Kenapa Ah Siang turut berpuasa? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kenapa Ah Siang turut berpuasa?



TAHUN ini merupakan tahun keempat Lim Ah Siang berpuasa. Sahabat-sahabat bukan Islam hairan; kenapa Ah Siang berpuasa setiap tiba Ramadan sedangkan dia bukan Islam?

Apabila ditanya, Ah Siang menjelaskan bahawa dia terdorong untuk berpuasa selepas membaca buku Adventures in Therapeutic Fasting oleh Lonny J. Brown (PhD) yang telah membuat kajian mengenai perubatan alternatif selama 30 tahun. Menurut Brown; “Amalan yang biasa dilakukan dalam masyarakat hari ini apabila seseorang menghidap penyakit adalah dia akan mengambil ubat untuk meredakan penyakitnya. Sudah tiba masanya untuk kita mengamalkan suatu yang berbeza iaitu mengamalkan puasa ketika sakit. Sebenarnya puasa adalah penawar”.

Puasa merangsang beberapa perubahan yang melibatkan metabolisme badan dan perubahan ini membantu ke arah pembersihan dan pembaikan organ dalaman. Ketika berpuasa, organ-organ dapat berehat dan ini membantu badan membuang segala kotoran serta toksin di samping menyegarkan sel-sel.

Kebanyakan penyakit berpunca daripada terlebih makan, bukannya kurang makan. Satu kajian mengenai kesan puasa ke atas kesihatan jantung telah dijalankan di Amerika Syarikat pada tahun 2007. Ia melibatkan 515 pesakit. Kajian tersebut mendapati mereka yang kerap berpuasa berisiko rendah untuk menghidap sakit jantung. Puasa dalam kajian ini ditakrifkan sebagai meninggalkan jadual makan utama, paling kurang dua kali berturut-turut.

Selain itu, kongres antarabangsa yang bertemakan Kesihatan dan Ramadan telah diadakan di Casablanca pada 1994. Sekitar 50 kertas kajian telah dibentangkan oleh pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia. Kesemua kajian itu mengesahkan puasa pada Ramadan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan malah ia mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

Buku bertajuk Wild Health: How Animals Keep Themselves Well and What We Can Learn from Them yang ditulis oleh Cindy Engles (PhD) menjelaskan, binatang-binatang akan menjauhi makanan apabila jatuh sakit. Fenomena ini menurut para pengkaji menunjukkan bahawa binatang turut berpuasa dengan menjauhi makanan sebagai proses natural ke arah kesembuhan.

Puasa mempercepatkan kesembuhan kerana secara umumnya bakteria memerlukan zat besi untuk bertindak. Maka, tanpa atau dengan kurangnya makanan, bakteria akan ketandusan zat besi dan keadaan ini akan melemahkannya. Ini menunjukkan puasa bukan sahaja bermanfaat kepada manusia, malah kepada haiwan juga.

National Institute of Ageing di Amerika Syarikat juga telah menjalankan kajian, di mana sekumpulan tikus diberi makan mengikut jadual disusuli dengan puasa secara berselang-seli. Setelah itu, sejenis bahan kimia toksik (neurotoxin), yang memberi kesan ke atas saraf dan boleh menyebabkan penyakit seperti Alzheimer (kemerosotan daya ingatan), diberikan. Tikus-tikus yang berpuasa ternyata memiliki ketahanan sehingga mampu memelihara kesihatan sistem saraf.

Dr Soliman dari Hospital Universiti di Amman Jordan dan Dr Azizi dari Universiti Sains Perubatan di Tehran, Iran telah menjalankan kajian ke atas mereka yang berpuasa. Perbandingan hasil pemeriksaan darah sebelum dan semasa berpuasa menunjukkan puasa berjaya menurunkan paras gula dan lemak dalam darah. Kadar kolesterol yang memudaratkan iaitu kolesterol LDL (low-density lipoprotein) menurun dan kolesterol baik iaitu kolesterol HDL (high-density lipoprotein) pula meningkat.

Jelas terkandung pelbagai kebaikan di sebalik tuntutan berpuasa. Atas pembacaannya dan kefahaman inilah Ah Siang tanpa ragu-ragu mengakui kelebihan berpuasa. Ramadan, dengan banyak kedai makan ditutup dan sahabat-sahabat Islam di pejabat berpuasa, adalah kesempatan terbaik untuk Ah Siang turut berpuasa. Pada masa yang sama, dia dapat berjimat tanpa makan tengah hari dan minum petang; kalau RM10 sehari, sebulan RM300. Kalau tidak disimpan, boleh didermakan kepada badan-badan kebajikan.

Bagaimanapun, Ah Siang hairan mengapa terdapat segelintir umat Islam yang tidak berpuasa walaupun sihat walafiat. Tidakkah mereka sedar berpuasa itu perlu dan begitu baik untuk kesihatan? Mungkinkah mereka tidak tahu?

Benarlah pesan Nabi Muhammad SAW; "Menuntut ilmu itu wajib atas setiap Muslim.” (hadis riwayat Ibnu Majah) kerana hanya dengan ilmu kita dapat memahami hikmah di sebalik setiap suruhan dan larangan dalam Islam dan merasai manis dalam setiap amalan.

*Penulis Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

0 Komentar untuk " Kenapa Ah Siang turut berpuasa? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ