PANDANGAN akan menentukan perasaan dan keadaan hati. Dari mata turun ke hati, dari hati lahirnya lisan dan tindakan. Kesihatan mata perlu sentiasa dijaga supaya tidak dirosakkan oleh virus dosa.
Mata dan hati saling berkaitan, hati ialah raja dalam kerajaan diri. Manakala mata umpama utusan yang bertugas sebagai penyampai maklumat yang sangat dipercayai oleh raja. Jika maklumat disampaikan baik, maka baiklah hati.
Apabila hati baik, seluruh anggota dan pancaindera akan menjadi baik, begitulah sebaliknya. Oleh sebab mata mempengaruhi hati, usaha menjadi manusia yang lebih baik mesti bermula dengan menjaga mata.
🔥Pandangan jahat🔥
Jangan sekali-kali membawa sampah dosa ke dalam hati melalui pandangan jahat dan liar. Bayangkan betapa seriusnya Rasulullah SAW menjaga pandangan Baginda dan sahabat.
Ibnu Abbas mengisahkan, "Al-Fadhl pernah membonceng Rasulullah SAW. Kemudian datang seorang wanita daripada Khats'am, lalu dia memandang wanita itu dan wanita berkenaan memandang beliau. Lantas Nabi SAW segera memalingkan wajah Fadhl ke arah lain." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Menjaga pandangan adalah dengan menahan mata daripada memandang sesuatu yang diharamkan Allah SWT, termasuklah zina mata iaitu perbuatan menghampiri zina dan pandangan.
Justeru, pandanglah yang baik-baik. Sesiapa memandang yang baik akan mendapat kebaikan. (Buku Allah Dekat Tiada Gawat)
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/01/379224/kawal-keteguhan-hati-awasi-pandangan-mata
0 Komentar untuk " Kawal keteguhan hati, awasi pandangan mata "