ini.
Jaya menghembuskan nafas terakhir ketika sedang menyampaikan ucapan dalam Mesyuarat Jawatankuasa PIBG Kolej Sultan Abdul Hamid pada 7 November lalu bersamaan 29 Safar 1440. Beliau meninggal dunia di dalam kelas tempat beliau belajar dahulu ketika sedang bertugas.
Jaya meninggal dunia dalam ibadah. Mulia sungguh kematian sahabat penulis ini. Penulis sempat menziarahi jenazahnya di Kampung Dusun Manggis Yan dan berpeluang mencium dahinya buat kali terakhir. Wajahnya bercahaya, tentulah penulis mencemburui pemergiannya.
Hebatnya Jaya bukan kerana namanya sahaja tetapi kerana bahasa yang sering digunakannya.
Ketika dilantik sebagai Penolong Kanan Kokurikulum Kolej Sultan Abdul Hamid, beliau kerap menghubungi penulis untuk meminta nasihat. Bahasa yang digunakan oleh Jaya amat lembut dan sedap didengar. “Salam tuan, bolehkah saya bertanya beberapa soalan?” Begitulah cara beliau memulakan dialog melalui telefon sedangkan beliau amat rapat dengan penulis. Sedangkan ketika di luar waktu bekerja, kami ber”hang” dan ber“aku” sahaja.
“Mengapa santun sangat Pak Ya Bulat?”, saya selalu bertanya kepadanya.
“Ini waktu bertugas tuan, tertib kena jaga, protokol perlu patuh,” kata Jaya. Suaranya lembut dan bersahaja sejak dari bangku sekolah lagi. Mungkin berkat didikan arwah ibu bapanya yang baik.
Lebih kurang tiga minggu sebelum beliau pergi buat selama-lamanya, penulis dan rakan-rakan sepejabat diarahkan membuat pemeriksaan penuh di sekolah tempat Jaya bertugas.
Penulis agak keberatan untuk melaksanakan pemeriksaan di situ kerana malu alah terhadap beliau. Penulis menyatakan perasaan berat hati penulis ini kepadanya.
Beliau membalas lembut, “Tuan perlu datang, saya mahu belajar sesuatu daripada tuan, saya banyak kelemahan, tolonglah datang,” dia bertuan-tuan dengan saya kerana katanya ketika itu kami berada dalam tugas.
Jaya tidak pernah menuding jari kepada sesiapa jika kami bertanya tentang beberapa perkara yang perlu diberi penambahbaikan. “Terima kasih tuan kerana mengajar saya banyak perkara tentang pengurusan sekolah,” kata-kata ini diulang beberapa kali.
Penulis amat kagum akan bahasa dan cara pertuturan yang digunakan oleh Jaya. Pemilihan diksi yang menarik dan suaranya yang sederhana, sedap telinga mendengarnya.
Rakan-rakan sekolah penulis yang sama-sama berada dalam grup WhatsApp SAHOCA 84 menukilkan bahawa sepanjang kami berkawan dengan Jaya, tiada sesiapa yang pernah marah akan Allahyarham. Segala-galanya kerana bahasa yang digunakan oleh Jaya tidak pernah menyakiti hati kami.
Baik sungguh Jaya. Ketika di sekolah dahulu, Jaya mewakili Kedah dalam Pertandingan Sepak Takraw peringkat MSSM. Bukan calang-calang pemain mampu menyepak menggunakan kedua-dua kaki sama kuat. “Orang lain pun boleh buat,” katanya merendah diri apabila kami memujinya setelah servisnya menerjah sudut gelanggang tanpa balas.
Penulis mendoakan supaya balu Jaya, iaitu Che Mahani Md Said yang bertugas sebagai Pembantu Pengurusan Murid di SMK Dulang serta anak-anaknya Nor Athirah Najwa, Nor Jazmina Shafiqah, dan Mohamad Jazmin Syafiq tabah menghadapi dugaan ini.
Semoga Jaya akan bersemadi dengan tenang atas kebaikannya yang banyak terutama dalam aspek bahasa dan budi bahasa yang diamalkan. Al-Fatihah.
*Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka
MOHD SALLEH HAJI HASSAN, MUNSYI DEWAN
0 Komentar untuk " Bahasa Jaya Suria Safar "