SAYA tertarik dengan satu isu yang bermula sebagai komentar di FB dan telah berakhir menjadi satu isu nasional. Isu berkenaan sebuah buku bertajuk Becoming Hannah yang dijual di rak terbuka dalam kedai-kedai buku di negara ini. Buku ini mengisahkan kehidupan Hannah Yeoh yang ingin menjadi pendakwah Kristian dan telah menulis buku dengan tujuan tertentu. Buku ini telah dibeli sesiapa jua termasuklah Dr Kamarul Yusoff. Tetapi yang peliknya Hannah Yeoh selaku seorang ahli politik, Adun dan juga seorang Speaker Dun Selangor terkesan dengan komentar FB ini dan membuat laporan polis.
Jika diteliti dalam buku ini menunjukkan banyak campuran antara dakwah Kristianisasi dan politik dalam kehidupan Hannah Yeoh. Malah terdapat dakwaan mengatakan agenda Hannah Yeoh secara efektif menggunakan kedudukannya sebagai speaker Dun Selangor untuk menghalang sebarang usul yang dibawa oleh ahli-ahli Dewan yang beragama Islam untuk memperkasakan Islam di Selangor, termasuk usul menambah baik fungsi dan peranan mahkamah syariah.
Sebagai contoh pada 26 Julai 2016, Adun Permatang Pasir, Datuk Sulaiman Abdul Razak telah menghantar surat memaklumkan akan membawa usul memperkasa institusi mahkamah syariah di negeri itu, tetapi ditolak oleh Hannah Yeoh seperti yang dinyatakan melalui surat balas bertarikh 2 November 2016.
Malah dalam buku tersebut menurut Dr Kamarul, mengatakan Hannah Yeoh mengakui penglibatannya dalam bidang politik telah dibantu oleh gereja baik dari segi dana, kempen dan sebagainya. Adakah kenyataan ini menggambarkan terdapat campur tangan dalam urusan hal ehwal agama Islam di Selangor dan membelakangi kedudukan, fungsi serta peranan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Ketua Agama Islam di negeri itu.
Jika ini benar, apakah tanggungjawab kerajaan negeri Pakatan Harapan Selangor pada masa ini. Sebelum ini pun pernah terjadi - kemurkaan Sultan Selangor ke atas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kerana mempertikaikan fungsi Majlis Agama Islam Selangor. Tiada tindakan dikenakan ke atas mana-mana ahli politik Pakatan Harapan yang melakukan kesalahan. Berbanding jika ahli-ahli politik Barisan Nasional yang melakukan kesalahan tersebut walaupun belum dibuktikan, sudah ada suara dan desakan ahli-ahli politik Pakatan Harapan supaya tindakan diambil.
Contohnya Dr Mohamad Khir Toyo selaku bekas Menteri Besar Selangor yang disabitkan kesalahan pada permulaan kes rasuah telah meletak jawatan atas keintegritian seorang ahli politik. Sebaliknya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak meletakkan jawatan walaupun permulaan kes rasuah disabitkan ke atas beliau. Tiada pula suara lantang menyuruh supaya tindakan diambil ke atas Guan Eng.
Tidak hairan jika buku Becoming Hannah ini menjadi kontroversi bukan disebabkan Hannah Yeoh, tetapi konflik kepentingan kedudukan beliau sebagai Speaker Dun Selangor. Tambahan pula, buku ini turut dijual di tempat awam dan terbuka kepada masyarakat Islam serta bertentangan dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa undang-undang negeri dan berkenaan dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan penganut Islam, selaras dengan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam di peringkat negeri.
Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 3(1) yang menyebut bahawa agama Islam adalah Agama Persekutuan dan diikuti dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang menyebut bahawa agama Islam adalah agama negeri. Dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan Agama menyatakan seseorang itu melakukan kesalahan jika memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang lain yang beragama Islam supaya menjadi penganut atau anggota suatu agama bukan Islam atau supaya cenderung kepada agama itu.
Maka yang 'bodoh' bukanlah Dr Kamarul tetapi mereka yang tidak memahami aspek perundangan, pentadbiran dan budaya masyarakat negara ini. Berbagai-bagai alasan dan hujah diberikan menunjukkan mereka mengamalkan double standard dan tidak menerima teguran seorang insan kerdil yang merupakan rakyat marhaen di negara ini.
* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan
0 Komentar untuk " Kontroversi 'saya bukan bodoh' "