Manhaj pelaksanaan Islam Malaysia - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Manhaj pelaksanaan Islam Malaysia


ISLAM subur di Malaysia. Kesu-buran agama ALLAH SWT ini disebabkan faktor pengaruh kebangkitan Islam di dunia Islam yang berlaku secara menyeluruh. Namun hakikatnya, faktor dan tempias fenomena kebangkitan Islam yang berlaku di Malaysia tidak akan menyuburkan Islam itu jika tidak mendapat dukungan dan naungan daripada institusi kenegaraan.

Hakikatnya juga, gelombang dan fenomena kebangkitan Islam yang berlaku di Malaysia perlu ditala dengan betul oleh institusi berwajib agar keinginan umat Islam untuk menghayati agama secara menyeluruh dapat dilaksanakan sesuai dengan adat dan persekitaran masyarakat serta manhaj yang sedia wujud.

Dalam konteks ini, kaedah yang diperkenalkan ulama di Nusantara iaitu al-Muhafazah ‘ala al-Qadim al-Salih wa al-Akhzu bi al-Jadid al-Aslah (mengekalkan tradisi yang baik dan menerima pembaharuan dan kemajuan yang lebih baik) sangat relevan dikaitkan dengan manhaj Islam Malaysia yang  menjadi falsa-fah dalam pembentukan manhaj Islam Malaysia itu sendiri.

Ertinya kaedah tersebut menjaga segala nilai warisan dan tradisi keislaman Nusantara yang sedia wujud sejak beratus tahun dan pada masa yang sama menerima aspek pembaharuan dan pemodenan yang baik bagi memperelok lagi penghayatan keislaman dalam ruang masa yang kontemporari sifatnya.

Manhaj Islam Malaysia turut menjadikan prinsip wasatiyyah yang bersifat pertengahan antara fahaman sekularisme dan libera-lisme yang ekstrem dan fahaman ekstremisme Islam yang radikal sebagai satu kerangka asas dalam pentadbiran negara. Prinsip wasa-tiyyah ini diperkukuhkan lagi dengan terapan kerangka maqasid syariah yang meliputi pemeliharaan lima prinsip iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta dalam semua urusan pentadbiran dan kenegaraan Malaysia.

Justeru, sejak mencapai kemerdekaan pada 1957 dan pembentukan Malaysia 1963, pihak kerajaan senantiasa memastikan setiap agenda dan dasar pemba-ngunan Islam dilaksanakan meli-puti lima aspek, iaitu berhikmah, tadarruj (berperingkat), holistik, berperadaban dan mementingkan isi kandungan pelaksanaan berban-ding retorik dan slogan.

Berhikmah bermaksud tidak gopoh dalam pelaksanaan dan pada masa sama tidak meminggirkan kesan jangka pendek dan pan-jang di sebalik setiap dasar dan pelaksanaan.

Tadarruj pula mementingkan pelaksanaan secara berperingkat dan berevolusi serta tidak berfantasi untuk menyelesaikan semua per-kara dalam masa yang singkat. Manakala holistik atau syumul adalah menetapkan pelaksanaan Islam mesti menyeluruh dan inklusif dalam semua aspek kehidupan dan tidak mementingkan juzuk-juzuk bidang tertentu sahaja. Berperadaban pula menggariskan hala tuju dan garis panduan pembangunan secara terancang, berwawasan dan berstrategi kepada aspek-aspek yang berkeutamaan, berimpak dan menyejahterakan rakyat.

Mementingkan isi kandungan pula terletak pada nilai kandungan Islam yang dapat dimanfaatkan secara optimum oleh rakyat dan umat Islam tanpa meletakkan sebarang label yang hanya meng-gambarkan wajah keislaman dan kearabannya secara retorik tetapi menafikan mesej, isi dan penghayatan yang tidak sampai kepada rakyat.

Kesemua lima aspek ini dilak-sanakan secara menyeluruh dalam bidang kehakiman, pendidikan, politik, kesihatan, infrastruktur, ekonomi, kebudayaan dan sosial. Pihak kerajaan tidak pernah melihat pelaksanaan Islam sebagai hanya perlu ditumpukan kepada bidang kehakiman dan perundangan syariah semata-semata.

Bahkan pelaksanaan perundangan dan kehakiman syariah perlu melalui proses tatacara berperingkat dari masa ke masa, di samping memberikan penekanan terhadap pembangunan teknikal kehakiman seperti mahkamah syariah dan perjawatan para hakim syarie.

Manhaj pelaksanaan Islam seperti ini menjadi resipi utama yang merancakkan lagi perkembangan dan penyuburan Islam di Malaysia. Wajah dan realiti yang dapat dilihat pada hari ini membuktikan betapa banyak agenda pembangunan Islam telah berjaya dilakarkan secara berkesan sama ada dalam aspek ekonomi seperti perbankan Islam, zakat, wakaf dan industri halal tetapi turut meliputi bidang keberhasilan yang lain termasuk sosial dan politik. Semoga Islam terus subur dan maju di bumi Malaysia yang tercinta ini dan semoga ALLAH menjauhkan Malaysia dari segala bencana dan bahaya.

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/dr-asyraf-wajdi-dusuki/manhaj-pelaksanaan-islam-malaysia-1.784697
0 Komentar untuk " Manhaj pelaksanaan Islam Malaysia "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ