KITA hidup di era ICT, yang membawa maksud era information and communication technology. Ringkasnya era teknologi maklumat, iaitu era IT. Pada asalnya, era IT ini adalah gabungan rangkaian telefon dan audio visual yang membolehkan penggunanya memperoleh, menyimpan, memindah atau mengubah maklumat yang diterimanya.
Bagaimana pun, lama kelamaan, era ICT atau IT ini membawa maksud kehidupan harian kita yang bergantung kepada maklumat yang disampai atau yang kita kirim melalui komputer.
Yang mutakhir, peri pentingnya telefon pintar kepada kehidupan seharian kita.
Kita mengkritik tentang kebergantungan kita kepada telefon pintar. Yang membuatkan kita bingkas bangun pagi bukannya kerana jam loceng sudah berbunyi. Tetapi, apabila keinginan untuk melihat apakah mesej WhatsApp yang masuk ke dalam telefon kita.
Jika sebelum ini, bunyi dering telefon akan menjadikan kita menggelabah mencapainya, kini bunyi dengutan mesej yang masuk ke kotak telefon yang menjadikan kita gelisah. Seolah-olah mesej itu akan hilang sekiranya ia tidak ditatap.
Kita bercelam-celum di antara dunia nyata dengan dunia siber. Pemanduan kita di jalan raya sudah tidak menarik. Apa yang lebih seronok ialah mesej, audio dan video yang sampai ke dalam telefon.
Tak dengar pun bunyi hon kereta di belakang kerana kita masih asyik dengan telefon meskipun lampu trafik sudah bertukar hijau. Tidak rasa lagi gelisah menunggu di barisan pejabat pos atau bank kerana apa yang terpapar di telefon sudah mengasyikkan.
Tiada lagi mesyuarat yang membosankan kerana ada sahaja lawak kawan-kawan yang menyelit di antara mesej yang sampai sebagai penghibur. Telefonlah pengubat kesunyian dan kedukaan walaupun ia bererti orang di sebelah makan hati kerana kita semakin tidak pedulikan dia!
Sememangnya IT yang dibekalkan oleh telefon pintar membantu kita untuk melihat dunia. Ia membawa kita belayar di lautan siber hingga ke hujung dunia. Daripada suatu segi, telefon pintar sudah menjadi alat terapi kesunyian, kebosanan, malah dapat menghilangkan rasa duka lara.
Kita bukan sahaja membaca apa yang orang lain paparkan. Sebaliknya, kita juga berpeluang untuk menzahirkan perasaan dan berkongsi apa jua yang kita ada dengan sesiapa sahaja yang berminat. Keterbukaan ini menjadikan kita telus.
Telus dalam melahirkan fikiran, pandangan dan juga perasaan. Telus dalam berkongsi ilmu dan minat dengan orang lain.
Bagaimana pun, ketelusan yang tanpa batas ini akhirnya menjadikan kita manusia yang telanjang! Telanjang kerana orang lain dapat tahu apa sahaja yang kita ada, apa jua yang kita fikir, impikan dan igaukan. Yang positif, yang negatif kesemuanya sudah terpapar untuk ditatap oleh orang lain.
Jika sampai orang tahu yang kita kecil hati bila isteri tak tumbuk sambal belacan, kita meroyan kerana bos marahkan kita dalam mesyuarat, kita tak gemar hadiah kemenangan juara permainan karom, nampak kemaruk bila dapat makan kek keju… orang lain dah boleh agak siapa kita.
Apa yang kita papar di dalam media sosial itu mencerminkan peribadi. Tidak perlu seseorang itu berkelulusan psikologi untuk menelah peribadi kita. Apa yang kita tulis dan tampal di laman media sosial peribadi itu sudah cukup menelanjangkan kita.
Jika ditamsilkan seseorang yang berjubah dan berpurdah… memang dia seorang yang misteri hingga kita dapat bercakap dan mendengar suaranya.
Jika dia berpakaian santai yang menampakkan wajahnya, kita lebih mudah mengenalinya.
Dan, maaf cakap sebagai contoh… sekiranya dia berpakaian seksi, ada banyak bahagian tubuhnya yang sudah tiada misteri. Bagaimana pula jika dia telanjang? Kita akan menoleh ke lain arah!
Terbukalah, teluslah asal jangan dedahkan segala-galanya. Telus itu bukannya telanjang! Jika kita telanjangkan diri di laman sosial, apa lagi misteri yang kita hendak simpan dari mata orang lain mengenai diri kita?
0 Komentar untuk " Telus itu bukannya telanjang "