ABAD 21 bermula dengan ranapnya Iraq, diikuti oleh Libya. Jelas sekali keranapan itu diakibatkan oleh AS. Sebagai kuasa nombor satu dunia, AS melakukannya tanpa menerima libasan ekor pari. Tidak ada siapa yang berani menyanggahnya.
Sebab yang diberikan untuk melakukan keburukan itu hanya dari pandangannya saja, dikongsi dengan rakan-rakan di Eropah dan sesetengah negara lain.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya berputih mata melihat tindakan AS. Yang PBB boleh buat ialah mengeluarkan kenyataan.
Dunia hanya melihat Persidangan Agung dan Majlis Keselamatannya bermesyuarat hebat, tetapi tidak membawa sebarang perubahan.
Apakah mesej dari segalanya itu? AS melanjutkan budaya Barat yang menggunakan peperangan untuk mencapai tujuannya. Pengalaman Barat berperang amat tebal dan luas.
Ini tidak boleh dilawan oleh orang Asia dan Afrika yang tidak menjadikan perang sebagai budaya.
Disebabkan pengalaman itu, Barat menjajah Timur melalui kapal perang, mula-mulanya pakai layar tetapi kemudiannya pakai enjin.
Lima ratus tahun dulu Portugis ialah antara yang terawal mempraktikkan penjajahan begitu. Disebabkan ia negara kecil, tetapi terdiri daripada pelaut yang bijak, ia memilih untuk menjarah lautan, memerangi di mana-mana yang ia boleh menang.
Antara yang masuk ke tangan Portugis ialah Goa, Melaka, Macau dan Timur.
Di pihak lain, England, Perancis, Belanda, Sepanyol, Itali, Jerman dan lain-lain, selepas penat berperang
sesama sendiri sebelum wujudnya agama Kristian, mula mengikuti jejak langkah Portugis. Sepanyol mengaup kepulauan Melayu yang kini bernama Filipina.
Belanda pula mengelongkan kepulauan Melayu yang lebih besar, dipanggil Hindia Timur Belanda, kini Indonesia. England membuntuti Belanda dan Sepanyol menyeberangi Sepanyol, Belanda dan Portugis bertumpu di Amerika Selatan dan Laut Carribean.
Hasilnya ialah, kecuali Brazil masuk ke tangan Portugis, yang lainnya termasuk Argentina dicekak Sepanyol. Belanda berpuas hati dengan beberapa buah pulau kecil.
Peperangan mereka di tanah besar Eropah dipindahkan ke Amerika. Ambil New York sebagai contoh.
Mula-mula ia taklukan Belanda, dinamakan New Amsterdam, sempena nama kota utama di Belanda.
Bila England menang, ia bertukar kepada New York, sempena nama Duke of York, bakal King James II.
Selepas itu, Belanda angkat kaki, membiarkan England bertapak di situ setelah England bersetuju menyerahkan Maluku jiran Sulawesi kepada Belanda.
Dengan itu Hindia Timur Belanda yang mengandungi Jawa dan Sumatra ditambahi Maluku pula. Berharganya Hindia Timur ini ialah kerana perdagangan rempah-ratus.
Di kota Rom 25 tahun dulu, saya dibawa berkunjung ke tinggalan-tinggalan binaan lama.
Memandangkan tinggalan itu ranapan perang berulang-ulang, satu soalan diajukan: Kenapa mereka berperang? Jawapan yang diberikan ialah, pemenang merampas semua harta benda, makan minum dan manusia sekali. Lebih banyak menang perang, lebih kuat, besar dan kaya negeri pemenang.
Hakikat ini membawa kita ke abad 19, kira-kira 150 tahun dulu.
Minyak, bijih timah dan getah dikenal pasti Eropah sebagai bahan penting mengembangkan industri untuk maksud perkapalan dan keretapi. Lebih penting lagi apabila kereta dicipta di selekoh abad 19 dan 20. Demi minyak, England, AS, Perancis, Itali, dan Sepanyol bersatu pula menyingkirkan Turki dari bumi Arab selepas Perang Dunia I.
Untuk ‘kontrol’ hasilan minyak, banyak pemimpin Badwi (penjarah padang pasir), yang pernah menolong kuasa Barat memerangi Turki, dijadikan raja dan amir di negeri-negeri tertentu, ada yang baru dicipta.
Akibatnya, rakyat dan cucu-cicit mereka rasa terhina melihat pemerintah mereka ditarik hidung oleh Barat, maka tidak henti-hentilah penentangan mereka terhadap Barat. Apabila segalanya buntu, sedangkan senjata dinafikan, maka jalan yang tinggal ialah menjadikan diri sebagai bom. Sudah tidak terkira banyaknya ‘bom’ begitu meletup mengakibatkan beribu-ribu mangsa.
Yang terakhir kini ialah di Manchester, England, kota glamor bola sepak. Tujuannya ialah menyampaikan mesej: selesaikan punca sebab-musababnya; pulihkan keadilan di Israel dan kemerdekaan sejati di Timur Tengah dan bumi Arab. Maruah bukan hanya monopoli Barat.
*Tan Sri Adam A Kadir, mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet
0 Komentar untuk " Bukan terorisme tetapi maruahisme "