RAMADAN mendidik manusia menjadi insan bertakwa dan membentuk nilai integriti dalam diri. Ibadah dilakukan Ramadan tidak mengenal darjat dan kedudukan. Justeru, manfaat peluang sepanjang Ramadan dengan meningkatkan ibadah. Ikuti perkongsian bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati di IKIMfm. Allah SWT mengurniakan Ramadan kepada umat Nabi Muhammad SAW kerana usia mereka tidak sepanjang umat terdahulu, malah usia nabi terdahulu mencecah ratusan tahun. Rasulullah SAW berkata, umur umat Baginda antara 60 hingga 70, tentunya dapat melakukan amalan sedikit sahaja.
Oleh itu, Allah SWT kurniakan satu malam pada Ramadan yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam al-Qadr yang menyamai 80 tahun manusia beribadah kepada Allah SWT. Peluang itu diberi sebanyak 10 kali sahaja sepanjang hidup manusia untuk mengecapi malam al-Qadr, iaitu seumpama 800 tahun mereka beribadah kepada Allah SWT. Persiapan menghadapi Ramadan dilakukan dua bulan sebelumnya, iaitu pada Rejab dan Syaaban yang juga tempoh latihan bagi umat Nabi Muhammad SAW melakukan amal ibadat. Ramadan dikurniakan supaya mereka dapat memperbaiki kehidupan sentiasa berada di jalan lurus. Manusia sering kali hanyut daripada mengingati Allah SWT, maka dengan berpuasa mereka akan menginsafi segala dosa serta menyedari mereka adalah hamba kepada Allah SWT.
Perkongsian bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati di IKIMfm menjelaskan, umat manusia akan berasa sesal selepas kembali menghadap Allah SWT di Padang Mahsyar dan dikembalikan ke dunia untuk melakukan amal salih ditinggalkan dahulu. Sesalan juga dirasai apabila mereka dikunjungi malaikat Izrail untuk dicabut nyawa, ketika berada di alam kubur dan sewaktu disoal Malaikat Mungkar dan Nangkir. Namun, rasa sesal itu tidak lagi berguna, malah ditempelak oleh Allah SWT atas kelalaian mereka menjalani kehidupan di dunia.
Rahmat Ramadan
Rahmat Allah SWT ketika tiba Ramadan juga dikurniakan kepada mereka yang berada di alam barzakh. Manusia sering kali terpesong dalam tiga keadaan, antaranya tersesat dalam pegangan dan tidak yakin kepada agama Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang yang paling rugi amal perbuatannya? (Iaitu) orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan." (Surah al-Kahfi, ayat 103-104)
Tempoh berpuasa bermula pada waktu Subuh hingga Maghrib menuntut manusia meninggalkan makan dan minum serta perkara yang boleh membatalkan ibadah puasa dan membatalkan pahala puasa. Puasa mampu membentuk integriti manusia kerana sistem yang diatur oleh Allah SWT sepanjang menjalani ibadah itu, sehingga menimbulkan kesedaran supaya tidak mengkhianati tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Allah SWT juga ingin mendidik bahawa ibadah dilakukan pada Ramadan tidak mengenal darjat dan kedudukan manusia kerana semuanya hamba-Nya harus mengikuti jadual yang telah disusun oleh-Nya.
Jadi insan bertakwa
Situasi itu mewujudkan kesedaran sehebat manapun manusia perlu mengikut perintah Allah SWT. Sahur dilakukan menjaga waktu Subuh, manakala waktu berbuka selepas masuknya waktu Maghrib. Kegembiraan bagi orang berpuasa akan dirasai apabila tibanya saat berbuka. Pada Ramadan Allah SWT mendidik akhlak manusia yang sentiasa tercalar kerana kekasaran tutur kata yang menyinggung perasaan orang lain. Mulut manusia mudah dijaga begitu juga perkataan digunakan ketika berpuasa kerana kesilapan itu akan menjejaskan pahala puasa. Selain itu, Ramadan mendorong manusia mencapai matlamat menjadi insan bertakwa kepada Allah SWT kerana bulan ini penuh keberkatan, terbukanya pintu syurga dan tertutupnya pintu neraka.
Waktu ini juga peluang untuk membantu mereka yang telah meninggal dunia. Sebagai seorang anak, berdoalah untuk kedua ibu bapa yang telah meninggal dunia supaya dapat melepaskan mereka daripada azab kubur. Pada Ramadan diringankan azab penghuni alam barzakh bagi mereka yang didoakan oleh anak yang salih. Selain itu, berinfaq dengan nama kedua ibu bapa yang telah meninggal dunia akan mengalirkan pahala berterusan kepada mereka. Hubungkan silaturahim dalam kalangan keluarga dan sahabat ibu bapa yang masih hidup untuk beroleh keberkatan Allah SWT.
Oleh Fairuz Noordin
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/288842
0 Komentar untuk " Puasa Ramadan bentuk integriti "