Kenapa anda perlu beralih ke bisnes online? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kenapa anda perlu beralih ke bisnes online?


SEBELUM bercakap tentang potensi e-Dagang, kita mesti memahami latar belakang landskap ekonomi, sosial dan politik kita yang sentiasa berubah. Dengan pemahaman ini, akan wujudnya keperluan kuat untuk menerima perubahan, terutamanya dalam zaman kemajuan teknologi kini yang pesat.

Walaupun dengan ketidaktentuan ekonomi, peluang bagi mereka yang kreatif dan yang mempunyai keinginan membara untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh orang ramai adalah amat cerah.

Baru-baru ini, Malaysia mengumumkan pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), yang akan memudahkan e-Dagang antarabangsa dan inovasi berasaskan internet dengan Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) untuk melaksanakan program-program meningkatkan usaha ekonomi digital.

Memang terdapat banyak ketidakpastian kepada peniaga-peniaga tempatan dan peruncit dengan pengumuman DFTZ dan kemasukan Jack Ma & Alibaba ke Malaysia, walaupun dengan pertumbuhan pesat e-Dagang pada tahun-tahun kebelakangan ini.

Menurut iStory oleh eCommerceMILO, sekitar 60,000 pekerjaan akan diwujudkan DFTZ berbandingkan 360,000 pekerjaan yang akan hilang akibat kemasukan barangan luar yang murah dan bebas cukai terutama dari China.

Pihak yang untung besar adalah Lazada (yang diperoleh oleh Alibaba), syarikat logistik dan pengeluar asing, terutamanya dari China dan Korea, yang menjual kepada pembeli Malaysia. Pihak yang rugi adalah peruncit tempatan, pengeluar dan KDNK negara.

Namun, peluang masih ada. Teknologi telah membolehkan ramai orang memulakan perniagaan atau syarikat sendiri oleh kerana kos menjalankan perniagaan kini jatuh mendadak.

Malah, banyak syarikat atau perniagaan besar yang berjaya sekarang disebabkan penggunaan teknologi yang membolehkan kejayaan mereka anjak lebih jauh.

Dalam bidang e-Dagang, ia menimbulkan peluang-peluang baharu kepada bukan sahaja pembekal perkhidmatan tetapi yang lebih penting kepada semua peniaga.

Pada dasarnya, kini sesiapa sahaja boleh menjual dengan cepat, mudah dan kepada pasaran yang lebih luas dengan menggunakan teknologi.

Walau bagaimanapun, 70% peruncit kecil dan sederhana di Malaysia masih tidak mengambil peluang keemasan ini. Perkara yang mengejutkan kami adalah hanya 10% dari semua produk dijual online di Malaysia adalah tempatan. Maknanya, sebesar 90% barangan yang dibeli oleh orang Malaysia adalah dari luar. Kesan jangka masa lama pada para pengeluar tempatan adalah sangat dahsyat.

E-Dagang telah menyaksikan kenaikan jumlah aktiviti di platform mobil, terutamanya kerana rakyat Malaysia kebanyakannya mempunyai telefon pintar untuk menjalankan urusan harian.

Dengan kadar penembusan telefon mobil sebanyak 140% di Malaysia, usahawan tempatan dapat menerima dan memanfaatkan teknologi sedia ada untuk memperluaskan pasaran dan meningkatkan komunikasi dengan pelanggan.

Penyerapan teknologi akan membolehkan Malaysia menawarkan perkhidmatan dan produk dalam semua sektor perniagaan untuk memenuhi permintaan domestik, serantau dan antarabangsa dan untuk membina serta mengembangkan perniagaan dengan lebih cepat dan mudah.

0 Komentar untuk " Kenapa anda perlu beralih ke bisnes online? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ