Ramadan memberi peluang perubahan ke arah yang lebih baik. Islam mengatur kehidupan manusia bersesuaian dengan syariat. Muslim beriman membangun potensi diri mencontohi Rasulullah SAW. Baginda memberi perhatian kepada keberkatan waktu pagi. Baginda SAW ada berdoa maksudnya: "Ya Allah, berkatilah umatku di pagi hari.. (Riwayat Abu Daud). Sayyidatina Fatimah RA meriwayatkan: "Pada suatu pagi, Rasulullah SAW melewati di hadapanku dalam keadaan aku sedang berbaring, sambil membangunkan aku Baginda bersabda bermaksud: Hai anakku, bangun, saksikanlah rezeki Tuhan-Mu dan janganlah engkau menjadi orang yang lengah kerana Allah membahagikan rezeki kepada manusia di waktu fajar mulai menyinsing hingga matahari terbit." (Riwayat Baihaqi).
Islam meletakkan cara terbaik memanfaatkan rutin harian di bulan yang mulia ini, antaranya waktu imsak:
(a) Bangun dengan mensyukuri nikmat bangun di pagi hari kerana kehidupan yang dikurniakan Allah SWT dan dikembalikannya ruh padanya. Membaca doa setelah bangun tidur yang menjadi sunnah Rasulullah SAW. Dari Hudzaifah, ia berkata yang bermaksud: "Apabila Nabi SAW hendak tidur, Baginda mengucapkan: Bismika Allahumma amuutu wa ahya (Dengan nama-Mu, Ya Allah aku mati dan aku hidup). Dan apabila bangun tidur, baginda mengucapkan: Alhamdulillahil lazii ahyaana ba'da maa amaatana wailaihi nusyur (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami, dan kepada-Nyalah tempat kembali). (Riwayat Bukhari).
(b) Menyapu kesan tidur pada muka. Imam Nawawi dan Imam Ibn Hajar merekodkan sunat menyapu kesan tidur apabila bangun dari tidur. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW bermaksud: Rasulullah SAW bangun daripada tidur lalu menyapu kesan-kesan tidur pada wajahnya. (Riwayat Muslim).
(c) Bersugi atau menggosok gigi membuang bau mulut yang tidak menyenangkan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sekiranya tidak membebankan umatku, nescaya aku memerintahkan mereka bersugi setiap kali ingin solat. (Riwayat Bukhari dan Muslim). Memulakan hari dengan bersahur. Kehidupan lebih tersusun berbanding bangun lambat. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sahurlah kamu sekalian, sesungguhnya sahur itu ada keberkatannya. (Riwayat Muslim).
Keberkatan itu ialah ganjaran pahala dari Allah SWT dan menguatkan lagi semangat dalam berpuasa serta memberi kekuatan melakukan apa aktiviti sepanjang ibadat puasa. Bekerja dinilai sebagai ibadah jika tidak melalaikan dari kewajipan kepada Allah, tiada alasan tidak ada waktu untuk beribadah kerana mementingkan pekerjaan. Ibadah mewarnai kehidupan seorang Muslim merangkumi hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia. 6 pagi: menunaikan solat sunat Subuh. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Solat dua rakaat (sebelum) solat Subuh itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya. (Riwayat Muslim).
Solat Subuh berjemaah.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Sesiapa yang keluar ke masjid pada waktu pagi atau petang, Allah SWT akan sediakan kepadanya di syurga tempat berteduh pada setiap kali ia keluar. (Riwayat Bukhari dan Muslim). Solat sunat duha 8 pagi: memulakan pekerjaan / belajar dengan penuh ketekunan dan keikhlasan. Setiap pekerjaan yang baik adalah ibadah.
10 pagi: mengambil sedikit masa mengerjakan solat sunat duha. Rasulullah SAW bersabda Allah Azza Wa Jalla berfirman maksudnya: Wahai anak Adam, janganlah engkau sampai tertinggal mengerjakan solat empat rakaat pada permulaan siang (dhuha), nescaya Aku akan memberi kecukupan kepadamu sampai akhir siang. (Riwayat Abu Daud).
1.30 tengah hari: menunaikan solat fardu Zuhur dan solat sunat qabliah dan ba'diah. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas Zuhur sebanyak 4 rakaat, maka Allah akan mengharamkan dirinya dari api neraka. (Riwayat Abu Daud & Tirmidzi).
2 petang: menyambung tugasan. 4.40 petang: menunaikan solat Asar dan sunat. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Orang yang terlewat (tidak mengerjakan) solat asar, seolah-olah dia kehilangan keluarga dan hartanya. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
5 petang: pulang.
Maghrib: Berbuka Puasa. Disunatkan berbuka dengan tiga biji kurma dan segelas air. Anas bin Malik berkata: Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab (buah kurma ranum). Jika tiada rutab, Baginda akan berbuka dengan tamar (kurma kering) dan jika tiada tamar, Baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat Tirmizi). Menunaikan solat Maghrib. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Waktu Maghrib sampai hilangnya shafaq (mega). (Riwayat Muslim).
8.30 malam: menunaikan solat Isyak. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Sesiapa yang solat Isyak berjemaah, seolah-olah dia solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, seolah-olah dia melaksanakan solat malam satu malam penuh. (Riwayat Muslim). Mengerjakan solat sunat tarawih dan witir sama ada 20 mahupun lapan rakaat.
Berdoa sebelum tidur sambil berniat bangun awal. Tidur yang berpatutan adalah ibadah. Diriwayatkan ketika mahu melelapkan mata Baginda SAW meletakkan tangan kanan di pipi kanan dan berdoa. Azan berkumandang menunjukkan perubahan waktu. Individu Muslim diajar menjaga masa. Setiap Muslim tetap dalam ibadah walaupun ketika bekerja mencari nafkah, selama apa dilakukan adalah kebaikan.
Berkata baik, memasak untuk keluarga, walau sekadar satu senyuman diniatkan kerana Allah adalah ibadah. Hidup begitu indah dengan ibadah. Ramadan menawarkan peluang ibadat diberi ganjaran 70 kali ganda, manakala ibadat sunat diberi ganjaran ibadat fardu. Salam Ramadan al-Mubarak 1438H.
Tan Sri Dr Abdullah Muhammad Zin
Penasihat Agama kepada Perdana Menteri
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/287220
0 Komentar untuk " Meraih keberkatan Ramadan "