Undang-undang kerajaan sementara - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Undang-undang kerajaan sementara


RAMAI yang menjangkakan bahawa tidak lama lagi, Perdana Menteri akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen. Apabila ini berlaku, dijangkakan semua Dewan Undangan Negeri di seluruh negara juga akan dibubarkan, melainkan Dun Sarawak yang melangsungkan pilihan rayanya pada tahun lepas.

Sama ada ia akan berlaku pada tahun ini, ataupun pada tahun hadapan, atau sehinggalah Parlimen dengan sendirinya terbubar pada Jun 2018, apa yang pasti adalah kita akan berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-14 tidak lama lagi.

Atas semangat ini, adalah penting supaya kita sebagai rakyat mendesak penambahbaikan sistem pilihan raya yang sedia ada untuk memastikan PRU akan datang berlangsung dengan adil dan bersih. Ada beberapa langkah yang boleh diambil oleh Kerajaan atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menambah baik sistem yang sedia ada.

Untuk rencana ini, penulis akan memberi tumpuan kepada penggubalan undang-undang ‘Kerajaan Sementara’, atau dalam bahasa Inggeris, Caretaker Government.

Apabila Parlimen dan Dun telah dibubarkan, apa akan jadi dengan Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri yang sedia ada? Apabila Parlimen dan Dun terbubar, mandat yang diberikan pada pilihan raya umum yang lepas juga akan luput dengan sendirinya.

Sepatutnya, mengikut amalan negara-negara yang mengamalkan sistem Parlimen Westminster, kerajaan yang sedia ada akan bertukar secara automatik menjadi kerajaan sementara.

Namun demikian, Perlembagaan Persekutuan dan negeri-negeri tidak memperuntukkan tentang kerajaan yang mentadbir semasa tempoh dewan perundangan terbubar dan sehinggalah terbentuknya kerajaan yang baharu. Perlembagaan juga tidak menyatakan apa-apa tentang kuasa dan had kerajaan sementara ini.

Secara amnya, sebuah kerajaan sementara adalah kerajaan minimum, bagi memastikan urusan seharian negara dapat dijalankan tanpa gangguan dalam tempoh ini. Pada dasarnya, sebuah kerajaan sementara tidak wajar mengambil apa-apa tindakan yang dapat mengikat kerajaan yang akan datang, kerana ia adalah kerajaan tanpa mandat.

Jika biasanya kerajaan bertanggungjawab kepada Parlimen atau Dun, kerajaan sementara pula tidak mempunyai sesiapa untuk sekat dan imbang.

Sebuah kerajaan sementara tidak boleh mengumumkan inisiatif baharu, membuat keputusan dasar, inisiatif atau perbelanjaan baharu. Kerajaan sementara juga tidak boleh menandatangani perjanjian baharu atau memberi aku janji baharu.

Kerajaan sementara tidak boleh membuat pelantikan penting. Lawatan rasmi dalam atau luar negeri juga tidak wajar dibuat oleh kerajaan sementara. Akhir sekali, kerajaan sementara harus pastikan bahawa sumber dan jentera kerajaan tidak boleh digunakan untuk kempen politik.

Kerajaan sementara akan menjalankan berterusan sehinggalah keputusan pilihan raya umum diketahui dan kerajaan baharu dibentuk. Pada ketika itu, ‘nyawa’ kerajaan sementara akan secara semula jadi berakhir.

Dalam negara-negara lain, kerajaan sementara tidak termaktub dalam undang-undang. Cuma sebagai amalan atau konvensyen, atau dinyatakan dalam suatu ‘kod etika’ yang tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang, tetapi tetap dipatuhi oleh semua pihak.

Tetapi penulis fikir bahawa untuk negara kita, sistem kerajaan sementara ini lebih baik dimaktubkan sebagai undang-undang yang akan mengikat semua pihak, tidak kira siapa pun yang memegang tampuk kuasa sementara PRU berlangsung.

Dengan adanya undang-undang kerajaan sementara, kita boleh memastikan bahawa jentera dan sumber kerajaan, tidak kiralah sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri, tidak disalahgunakan untuk memancing undi semasa pilihan raya umum berlangsung.

Ini akan sedikit sebanyak memastikan tidak ada pihak mendapat keuntungan atau manfaat tidak wajar hanya kerana mereka adalah membentuk kerajaan pada PRU yang lepas.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur

0 Komentar untuk " Undang-undang kerajaan sementara "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ