At-Takaathur: Lawan sampai mati - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

At-Takaathur: Lawan sampai mati



SALAH satu cara jual diri yang efektif kepada syarikat-syarikat besar ialah dengan mempromosi kehebatan diri sendiri. Apakah kehebatan yang diutamakan dalam dunia komersial sekarang? Apakah jenis akhlak yang dikatakan hebat itu?

Akhlak hebat ialah sifat kompetitif. Seseorang yang hebat ialah yang mempunyai keupayaan untuk bersaing dengan pesaing-pesaing lain. Kita melihat dunia ini umpama drama gusti. Yang mampu bersaing dalam gelanggang gusti, itulah yang mempunyai harapan berjaya.

Makna kejayaan ialah menang dalam saingan. Tidak kira apa cara menang pun, yang penting ialah mampu kalahkan pesaing-pesaing. Sama ada gua menang, lu mati. Atau lu menang, gua mati. Budaya saing-menyaing atau kompetitif ini sudah menjadi arus perdana di negara kita sekarang.

Budaya kompetitif ini juga melahirkan budaya makanan segera, ijazah segera, cerai segera. Lu lambat, lu mati. Budaya kompetitif ini memerlukan kita bergerak cepat. Makan kena cepat. Belajar pun kena secepat mi segera. Assignment-assignment ijazah pun boleh siap cepat bila menaja beberapa orang lain buat. Yang penting dapat ijazah, tak kiralah buat sendiri atau orang lain. Satu semester ambil sampai sembilan subjek! Cepat habis.

Cara hidup rumah tangga pun kena cepat. Jabatan agama pun dipaksa oleh budaya cepat ini untuk wujudkan kaunter cerai ekspresi! Inilah budaya kompetitif. Semua kena cepat. Tiada masa untuk duduk dan berfikir soalan-soalan yang penting dalam hidup kita seperti: Apa tujuan saya hidup di dunia ini? Kalau Tuhan wujud, bagaimana hubungan saya dengan Tuhan? Adakah agama yang saya pegang ini benar atau palsu atau campuran benar dan palsu?

Surah At-Takaathur menggambarkan budaya kompetitif ini dengan tepat seperti berikut:

“Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh) sehingga kamu masuk kubur.” - Terjemahan Surah At-Takaathur: 1-2

Kita dilalaikan oleh kononnya kejayaan yang membawa makna yang terlalu sempit iaitu kerja, kerja, kerja untuk cari harta, harta, harta. Falsafah materialistik ini berselindung di sebalik kalimah-kalimah yang berbunyi ilmiah, canggih dan sedap didengar seperti kompetitif, proaktif, fikir smart dan lain-lain.

Tepat sekali ayat di atas menerangkan bahawa wujud budaya kompetitif ini yang akan lalaikan kita sehingga kita masuk ke kubur. Ada mufasir yang tafsir bahawa ayat ini juga membawa makna bahawa kita terlalu lalai sehingga ziarah kubur pun tiada perasaan ingat mati. Emosi kita seolah-olah sudah 'dizombiekan'. Hilang perasaan takut mati. Hidup macam zombie, hanya mencari kepala untuk dimakan demi kelangsungan hidup!

Dalam Surah Al-Adiyat, diceritakan bagaimana sekumpulan perompak menunggang kuda untuk merempuh masuk ke tengah-tengah kem musuh pada pagi. Disebut waktu pagi untuk menggambarkan betapa beraninya para perompak ini. Biasanya waktu yang paling baik untuk rompak ialah waktu malam.

Juga, disebut bagaimana mereka merempuh masuk ke tengah-tengah kem musuh, bukan tepi. Ini sekali lagi menegaskan betapa beraninya perompak-perompak ini. Mereka langsung tidak fikir jauh tentang akibat atau risiko yang mungkin akan menimpa mereka.

Selepas menceritakan kisah para perompak yang berani ini, Surah Al-Adiyat membandingkan keberanian mereka dengan kesungguhan manusia berlumba-lumba mengejar harta.

“Dan sesungguhnya, cintanya (insan) kepada harta benar-benar berlebihan.” - Surah Al-Adiyat: 8

Apa yang mendorong para perompak untuk mengambil risiko tinggi dengan menyerang pada waktu pagi dan di tengah-tengah kem musuh? Dorongannya datang dari cinta lebihan mereka kepada harta.

Sebenarnya perkataan harta (maal) tidak disebut dalam Surah Al-Adiyat ini. Yang disebut ialah perkataan khair iaitu kebaikan. Makna ayat 8 di atas sebenarnya secara harfiah ialah; “Dan sesungguhnya, cintanya kepada khair atau kebaikan benar-benar berlebihan."

Tetapi para mufasir telah mentafsirkan kalimah khair (kebaikan) itu sebagai merujuk kepada harta (maal) kerana manusia menyangka harta adalah kebaikan dan kebaikan adalah harta. Maka, cintanya kepada harta yang dianggap suatu kebaikan inilah yang akhirnya melalaikannya apabila sepenuh tenaganya digunakan untuk bersaing dapatkan keuntungan material.

* Abdul Naser Tun Rahman ialah Tokoh Pendakwah Perak

0 Komentar untuk " At-Takaathur: Lawan sampai mati "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ