KURIKULUM sekolah kita akan dirombak, untuk ke sekian kalinya! Menurut Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, sekiranya semua berjalan lancar kurikulum baharu itu akan diperkenalkan akhir 2020 atau awal 2021.
Harapan semua ialah kurikulum baharu itu nanti benar-benar berupaya mewujudkan kaedah pembelajaran yang lebih menyeronokkan, tidak menekan perasaan mana-mana pihak, dan akhirnya berjaya melahirkan insan-insan murni.
Saya tidak tahu kurikulum – dulu-dulu disebut sukatan pelajaran – apa yang dipakai zaman saya sekolah, 60 tahun silam. Tetapi sebagai murid biasa, saya suka dan seronok sekali sepanjang belajar dari darjah satu hingga darjah enam.
Terlalu seronok sehingga sepanjang lima tahun – saya lompat dari kelas dua terus ke kelas empat – saya hanya ponteng dua hari, kerana demam panas.
Kaedah pembelajaran dan peralatan tidak canggih. Hanya ada papan hitam, kapur, dan pembaris panjang sedepa. Hatta, kerusi dan bangku pun bergoyang dan senget-benget.
Dan, ada rotan yang digantung di sebelah papan hitam. Murid yang degil dan selalu ponteng berkemungkinan dirotan di hadapan kelas.
Tetapi di situlah segala keindahan dan keseronokan dari 7.30 pagi hingga 1.30 tengah hari. Ada kawan-kawan, ada kantin, ada padang untuk main kejar-kejar waktu rehat.
Dan, ada cikgu-cikgu – semuanya 7 orang, dua perempuan –baik-baik dan amat penyayang kepada murid-murid. Merekalah yang mengajar saya A, B, C; 1, 2, 3; Alif, Ba, Ta.
Tidak banyak buku teks, seingat saya hanya buku teks subjek ‘Ilmu Kejadian’ yang ada gambar kupu-kupu, ikan, nyamuk dan lain-lain serangga.
Ada buku cerita bergambar warna-warni terbitan DBP, dalamnya adalah bacaan ringan dengan watak-watak Tong Seng, Ramasamy, Ali. Juga sebuah buku jawi bergambar, ‘Cholong Bacaan’.
Meski peralatan serba sederhana, saya meninggalkan Sekolah Kebangsaan Sawah Ring dengan kemahiran asas membaca, menulis, mengira, dan mula tahu bahasa Inggeris mudah - ‘I am a boy’, ‘my father is a farmer’, ‘yes, no, alright, thank you’.
Masuk ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gambir, pembelajaran menjadi lebih menarik. Lebih ramai guru, lebih ramai murid, ada kemudahan bersukan, padang yang sentiasa hijau, kantin yang lebih besar.
Agaknya pada ketika itu sudah ada sukatan pelajaran baharu, sebab ada banyak perubahan istilah. Subjek Ilmu Kejadian ditukar Ilmu Sains, Tawarikh menjadi Sejarah, Ilmu Hisab menjadi Matematik, Ilmu Alam menjadi Geografi.
Buku teks pun semakin banyak. Tetapi tidak ada buku teks tambahan, tidak ada buku kerja, dan tidak ada bacaan-bacaan yang entah apa dan dipaksa murid membeli. Tetapi, masih ada rotan!
Baik di sekolah rendah, mahu pun sekolah menengah, guru-guru menurunkan ilmu tanpa jemu-jemu. Memang semuanya serba sederhana, tetapi amat berkesan dan banyak membantu saya menjadi manusia. Budi cikgu saya kenang hingga mati.
Jauh betul bezanya dengan kecanggihan persekolahan sekarang. Sejak sekolah rendah murid telah dibebankan dengan sekian banyak buku. Beg ke sekolah berat, terpaksa diheret seperti bagasi hendak menunaikan umrah.
Dengan buku yang sebanyak itu pun ibu bapa macam tidak yakin pada sekolah dan terpaksa membayar untuk menghantar anak-anak ke kelas tambahan.
Lucu, murid darjah satu pun dihantar tuisyen. Semuanya gara-gara hendak dapat banyak A.
Di sekolah ada komputer untuk memudahkan pembelajaran, ada pusat sumber serba canggih, ada sekian banyak bacaan tambahan. Ada program pendidikan di TV, ada tuisyen online, pendek kata macam-macam ada.
Namun di sebalik segala kecanggihan itu, semakin ramai guru yang tertekan hingga setengah sasau. Almaklumlah, tugas mengajar dan mendidik sering diganggu tugas-tugas lain.
Dan ada beribu-ribu guru duka lara yang untuk bertahun-tahun memendam perasaan – zahir dan batin – kerana terpaksa berpisah dengan pasangan masing-masing. Bayangkan suami di Sarawak, isteri di Kelantan!
Meski dengan segala kemudahan dan kecanggihan, murid-murid sekarang masih bermasalah – disiplin teruk, pencapaian akademik merosot. Sekolah gagal membimbing murid. Malah, ada yang membunuh diri kerana gagal mendapat banyak A dalam peperiksaan.
Maka apa juga kurikulum baharu yang hendak diperkenalkan nanti, masalah-masalah dan tekanan-tekanan ini hendaklah diambil kira. Matlamat pendidikan mestilah untuk membentuk manusia, bukan hanya mengejar 10 atau 20 A.
0 Komentar untuk " Kurikulum, rotan dan beg umrah "