Pada awalnya mungkin hanya mahu berkenalan tetapi ia menerbitkan bibit cinta sehingga melakukan perkara sumbang. Oleh itu, orang yang sudah berkahwin perlu menyedari
batas-batas pergaulan mereka dengan orang lain.
Kadang-kadang pula bekas kekasih muncul kembali walaupun sudah terpisah lama.
Nostalgia silam dihidupkan semula dan memori indah ketika mereka bercinta dulu kembali menjelma. Nostalgia ini membuka kembali lembaran lama dan mereka mula meninggalkan pasangan untuk mengejar suatu yang belum pasti iaitu kekasih lama mereka.
Orang ketiga dimaksudkan di sini juga bukan sahaja daripada kalangan pihak lelaki atau perempuan yang mengganggu kebahagiaan rumah tangga tetapi juga ahli keluarga yang kadangkadang tidak bermaksud untuk meruntuhkan masjid dibina.
Acap kali kita membaca kisah suami atau isteri yang curang, bermain kayu tiga sehingga menyebabkan perceraian.
Hal ini amatlah menyedihkan kerana pasangan hanya mementingkan hawa nafsu dan bukan tanggungjawab dalam perkahwinan mereka.
Sekiranya pasangan itu faham akan tanggungjawab mereka dan batasbatas disediakan hukum syarak, sudah pasti kejadian bermain kayu tiga ini tidak berlaku.
Namun, dalam keadaan lain pula pihak ketiga ini mungkin terdiri daripada ahli keluarga yang berpihak kepada satu pihak sahaja, apatah lagi sekiranya pasangan berkahwin kekal tinggal di rumah orang tua salah seorang mereka.
Dalam keadaan orang tua yang mungkin inginkan kesempurnaan bagi anaknya, mula tidak berpuas hati kekurangan yang ada pada menantunya walhal pasangan tersebut tidak pun mengambil kisah atau berkompromi dengan kekurangan pasangannya.
Lama-kelamaan hubungan antara menantu dan mertua menjadi renggang dan ia menyebabkan pasangannya menjadi serba salah dan akhirnya mengambil keputusan untuk bercerai.
Hal yang demikian sangat mengharukan kerana perceraian tersebut bukanlah sebenarnya kehendak pasangan itu tetapi dipengaruhi faktor luaran yang tidak seharusnya berlaku.
Orang ketiga ini boleh juga terjadi dalam kalangan adik-beradik yang membandingkan kemewahan orang lain ataupun teman-teman rapat yang mempunyai agenda mereka tersendiri.
Dalam keadaan yang lebih dahsyat, orang ketiga ini menjadi faktor memecahbelahkan suatu perkahwinan dengan menghasut pasangan tersebut tidak menjalankan tanggungjawab rumah tangga ataupun bercerai.
Sebenarnya menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah- Wilayah Persekutuan) 1997 terdapat beberapa kesalahan berkaitan hal di atas iaitu memujuk lari perempuan bersuami (Seksyen 36), menghalang pasangan sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri (Seksyen 37), menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan (Seksyen 38) dan memujuk lari orang perempuan (Seksyen 39).
Kesalahan-kesalahan di atas boleh membawa hukuman sehingga tiga tahun penjara dan lima ribu ringgit denda jika disabitkan.
Oleh yang demikian, semua pihak haruslah waspada agar tidak melakukan kesalahan di atas. Berilah ruang dan peluang bagi pasangan itu mendapatkan kebahagiaan mengikut acuan mereka sendiri bukan akur dengan kehendak kita. Kebahagiaan mereka adalah hak mereka dan pilihan mereka sendiri.
Ibu bapa umpamanya perlulah menukar gaya layanan terhadap anak mereka setelah anak tersebut berkahwin. Ini adalah kerana anak tersebut sudah mendapat tanggungjawab dan peranan baru.
Walaupun perlu berjauhan dengan ibu bapa, ia tidak bermakna anak tersebut tidak menghargai ibu bapa tersebut. Anak-anak yang sudah berkahwin memerlukan ruang mereka sendiri membina kebahagiaan diidamkan.
Melayari bahtera perkahwinan bukanlah suatu perkara mudah.
Badai dan gelora kadang-kadang melanda kedamaian yang ingin dikecap. Namun kebijaksanaan dan perasaan kasih sayang menjadi parameter untuk mengemudi bahtera yang bergelora. Kehidupan ini adalah ibarat bahtera.
Berbalik kepada peranan orang ketiga ini, seharusnya kita menjadi orang ketiga yang mengukuhkan suatu ikatan perkahwinan, bukan mencetuskan permusuhan dan perceraian.
Walaupun kadangkadang kita tidak bermaksud mahu memusnahkan suatu perkahwinan namun hakikatnya perbuatan kita akan menjerumuskan pasangan berkahwin kepada perceraian.
Janganlah kita menjadi punca kepada perceraian orang lain khususnya dalam kalangan ahli keluarga kita sendiri
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/zainul-rijal-abu-bakar/campur-tangan-orang-ketiga-1.785734
0 Komentar untuk " Campur tangan orang ketiga "