Yang berbayar juga jadi tarikan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Yang berbayar juga jadi tarikan



TAHUN-TAHUN 80-an dan 90-an, iklan dalam surat khabar di mana-mana sahaja sangat banyak. Permintaan sangat tinggi hingga kalau mahu dapatkan ruang iklan, terpaksa “beratur” tunggu giliran. Faham-faham sahajalah, disebabkan terlalu banyak permintaan, bukan sahaja ada pihak yang kenakan bayaran tinggi, malah ada yang jual mahal.

Untuk ruang iklan jual rumah dan kereta yang memuatkan kira-kira 20 perkataan, umpamanya, bayaran yang dikenakan lebih RM60 ketika itu. Media yang lebih terkemuka dan menikmati edaran yang luas mengenakan bayaran lebih tinggi daripada media yang kurang mendapat sambutan.

Tetapi keadaan itu sudah berlalu dan berubah dengan peningkatan dan perubahan teknologi internet dalam alam siber. Sejak kira-kira 20 tahun lalu penjual-penjual rumah, kenderaan dan barangan sudah ada pilihan. Surat khabar tidak menjadi pilihan utama lagi.

Pembaca ada banyak saluran. Mereka boleh pilih sama ada mahu membeli atau menjual secara atas talian, Facebook dan pelbagai cara lain. Maka berkuranglah kuasa iklan media cetak dan ini membimbangkan pemilik-pemilik syarikat media cetak.

Kita semua tahu bahawa media cetak banyak bergantung kepada hasil iklan untuk hidup. Kekurangan hasil daripada iklan memaksa mereka mengikat perut mereka dan perut kakitangan masing-masing.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peluang mendapatkan ruang iklan dengan mudah dan murah sudah banyak boleh didapati di mana-mana sahaja di merata pelosok dunia. Banyak kedai, tempat perhentian bas dan kawasan perumahan sudah mengadakan papan tanda untuk orang ramai meletakkan segala jenis iklan.

Ada yang mengenakan bayaran yang rendah tetapi tidak kurang pula yang menyediakan papan iklan secara percuma. Malangnya, di banyak tempat, papan iklan itu tidak digunakan sepenuhnya.

Kalau pembaca budiman bersedia membuat tinjauan di kawasan-kawasan perumahan, taman, pasar dan kedai, anda akan dapati banyak papan iklan hanya mempunyai tiga atau empat iklan.

Sebahagian besar papan itu dibiarkan kosong walaupun kemudahan itu diberi percuma. Lebih menyakitkan hati, ada papan iklan percuma diconteng dan ditulis dengan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya, sedangkan tempat yang dilarang lekatkan kertas iklan seperti di papan nama jalan dan tembok bangunan ditampal dengan iklan.

Entah kenapalah fikiran segelintir daripada kita begitu berserabut. Kemudahan yang disediakan tidak mahu digunakan, tetapi tempat yang dilarang juga dipilih untuk dicemari. Lihatlah gambar yang menghiasi coretan ini.

Papan tanda yang dipasang di tempat-tempat strategik oleh pihak berkuasa dengan percuma tidak digunakan secara maksimum. Tetapi di kawasan di mana mereka perlu membuat permohonan, menunggu menanti giliran dan dikenakan bayaran digunakan sepenuhnya secara berterusan.

Perkara yang sama juga didapati dari segi perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan. Terdapat kursus, latihan dan kelas pendidikan yang disediakan percuma oleh individu atau badan bukan kerajaan tidak mendapat sambutan, tetapi yang dikenakan bayaran mendapat sambutan menggalakkan.

Memang peliklah dengan tabiat segelintir daripada masyarakat kita.

Apakah orang kita hanya mengambil berat dan memandang serius apabila kemudahan yang diberi dikenakan bayaran dan tidak mengambil inisiatif untuk menggunakan kemudahan yang ditawarkan percuma?

Tetapi apabila dilihat dari sudut bantuan kewangan dan barangan, ramai yang sanggup beratur dan menunggu lama untuk mendapatkannya. Wallahuaklam!

0 Komentar untuk " Yang berbayar juga jadi tarikan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ