Sektor pendidikan seiring pelaksanaan Resolusi Kongres Budaya 2017 - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sektor pendidikan seiring pelaksanaan Resolusi Kongres Budaya 2017



Seperti dijangka, Kongres Budaya 2017 menggariskan beberapa resolusi yang dipikul ke atas sektor pendidikan negara. Pembudayaan adalah proses menumbuh dan menyuburkan pemikiran dan perlakuan manusia. Peranan paling penting sektor pendidikan ialah pada resolusi keenam iaitu 'sistem pendidikan negara menjadi saluran utama pembinaan budaya tinggi.' Proses pendidikan di sekolah juga adalah proses memupuk sikap, nilai, peri laku, pemikiran dan kebijaksanaan. Murid yang belajar bahasa ibunda, bahasa kedua, Matematik, Sains, Agama, Sejarah, Kesusasteraan atau Geografi sebenarnya sedang dibentuk cara berfikir, sikap dan tingkah laku oleh ilmu dalam mata pelajaran berkenaan.

Proses pembelajaran yang kelihatan akademik sebenarnya adalah proses pembangunan budaya. Resolusi Keenam ada kebijaksanaannya dan sangat dinanti-nantikan. Kecenderungan perkembangan tingkah laku sebahagian orang muda tidak seperti diharapkan masyarakat. Dasar dan program utama pendidikan sehingga kini tidak pernah mengabaikan aspek ini. Bermula dengan Kurikulum Baharu Sekolah Rendah (KBSR) yang menyebut pembentukan 'insan kamil,' Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dengan penyerapan nilai murni, Sekolah Bestari dengan berfikir aras tinggi, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 -2010 dengan modal insan berketrampilan dan berkeperibadian hinggalah Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025. Hasrat semua gagasan inilah yang dipanjangkan ke dalam sukatan mata pelajaran.

Resolusi keenam Kongres Budaya 

Namun, tindakan Kongres Budaya membangkitkan resolusi keenam jelas mengendong harapan supaya sektor pendidikan bukan sahaja bekerja lebih kuat, malah memperagakan produk lebih konkrit. Ada tanda masyarakat agak cemas dengan gelagat generasi muda kini yang terpengaruh dengan didikan tidak formal luar sekolah. Bahagian yang menunggu sentuhan lebih strategik ialah kerja peringkat pelaksanaan. Misalnya penekanan terhadap aspek pembangunan insan dalam sukatan pelajaran perlu dipastikan benar-benar boleh diurus, mudah dan selesa dilaksanakan guru dalam proses pembelajaran dan pengajaran (PdP). Sebagai sebuah pasukan pelaksana besar, guru perlukan inspirasi daripada pemimpin pendidikan untuk terus istiqomah bahawa tugas membangunkan sahsiah dan perlakuan murid tidak dapat dipisahkan daripada guru.

Justeru, bagi memenuhi cita-cita resolusi keenam adalah penting memastikan guru dan sekolah faham, yakin, bermotivasi dan mahir menterjemah semua falsafah, dasar dan program pembangunan sahsiah. Di sinilah guru dan sekolah perlu dibantu dan dipimpin sewajarnya. Resolusi kedua Kongres Budaya menggesa golongan yang ada kedudukan dan pengaruh, termasuk guru menunjukkan teladan budaya tinggi kepada masyarakat (BH muka surat 15, 17 April 2017). Jika mahu orang muda kita amal budaya tinggi, wajarlah mereka dipimpin dan dididik guru berbudaya tinggi. Suatu ketika dahulu guru dihormati dan diteladani.

Di sebalik ilmu yang sederhana jiwa, keperibadian dan perwatakan guru nyata mantap. Bekas Pengarah Institut Aminudin Baki, Prof Dr Ibrahim Ahmad Bajunid pernah mendidik guru sehingga zaman awal kemerdekaan diangkat oleh bangsa sebagai kumpulan intelektual mereka. Guru membalas kepercayaan ini dengan memimpin pelbagai kegiatan memajukan masyarakat daripada persatuan belia, koperasi, seni dan budaya, ekonomi, pendidikan, kesusasteraan hinggalah gerakan politik.

Cabaran guru

Namun kemajuan negara yang turut dirintis guru menyaksikan berlakunya perubahan ketara kedudukan guru. Perubahan dalam keutamaan mendidik, membuatkan fokus kerja guru semakin sempit. Agak malang akhirnya ada melihat kerja mereka hanya membuatkan murid mendapat A. Tanpa disedari teras kerja mereka berganjak daripada 'guru' kepada 'pengajar' lalu terlerailah sifat keguruan yang membaluti jiwa mereka. Tiada lagi kelihatan sosok guru sebagai kelompok budayawan atau intelektual bangsa.

Suatu tragedi kepada profesion ini. Munasabah jika dibangunkan pula budaya kerja yang mampu memelihara integriti dan kejujuran akademik guru. Tiada siapa dapat ketepikan peranan sektor pendidikan dalam resolusi kelima Kongres Budaya yakni menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara. Namun, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama semakin meresahkan. Mungkin perubahan persekitaran kini memerlukan anjakan baharu dalam pembelajaran bahasa Melayu, khususnya dalam penekanan terhadap kecintaan kepada bahasa ini.

A Foa'ad Hashim

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/288143
0 Komentar untuk " Sektor pendidikan seiring pelaksanaan Resolusi Kongres Budaya 2017 "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ