Kuasa politik dan matlamat syariah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kuasa politik dan matlamat syariah



APABILA berbicara tentang politik, ramai yang menyamakannya dengan pemilihan pemimpin dan politik kepartian semata-mata. Sebenarnya, politik ditakrifkan sebagai sebarang aktiviti berkaitan pentadbiran sesebuah negara, terutama proses persaingan untuk mendapatkan kuasa mentadbir oleh individu atau kumpulan.

Politik juga merangkumi proses bagaimana kuasa pentadbiran ini digunakan oleh mereka yang mempunyai kuasa. Justeru, seseorang pemimpin atau pun kelompok pemimpin seharusnya menyedari bahawa kuasa politik yang diamanahkan oleh rakyat melalui proses demokrasi, perlu digunakan bagi mencapai matlamat-matlamat tertentu.

Bagi pemimpin umat Islam, kuasa politik mestilah memenuhi objektif-objektif syariah atau pun maqasid syariah. Tujuan atau matlamat sesuatu undang-undang Islam adalah untuk memelihara kehidupan manusia di muka bumi ini dengan aman dan teratur, memastikan manusia berlaku adil dengan ketinggian moral dan integriti serta melakukan perubahan yang perlu dengan perancangan terbaik.

Justeru, politik juga haruslah memenuhi tuntutan-tuntutan maqasid ini agar kebaikan dari undang-undang dan peraturan yang bernaung di bawah prinsip Islam dapat dinikmati oleh bukan sahaja umat Islam tetapi juga masyarakat secara keseluruhan. Dari situlah keadilan prinsip Islam akan terserlah.

Pemeliharaan agama adalah satu keutamaan dan ia bukan sahaja dinilai dari aspek menegakkan hukum-hukum agama tetapi juga merangkumi usaha memelihara aqidah dan imej Islam itu sendiri. Pemerintah harus menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memastikan bahawa Islam dijamin kedudukannya dan tidak dilabel dengan penilaian negatif ataupun dijadikan bahan cemuhan.

Selain pemeliharaan agama, pemeliharaan akal juga merupakan satu aspek penting dalam mencapai matlamat syariah. Tanggungjawab pemimpin dan pemerintah adalah menyuburkan minda masyarakat dengan ilmu dan nilai-nilai baik yang dapat membentuk insan berperibadi mulia dan berakhlak.

Penyebaran maklumat yang menimbulkan kebencian melampau, mengaibkan dan berasaskan fitnah serta buruk sangka akan menjadikan minda umat Islam semakin lesu dan bercelaru. Adalah menjadi keperluan mewujudkan kefahaman tentang pentingnya memelihara Islam dan akal manusia mengatasi kepentingan politik kepartian dan persaingan merebut kuasa semata-mata.

Maqasid syariah juga merangkumi usaha pemeliharaan kehidupan manusia, keturunan dan harta benda. Islam meletakkan nilai yang tinggi kepada nyawa manusia. Sebarang bentuk tindakan yang membawa kepada perbuatan mensia-siakan nyawa manusia adalah ditegah.

Pemerintah harus memastikan keselamatan nyawa dan harta benda rakyatnya dipelihara. Ini termasuklah memastikan keamanan dan kesejahteraan negara agar membawa kepada kemakmuran dan kemajuan negara demi kelangsungan generasi akan datang.

Permusuhan dalam berpolitik di kalangan umat Islam wajib dielakkan, lebih-lebih lagi jika kuasa politik itu dijadikan punca perpecahan serius. Perkara ini telah digariskan oleh ALLAH SWT dalam Surah Ali-Imran, ayat 103, “Dan berpeganglah kamu semua kepada tali ALLAH (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai. Dan ingatlah akan nikmat ALLAH kepada kamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka ALLAH menjinakkan antara hati kamu, lalu menjadilah kamu dengan nikmat ALLAH orang-orang yang bersaudara. Dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu ALLAH menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah ALLAH menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu, agar kamu mendapat petunjuk.”

Sejujurnya, keadilan dan keindahan Islam itu akan dapat dilihat apabila umat Islam dapat bersatu atas perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada masyarakat secara keseluruhan. Walaupun terdapat perbezaan dalam kaedah memenuhi maslahah ini, namun jika musyawarah dijadikan medan persetujuan dan bersangka baik diutamakan dalam hal-hal yang berkaitan kedaulatan Islam dan pencapaian matlamat-matlamat syariah, seharusnya ia dialu-alukan.

Umat Islam perlu melihat kepentingan untuk duduk semeja dan berbincang kerana mempunyai asas ikatan yang paling kukuh iaitu aqidah dan ukhuwah Islam. Ini sejajar dengan firman ALLAH SWT dalam al-Quran: "Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada mereka. (Surah As Syuura: 38)

Sememangnya, Islam adalah agama yang amat mementingkan keadilan dan kesaksamaan. Kedua-dua aspek ini juga harus dijelmakan dalam tindak-tanduk dan perlakuan umat Islam terutamanya oleh pemimpin yang diamanahkan dengan kuasa untuk membawa perubahan dan kebaikan untuk semua kelompok masyarakat secara keseluruhan.

* Penulis Felow Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, IKIM

ENIZAHURA ABDUL AZIZ
0 Komentar untuk " Kuasa politik dan matlamat syariah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ