Hikmah al-Quran: Ikhlas menulis sebar kebaikan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hikmah al-Quran: Ikhlas menulis sebar kebaikan


Surah al-Qalam adalah surah yang ke-68, diturunkan di Makkah pada awal kebangkitan Nabi SAW. Surah ini diberi nama al-Qalam yang memberi maksud pena, satu isyarat supaya umat Islam menjadi umat yang berpengetahuan dan bermaklumat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Nuun. Demi Pena dan apa yang mereka tulis." (Surah al-Qalam, ayat 1)

Nun adalah satu-satunya huruf hijaiyah yang digunakan oleh Allah SWT sebagai pembuka awal surah al-Quran. Allah SWT bersumpah dengan nun, kalam dan tulisan untuk menarik perhatian manusia kepada besarnya peranan tulisan dan alat untuk menulis.

Keperluannya sebagai penyebar maklumat sangat jelas kerana dengannya kita mampu memberitahu dan mendapat tahu sesuatu. Dengan kalam atau pena, wahyu dapat dicatat dan hasil pemikiran ditulis serta disebar.

Allah SWT bersumpah dengan kalam untuk menunjukkan tingginya nilai ilmu pada manusia, tanpa ilmu, manusia lebih rendah kedudukannya daripada haiwan.

🔥Daya ingatan berbeza🔥

Ilmu pengetahuan sama ada yang bersumberkan wahyu atau pemikiran manusia dapat dipindah daripada seorang kepada orang lain melalui tulisan, diabadikan zaman ke zaman dan diwarisi daripada generasi kepada generasi.

Sabda Rasulullah SAW: "Tidak ada daripada sahabat Nabi SAW yang lebih banyak meriwayatkan hadis daripadaku kecuali Abdullah bin Amr. Sesungguhnya dia lebih banyak daripadaku disebabkan dia menulis dan aku pula tidak menulis." (Riwayat al-Bukhari)

Hadis itu membuktikan menulis penting dalam menuntut ilmu. Disebabkan itu, Abu Hurairah menulis kerana daya ingatan dan hafalan manusia berbeza antara satu sama lain. Oleh itu, apabila terlupa, kita boleh merujuknya semula pada bila-bila masa.

Pena diibaratkan pisau yang boleh digunakan untuk menyelamat dan memusnah. Pena juga ada kala lebih tajam daripada pisau digunakan untuk menyembelih.

Kebolehan menulis dan menyampaikan maklumat adalah anugerah Allah SWT yang tinggi nilainya selagi seseorang menulis dan menyampaikan maklumat dengan baik, tidak melampaui batas serta penuh keikhlasan.

🔥Ingat akhirat🔥

Apabila penulis tidak mampu mengawal tulisannya, kebolehan menulis yang juga nikmat bertukar menjadi bala. Anugerah itu menjadi alat memfitnah dan meruntuh yang sangat dikutuk Allah SWT serta manusia.

Penulis yang bertanggungjawab dengan dunia dan akhiratnya hendaklah mengawal jari-jemari daripada menulis sesuatu yang batil walau dengan apa alasan supaya tulisan tadi sentiasa membina masyarakat dengan maklumat benar serta analisa yang jujur.

Keyakinan pada hari akhirat memberi kesan kepada aktiviti kehidupan di dunia termasuklah orang yang menggunakan nikmat menulis. Maknanya, beriman dengan hari akhirat akan memberikan manfaat besar semasa hidup di dunia lagi.

Keyakinan pada hari akhirat melahirkan sifat amanah sebagai teras kepada kehidupan. Apabila manusia yakin adanya nikmat yang kekal abadi di dalam syurga,  itu memberi kekuatan, ketabahan dan harapan untuk mengharungi apa juga ujian di dunia.

Tiada penulis yang kekal dan boleh menongkat langit, semuanya pasti menghadap Allah SWT, tetapi tulisannya yang dicatat di pelbagai medium akan kekal ditatap.

🔥Pelihara amanah🔥

Jika tulisan itu baik, maka amalan baiklah yang dibawa. Jika bahan ditulis itu buruk seperti berita palsu, penghinaan sesama insan, menidakkan kebenaran, menzahirkan kepalsuan sebagai kebenaran, pastilah ketika itu yang dibawa di hadapan Allah SWT ialah amalan jahat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya apa yang dilakukannya." (Surah al-Israa', ayat 36)

Amanah dalam Islam ialah kewajipan yang perlu dilaksanakan. Amanah pernah ditawar kepada langit, bumi serta bukit bukau, tetapi semuanya menolak. Sudah pasti setiap tulisan yang dizahirkan itu adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan.

Secara umum, amanah ada beberapa kategori. Pertama, amanah hamba kepada Tuhannya iaitu mengerjakan apa yang diperintahkan, menjauhi yang dilarang. Menggunakan nikmat dikurniakan termasuk anggota badannya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Amanah hamba dengan hamba seperti mengembalikan barang kepada pihak yang meminta untuk menjaganya, tidak melakukan penyelewengan, menyimpan rahsia dan perkara menjadi kewajipan dalam keluarga, masyarakat serta pemerintah.

🔥Ganjaran lebih baik🔥

Amanah hamba kepada dirinya iaitu kewajipan memilih sesuatu untuk diri daripada perkara yang berguna dan bermanfaat, tidak melakukan perbuatan yang merugikan kepentingan akhirat serta dunianya.

Apabila manusia yakin adanya azab neraka, maka dia akan rela meninggalkan segala kejahatan walaupun kelihatan seronok, indah dan menggiurkan. Segala kesusahan meninggalkan kejahatan sanggup dilakukan kerana menyedari azab neraka lebih pedih dan berkekalan.

Allah SWT akan memperlihatkan amalan dan azab yang menyebabkan mereka menyesal supaya mereka tahu kesan buruk terhadap perbuatan itu.

Jika keyakinan kepada hari akhirat benar-benar mantap, manusia akan mendapat dorongan untuk melakukan kebaikan dengan ikhlas walaupun tidak mendapat sanjungan dan pujian.

Itulah sebabnya Allah SWT menjanjikan ganjaran yang lebih baik dan kekal di akhirat supaya manusia akan terlatih memberi tanpa mengharapkan balasan.

Oleh Ahmad Shukri Yusoff
Penulis adalah Perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/01/377524/hikmah-al-quran-ikhlas-menulis-sebar-kebaikan
0 Komentar untuk " Hikmah al-Quran: Ikhlas menulis sebar kebaikan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ