Transformasi pendidikan lahir pekerja inovatif - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Transformasi pendidikan lahir pekerja inovatif



PEKERJA hari ini menghadapi cabaran yang berbeza dari lima puluh tahun dahulu. Dunia pekerjaan bukan lagi seperti dahulu dan oleh itu hubungan pekerjaan turut berubah, sama ada disedari atau tidak oleh pekerja, atau sama ada mereka mahu atau tidak. Kesan daripada sikap peka atau tidak peka golongan pekerja terhadap perubahan hubungan kerja ini memberi impak lebih kepada mereka sendiri, kepada majikan, juga kepada sebuah negara.

Bagaimana golongan pekerja dalam sesebuah negara ditadbir juga memberi impak yang besar kepada suasana pekerjaan sesebuah negara dan ini membawa kesan langsung kepada suasana ekonomi negara itu. Sesebuah negara menjadi maju kerana disokong dan digerakkan oleh golongan pekerja yang berdisiplin, mahir, berpengetahuan dan sentiasa memperbaiki mutu perkhidmatan mereka.

Politik stabil buka peluang pekerjaan 

Mereka pula mampu berbuat demikian kerana wujudnya satu atmosfera yang menyokong keadaan rancak itu berlaku. Politik yang stabil, keamanan bagi orang awam, pelaburan yang membuka banyak peluang pekerjaan, majikan yang prihatin serta memberi ruang kerjaya yang menarik serta adil kepada golongan pekerja - ini adalah antara faktor membina yang menghidupkan keceriaan dunia serta hubungan pekerjaan.

Ia menjadi satu pusingan yang saling berganding dan melengkapkan. Senario dunia pekerjaan hari ini amat dipengaruhi arus globalisasi, kemajuan teknologi, ledakan maklumat, kemahiran merentas benua, usaha individu melepasi usaha kolektif, generasi milenial, serta cabaran domestik yang mungkin menjadi halangan. Ia dipengaruhi dua kuasa penarik dan penolak yang tak berkesudahan, semakin mencabar, dalam masa yang sama, semakin membuka peluang luas yang tak terfikirkan sebelumnya. Malaysia bakal menyambut 60 tahun kemerdekaan daripada kuasa kolonial British pada Ogos depan.

Negara ini mempunyai undang-undang pekerjaan yang lengkap, sektor pengurusan sumber manusia yang semakin baik dan sebaris dengan negara maju, dan negara masih membenarkan kesatuan sekerja sebagai satu pilihan suara kolektif walaupun mungkin tidak sepopular dulu, suasana perniagaan dan pelaburan masih rancak, menjadi tarikan kepada pelabur dan pekerja asing dan ekspatriat, selain kepelbagaian kaum serta budaya sebagai satu faktor bonus yang kekal dan unik bagi Malaysia. Bukti Malaysia mempunyai faktor menarik yang tinggi kepada pihak luar ialah pelaburan asing yang terus signifikan, serta kebanjiran pekerja asing di Malaysia.

Namun saya mahu lebih menyorot hubungan pekerjaan di Malaysia secara umum, dan tidak memfokus kepada isu pekerja asing. Isu pekerja asing telah mengaburi isu utama dunia pekerjaan di Malaysia, di mana yang paling penting adalah apakah sumber manusia keluaran Malaysia mampu memenuhi keperluan Malaysia, serta mampukah mereka keluar sebagai 'warga dunia' yang mampu berdikari di mana sahaja secara bermaruah? Adakah graduan Malaysia, serta golongan milenial Malaysia mampu mendepani cabaran, menyahut serta merebut peluang, lestari dalam tiap penerokaan ekonomi mereka dan mampu menjadi insan yang berbakti kepada nusa dan dunia?

Jika kita meneliti perkembangan terkini kita akan mengakui betapa perlunya tenaga kerja Malaysia itu mahir, sentiasa memperbaiki diri, berani mengambil risiko dan peluang, terkehadapan, mampu menggunakan teknologi untuk memperkembangkan daya usaha dan daya cipta, tidak takut gagal, tahu networking yang menguntungkan, sangat berpengetahuan, di samping memahami undang-undang dalam negara dan antarabangsa, serta berkebolehan memimpin. Lebih banyak mereka merantau pula, lebih banyak mereka terbabit dengan dunia luar sebenar, semasa mereka menuntut ilmu, lebih baik!

Lebih banyak mereka bergaul dengan masyarakat luar kelompok, atau dengan masyarakat dunia lebih memberi mereka keyakinan diri, sifat berani serta berdikari. Lebih banyak mereka terbabit dengan aktiviti keusahawanan akan mendorong golongan muda Malaysia tidak bergantung kepada kerajaan untuk mencari rezeki, malah merekalah orangnya nanti yang akan membuka peluang pekerjaan kepada orang lain. Sama ada pekerja sektor awam, mahupun pekerja di sektor swasta, cabaran dunia pekerjaan di Malaysia semakin hebat.

Bukti kebolehan berubah pantas 

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu pada hari ini, mereka perlu menunjukkan kebolehupayaan berubah pantas mengikut tuntutan masa dan keperluan kerja mereka, di samping membantu organisasi mereka lestari, maju, produktif dan tidak rugi. Konsep untung rugi tidak pernah menjadi persoalan di sektor awam sebelum ini, tetapi sekarang semua dituntut agar belanja berhemah, serta membuat keuntungan daripada program yang dibuat.

Dalam keadaan mencabar begini, tenaga sumber manusia Malaysia yang mempunyai kemahiran, keberanian, sifat usahawan, ilmu, kreatif dan inovatif, serta pandai networking dan mencari modal untuk perniagaannya, tidak melatah dan kurang tertekan. Sementara yang masih mengharap kerja kerajaan, yang rata-rata dianggap stabil, berpencen, kurang risiko, serta menyediakan pelbagai keistimewaan, akan sangat tertekan oleh kurangnya peluang berbanding ramainya calon dalam pelbagai bidang yang turut berharap.

Kesimpulannya, antara langkah paling tepat pekerja Malaysia mendepani dunia pekerjaan hari ini ialah dengan menggunakan sepenuhnya transformasi pendidikan sekolah dan pengajian tinggi ke arah ini. Satu kesepaduan antara kementerian, termasuk institusi kemahiran di Malaysia perlu peka kepada cabaran ini dan membantu menyediakan platform untuk pekerja masa depan yang mampu kreatif dan inovatif.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/280572
0 Komentar untuk " Transformasi pendidikan lahir pekerja inovatif "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ