Persiapan bertemu Ramadan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Persiapan bertemu Ramadan



TATKALA kehadiran tetamu, bagaimana persiapan kita menyambutnya? Apalagi jika tetamu tersebut merupakan tetamu istimewa. Semestinya bermacam-macam persiapan akan kita aturkan. Penulis terfikir, bagaimana pula agaknya dengan ketibaan tetamu agung Ramadan tidak lama lagi? Sewajarnya kita perlu lebih bersungguh-sungguh membuat persiapan untuk bertemu dengannya.

Persiapan menyambut keda-tangan Ramadan tidak hanya bersifat material semata-mata, namun mesti didukungi oleh konsep spiritual yang benar-benar tersusun. Namun, sebetulnya persiapan diri harus dimulakan sejak bulan Rejab lagi. Dengan kata lain, semaksimum mungkin kita harus mempersiapkan fizikal dan rohani untuk menempuh kedatangannya. Oleh itu, pada saat-saat akhir yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk bertemu bulan suci ini, pasti banyak persiapan yang perlu dilakukan agar apa yang kita laksanakan pada bulan Ramadan nanti menjadi penuh makna dan ibadah kita beroleh sebaik-baik kualiti serta tidak menjadi sia-sia. Sebagaimana peringatan Rasulullah; “Banyak orang yang berpuasa namun tidak mendapatkan apa-apa, kecuali lapar dan dahaga.”(HR. Ahmad).

Bahkan. persiapan fizikal dan rohani perlu disertai dengan ilmu untuk kita benar-benar mengecapi nikmat berada pada bulan yang penuh barakah dan rahmat ini. Paling penting, persiapan rohani hendaklah dikukuhkan supaya jiwa benar-benar siap dan sedia agar tidak ada lagi di bulan Ramadan nanti banyak yang mengeluh, merasa kelelahan, dan menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk bermalas-malas.

Selalunya, segala macam alasan ditumpahkan pada Ra-madan. Aktiviti kerja menurun, lemah longlai, bangun pagi kesiangan dan cuma ingin tidur sepanjang hari gara-gara Ramadan. Seluruh aktiviti kita yang tidak berkualiti itu semuanya disandarkan ‘kesalahannya’ pa-da Ramadan. Ini semua berlaku kerana persiapan rohani kita tidak kuat.

Dalam rangka mempersiapkan diri menyambut kedatangan Ramadan, banyak perkara  yang telah Rasulullah tunjukkan demi meraih kualiti terbaik selama beribadah sepanjang bulan Ramadan. Rasulullah SAW sering melakukan puasa sunat pada bulan Syaaban sebagai persediaan menghadapi ketibaan Ramadan.

Perkara ini dikongsi dalam hadis yang diriwayatkan oleh an-Nasai’ dan Abu Dawud (dan disahihkan oleh Ibn Huzaimah): Usamah berkata pada Nabi SAW, “Wahai Rasulullah, saya tak melihat Rasulullah melakukan puasa (sunat) sebanyak yang Rasul lakukan dalam bulan Syaaban.” Rasulullah menjawab, “Bulan Syaaban adalah bulan antara Rejab dan Ramadan yang dilupakan oleh kebanyakan orang.”

Hakikatnya, Ramadan yang mulia akan menjadi medan untuk kita menyucikan dosa-dosa yang telah lalu. Ibadah puasa yang diwajibkan kepada setiap orang Islam sekali gus menjadi madrasah untuk menempa diri meraih gelar Muttaqin. Sebab itulah, sebagai umat Islam tidak kira di penjuru dunia mana kita berada, Ramadan perlu disambut dengan penuh gembira dan manfaatkan semaksimumnya.

Sebagaimana Rasulullah sentiasa memberi khabar gembira kepada para sahabatnya setiap kali tiba Ramadan. Sabda Baginda, “Telah datang pada kalian Ramadan, bulan yang diberkati, ALLAH telah mewajibkan atas kalian untuk berpuasa di dalamnya. Pada bulan itu juga dibukakan pintu syurga serta ditutupnya pintu-pintu neraka…” (Riwayat Ahmad).

Etika menyambut Ramadan juga harus benar-benar dijaga agar tidak merosakkan amalan yang ditunaikan. Tingkatkan dan bekalkan diri dengan khazanah ilmu yang benar, ketika beribadah kepada ALLAH. Demikian halnya perintah untuk kita menjadi orang yang berilmu juga merupakan perintah ALLAH, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 7 yang bermaksud, “Dan Kami tidak mengutuskan Rasul-rasul sebelummu melainkan orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka : maka bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui.

Menjaga silaturahim sesama manusia juga menjadi sebahagian yang penting dalam kita bersiap menyambut Ramadan. Sebab itulah kita digalakkan untuk bermaaf-maafan sesama kita sebelum memasuki Ramadan. Harapannya supaya amal ibadah yang kita lakukan kelak akan diterima oleh ALLAH SWT.

Justeru, persiapkan diri dengan rapi dari segenap aspek supaya Ramadan yang penuh barakah ini dapat menjadi momentum untuk kita dekatkan diri kepada ALLAH melalui taubat, munajat dan melaksanakan sebanyak mungkin ibadah. Sesungguhnya, Ramadan bulan suci yang mampu menjadikan kita insan lebih produktif dan bertakwa. Marhaban ya Ramadan.

0 Komentar untuk " Persiapan bertemu Ramadan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ