Ramadan madrasah jernihkan akal budi, rohani - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ramadan madrasah jernihkan akal budi, rohani


TETAMU mulia umat Islam akan berkunjung lagi membawa seribu keberkatan dan kerahmatan kepada mereka yang menyambut dan memuliakannya. Tetamu mulia yang dimaksudkan itu ialah Ramadan, bulan disyariatkan umat Islam berpuasa. Ia adalah bulan mulia yang membawa segala rahmat, kebaikan, keberkatan dan maghfirah. Pada bulan ini malaikat akan turun untuk memanjatkan doa dan pujian supaya orang yang berpuasa memperoleh keampunan. Rugilah mereka yang mengabaikan kedatangan Ramadan kerana pintu kebaikan tidak akan dibuka untuk mereka, malah mereka menjadi orang yang rugi. Sesungguhnya Ramadan adalah bulan untuk mempertingkat segala amal ibadat. Pada siang hari kita berpuasa dan pada malam hari dianjurkan kita berqiyamullail dengan melaksanakan solat tarawih, termasuk memperbanyak membaca al-Quran. Semuanya dibuat semata-mata mengharap keredaan Allah SWT.

Sesungguhnya ibadat puasa adalah satu daripada dari rukun Islam yang wajib dilaksanakan seperti maksud firman Allah SWT: "Hai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa, sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa" (al-Baqarah:183). Bulan penuh hikmah ini tidak harus dipersiakan atau dibiarkan berlalu begitu sahaja kerana puasa dilakukan dengan penuh keikhlasan dan keimanan mampu mempertajam dan menjernih akal budi serta rohani insan.

Banyak hikmah 

Seorang mukmin yang berpuasa dengan penuh tumpuan dan kesedaran, pasti akan memperoleh banyak hikmah daripada puasa yang dilaksanakan. Hikmah yang diperoleh bukan hanya untuk dirinya sahaja, malah juga mencakupi masyarakat luas. Sebagai bulan yang dikenali sebagai 'syahrul ibadah' (bulan ibadah), 'syahrul fath' (bulan kemenangan), 'syahrul huda' (bulan petunjuk), 'syahrul ghufran' (bulan penuh ampunan), 'syahrul jihad' (bulan perjuangan) dan 'syahrus salam' (bulan keselamatan), maka pastinya bulan mulia ini mampu menciptakan keselamatan, kesejahteraan dan kedamaian bagi umat manusia.

Pada bulan ini, manusia akan diuji keupayaannya menahan diri daripada perbuatan biasa dibuat pada siang hari, terutama keperluan primer (makan dan minum), termasuk menjadi amalan batinnya, iaitu bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Kejayaannya ini akan meningkatkan ketakwaan. Apabila ketakwaan meningkat maka ia membuahkan ketajaman rohani dan juga kepekaan sosial sehingga menimbul rasa kasih sayang dan kemanusiaan sesama insan. Malah, puasa mampu menjadi pengalaman rohani tersendiri dan kesedaran terhadap sesama manusia. Paling minimum pengalaman rohani dirasai ialah kehausan dan kelaparan yang mengingatkan kita pada golongan fakir miskin sehingga mendorong memperbanyakkan sedekah sebagai tindakan konkrit daripada rasa solidariti sosial.

Kawal penyakit rakus, tamak 

Golongan bijak pandai kita mengingatkan bahawa sekiranya penyakit rakus dan tamak menimpa seseorang, maka bahayanya bukan hanya terbatas pada lingkungan kecil, tetapi akan memperluaskan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Tabiat 'kehaiwanan' ini jika tidak dikawal boleh menimbulkan semangat 'kapitalisme', iaitu sikap yang cenderung mengeksploitasi milik orang lain kesan sifat tamak haloba dan serakahnya itu. Benar apa yang disebut Imam Ghazali dalam Ihya Ulumuddin bahawa bencana paling besar dalam kehidupan manusia adalah nafsu perut. Hakikatnya, puasa berupaya mencipta hubungan antara golongan kaya dan miskin yang akhirnya menjadikan masyarakat kita mempunyai nilai etika dan sosial yang tinggi.

Matlamat puasa bukan sekadar bersifat idealisme semata-mata, namun kesannya mampu dijelmakan sebagai realiti yang dapat dirasai oleh masyarakat. Sesungguhnya hikmah kebaikan puasa itu tidak dapat dirasai oleh mereka yang mensia-siakan amalan puasanya seperti yang disabdakan Nabi SAW: 'Berapa banyak orang yang berpuasa, tetapi dia tidak mendapatkan apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan haus'. Justeru, sebaik-baik puasa ialah puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan, keikhlasan, kesedaran dan kefahaman. Kesimpulannya, Ramadan madrasah untuk mempertajam rohani sehingga tercipta kawalan diri yang cemerlang dan mampu memberi kebaikan dalam masyarakat.

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/286940
0 Komentar untuk " Ramadan madrasah jernihkan akal budi, rohani "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ