Beri kesedaran keperluan, faedah vaksin - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Beri kesedaran keperluan, faedah vaksin



ISU penggunaan vaksin dalam kalangan masyarakat luar negara amnya dan di negara kita khususnya bukanlah perkara asing untuk dibincangkan. Masih ramai dalam kalangan masyarakat umum tidak mendapat maklumat tepat mengenai keperluan mengambil vaksin. Ada dalam kalangan mereka yang masih percaya bahawa sering kali vaksin menyebabkan kesan mudarat yang serius. Kesan mudarat akibat maklumat yang salah mengenai vaksin juga diviralkan oleh sesetengah pihak dan ini sangat membimbangkan. Beberapa kes kematian juga dicatatkan di negara kita akibat tidak mengambil vaksin atau tidak mematuhi nasihat dos vaksin yang dicadangkan oleh pihak Kementerian Kesihatan.

Sebagai doktor perubatan, penulis agak bimbang salah faham ini memberi kesan jangka pendek dan panjang sekiranya isu ini berterusan. Masih ada lagi sesetengah ibu bapa mengambil sikap tidak membenarkan anak mereka mengikuti program imunisasi ini. Akibatnya, anak mereka akan terdedah kepada pelbagai penyakit cegahan vaksin yang semakin menular. Penyakit cegahan vaksin itu termasuk tuberculosis, difteria, rubela, polio, campak, beguk dan lain-lain lagi. Kebimbangan penulis ini berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya baru-baru ini iaitu hampir 1,600 bayi dikesan tidak mendapatkan suntikan imunisasi pada 2016, manakala pada 2015, seramai 1,500 bayi di negara kita tidak mendapat suntikan vaksin.

Sekalipun kadar pengambilan vaksin di negara kita keseluruhannya masih tinggi iaitu 95 peratus - mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), namun pola peningkatan bayi yang tidak menerima suntikan perlu diberi perhatian. Salah faham mengenai suntikan vaksin, dan dipengaruhi oleh maklumat salah, menyumbang kepada penambahan statistik jumlah penyakit cegahan vaksin ini. Dalam konteks ini, ibu bapa terutamanya perlu mengambil inisiatif yang sepatutnya dan memastikan anak mereka mematuhi program imunisasi ini secara penuh. Mereka perlu memikirkan bahawa anak mereka akan membesar dalam kalangan masyarakat yang sangat terdedah terhadap penyakit berjangkit.

Kempen kesedaran 

Beberapa persoalan yang sering tidak terjawab secara tuntas ialah bila kita berbicara mengenai tindakan susulan bila mana isu ini disokong oleh statistik penyakit berjangkit yang agak membimbangkan. Sudah pasti, pihak kementerian telah dan sedang mengambil langkah menyebarkan maklumat vaksin dan meningkatkan kesedaran dalam masyarakat. Ini termasuk kempen Galakan Imunisasi 2016-2020, ceramah kesedaran serta pelbagai artikel yang diedarkan di klinik. Namun begitu, penulis dimaklumkan bahawa, dalam kalangan ibu bapa tidak membenarkan anak mereka menerima vaksin juga yang berpendidikan tinggi dan mendapat akses maklumat berkenaan kesihatan yang agak terkini. Akses kepada maklumat tanpa kefahaman yang betul terhadap sesuatu bentuk rawatan, boleh menentukan sama ada mereka membantu mengurangkan atau menambahkan lagi statistik penyakit berjangkit. Dalam konteks ini ialah penyakit berjangkit cegahan vaksin.

Melihat kepada isu ini, penulis mengambil inisiatif dengan menulis satu buku ringkas khusus untuk tatapan dan rujukan umum bertajuk Vaksin yang diterbitkan oleh PTS Publication Sdn Bhd. Buku ini dilancarkan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC baru-baru ini. Vaksin menampilkan gaya bahasa yang mudah difahami bertujuan untuk orang awam membaca sekalipun tiada latar belakang perubatan atau kesihatan. Maklumat yang dicatatkan dalam 16 bab berbeza, sangat relevan kerana beberapa persoalan dan isu berkaitan vaksin, kesan mudarat, program imunisasi kebangsaan turut diterangkan. Pelbagai fakta sains dan perubatan, serta penjelasan isu salah faham berkaitan vaksin agar masyarakat faham tujuan suntikan vaksin dan faedahnya. Vaksin juga sering dikaitkan dengan bahan beracun atau bahan berbahaya kepada badan, justeru penulis turut menerangkan maklumat sebenar bahan dan proses pembuatan vaksin.

Tidak dinafikan vaksin boleh menyebabkan kesan sampingan, namun pada dasarnya semua kesan sampingan itu terkawal dan mendapat perhatian pihak berkuasa perubatan. Sebaliknya, jika seseorang individu itu tidak menerima suntikan vaksin, sistem imun badan tidak mampu melawan penyakit sekiranya nanti terdedah kepada penyakit berkenaan. Ini boleh mengakibatkan lebih kesan mudarat berbanding kesan sampingan. Selain pihak berwajib, kita sebagai individu dalam masyarakat boleh memainkan peranan penting untuk berkongsi dan menyebar maklumat tepat mengenai vaksin. Tahap kesihatan kita, keluarga, masyarakat malah penduduk dunia adalah tanggungjawab kita bersama. Program imunisasi atau vaksin yang diperkenalkan atas konsep 'pencegahan lebih baik daripada rawatan'.

Konsep pencegahan ini akan mencapai maksudnya bila sesuatu komuniti menerima vaksin ini secukupnya. Konsep imuniti kelompok atau herd immunity perlu difahami, dan hanya dicapai sekiranya lebih 90 peratus individu dalam sesuatu komuniti berjaya menerima imunisasi secara penuh. Bagaimanapun, status imuniti ini akan gagal dicapai sekiranya ada di kalangan mereka yang tidak mematuhi program ini. Penulis ingin sekali lagi menggesa semua pihak supaya mengambil peranan ini dengan lebih serius. Kita bertanggungjawab untuk seluruh umat manusia serta generasi akan datang. Ini kerana tahap kesihatan adalah antara aset individu yang sangat bernilai.

Oleh Profesor Dr Azizi Ayob

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/286954
0 Komentar untuk " Beri kesedaran keperluan, faedah vaksin "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ