"SAYA bukan usahawan, tidak ada sedikit pun ciri usahawan, malah sedikit darah peniaga pun tidak ada dalam keluarga. Saya tidak tahu pun hendak menjual, untuk mempromosi barangan atau produk pun tidak pernah apatah lagi untuk membuat pemasaran. Hendak berniaga ini perlu ada bakat, kalau tidak ada bakat macam mana hendak berjaya sebagai usahawan." Kata-kata ini memang sentiasa didengari dalam masyarakat kita, bukan sahaja dalam kalangan mereka yang lebih cenderung dan selesa kepada kehidupan makan gaji, malah mereka yang tidak mempunyai pekerjaan pun ramai berfikiran begitu. Tetapi, betulkah pernyataan yang diberikan itu? Menurut statistik SME Corporation, lebih 90 peratus perniagaan di Malaysia terdiri daripada per-usahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sesetengah pemiliknya bermula daripada perniagaan kecil-kecilan, kemudian berkembang mengikut peredaran masa.
Sebagai contoh, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary adalah ahli perniagaan yang berjaya dan juga antara jutawan Melayu di Malaysia. Bermula sebagai pengusaha daging lembu dan kerbau pada usia belasan tahun, Syed Mokhtar kemudian mempelopori syarikat pengangkutan, syarikat pelesenan beras sehingga beliau dapat mengasaskan Yayasan (Islam) Al-Bukhary pada 1996. Datuk Aliff Syukri, pengasas D'Herbs Terlajak Laris pula mula berniaga jeruk sejak usia 7 tahun, kemudian berniaga secara kecil-kecilan, akhirnya membuahkan hasil lumayan pada masa sekarang ini hingga memiliki premis perniagaan sendiri. Bagaimanapun, kedua-dua Syed Mokhtar dan Aliff secara tidak langsung mewarisi bakat berniaga dari kedua ibu dan bapa mereka sejak kecil lagi yang berkemungkinan besar membuatkan mereka lebih cenderung menjadi usahawan daripada makan gaji. Membaca kisah hidup kedua-dua usahawan Melayu yang berjaya ini, wujud ciri luar biasa sifat usahawan yang ada pada mereka, iaitu berani mencuba serta berani menanggung risiko.
Kreatif, berinovasi
Mereka sanggup tidak mengikut norma kehidupan yang biasa dilalui oleh orang lain secara amnya seperti menyambung pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), masuk kolej dan universiti. Tetapi mereka memilih bidang perniagaan untuk mereka pelopori. Tekanan hidup dilalui oleh mereka menjadikan mereka individu kreatif, berinovasi serta bijak dalam mencari peluang. Pada masa kini, sistem pendidikan negara juga banyak menerapkan unsur keusahawanan. Ia tidak terhad kepada pendidikan di sekolah, malah turut diterapkan dalam pembelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT). Bagi merealisasikan ini, kerajaan menawarkan pelbagai bentuk bantuan kemudahan peralatan serta bantuan kewangan atau modal.
Antara sokongan yang kerajaan berikan kepada usahawan adalah agensi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), TEKUN, SME Corp, MDEC, MARA serta banyak lagi. Malah di IPTA dan IPTS juga menawarkan ijazah dalam bidang keusahawanan. Sebagai contoh, Universiti Kebangsaan Malaysia, melalui Fakulti Ekonomi dan Pengurusan menawarkan ijazah sarjana dan sarjana muda muda dalam bidang keusahawanan dan inovasi. Tuntasnya, usahawan boleh wujud secara semula jadi ataupun melalui asuhan. Tidak semestinya seseorang yang sememangnya secara semula jadi mempunyai ciri keusahawanan mampu untuk menjadi usahawan jika tiada didikan yang betul ke arah bidang keusahawanan. Ini bererti bahawa kewujudan usahawan tidak bergantung kepada faktor semula jadi semata-mata tetapi turut disebabkan oleh faktor didikan, asuhan dan latihan dari seawal yang mungkin berserta dengan minat dan kesabaran.
Oleh Dr Noor Azuan Hashim
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/288838
0 Komentar untuk " Usahawan semula jadi atau asuhan "