Rasulullah contoh terbaik urus, agihkan zakat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Rasulullah contoh terbaik urus, agihkan zakat


RASULULLAH SAW menjadi contoh dan teladan terbaik dalam menguruskan pembahagian zakat, sekali gus menyerlahkan bagaimana Baginda memastikan zakat yang dikutip itu disalurkan kepada mustahiq atau orang yang berhak kepada harta zakat.

Berbekalkan contoh dan teladan terbaik itu, amil dan petugas zakat perlu memastikan pengurusannya dilakukan dengan penuh bertanggungjawab dan amanah.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, orang miskin, amil yang menguruskannya dan orang muallaf yang dijinakkan hatinya serta untuk hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang sedemikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah: 60)

Menjelaskan ayat itu, Eksekutif Kanan Unit Dakwah Dan Pemasaran Sektor Awam, Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Abdul Razak Abdul Talib, berkata ayat terbabit menunjukkan cara Nabi Muhammad dalam menguruskan zakat yang diterima Baginda.

“Sebagai Nabi dan utusan Allah SWT, setiap yang dilakukan dan dilaksanakan adalah dengan perintah dan Baginda mengajar umatnya seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.

“Jadi segala perbuatan dan perkataan Baginda ialah terjemahan dan penafsiran kepada al-Quran. Maka zakat dibahagikan kepada mereka yang layak seperti yang termaktub di dalam kitab suci itu,” katanya kepada BH.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Wahai Qabishah, zakat itu tidak halal (haram) kecuali kepada tiga golongan, (salah satunya) ialah mereka yang mengadu miskin dan hendaklah pengakuannya itu dipersaksikan oleh tiga lelaki dari kaumnya yang pintar.” (HR Muslim)

Abdul Razak berkata, Rasulullah SAW sangat berhati-hati dalam mengagihkan zakat yang diterima Baginda untuk memastikan zakat terbabit diterima oleh golongan yang berhak.

“Dalam menguruskan harta yang diterima Rasulullah SAW sangat berhati-hati. Hanya golongan yang layak menurut ketetapan Allah SWT yang akan menerima zakat sebagai menunjukkan keadilan yang Rasulullah SAW tonjolkan.

“Namun, ada dalam kalangan golongan yang Allah SWT sebutkan sebagai munafiqun (orang munafik) yang mencela Baginda kerana tidak diberikan zakat kepada mereka,” katanya.

Jelas Abdul Razak, menerusi kisah terbabit, Allah SWT menurunkan ayat “Dan di antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat); oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (menurut kehendak mereka), mereka suka (dan memandangnya adil); dan jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan serta merta mereka marah. (At-Taubah:58)

“Pada zaman Rasulullah SAW, syariat zakat pada awalnya masih lagi berbentuk umum. Selepas itu Baginda menentukan kadar zakat yang wajib dikeluarkan menerusi penelitian, pertimbangan serta bimbingan daripada Allah SWT,” katanya.

Rasulullah SAW bersabda “Apabila kamu memiliki 200 dirham dan cukup haul diwajibkan zakatnya lima dirham dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat kecuali mempunyai 20 dinar. Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun. (HR Abu Daud)

Daripada Ibnu Abbas RA, ketika Rasulullah SAW mengutuskan Muaz RA ke Yaman, Nabi SAW berpesan kepada sahabat itu agar diajarkan kepada penduduk Yaman: “Sesungguhnya Allah SWT memfardukan sedekah (zakat) ke atas harta mereka. Diambil daripada orang kaya di kalangan mereka dan dikembalikan kepada orang miskin di kalangan mereka.” (HR Muttafaq Alaih)

“Daripada hadis ini, maka kadar zakat yg dikenakan ke atas harta seperti emas dan perak ialah sebanyak 1/40 atau 2.5 perauts.

Baginda juga memerintahkan agar zakat itu diagihkan kepada asnaf di tempat yang zakat itu dikutip. Ini bermakna Rasulullah menegaskan agar duit zakat itu tidak dipindahkan kepada negeri lain,” katanya.

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/11/498837/rasulullah-contoh-terbaik-urus-agihkan-zakat
0 Komentar untuk " Rasulullah contoh terbaik urus, agihkan zakat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ