Sikit-sikit rotan, tampar. Kenapa? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sikit-sikit rotan, tampar. Kenapa?



SATU daripada perkara pelik lagi mengecewakan dalam dunia kita hari ini adalah terlalu banyak berlaku ‘kebetulan'.

Apabila sesuatu musibah atau kesilapan terjadi dan kita ingat ia tidak akan berlaku lagi, tiba-tiba ia berulang.

Ambil sahaja kes merotan pelajar tahfiz sebagai contoh.

Kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11, dari Johor, pada 26 April lalu akibat jangkitan kuman selepas disebat pembantu warden dengan getah paip, menyentuh hati pelbagai pihak.

Daripada perdana menteri, ketua polis negara, badan bukan kerajaan dan individu, masing-masing menunjukkan keprihatinan.

Kita ingat setelah isu itu jadi heboh, amaran dikeluarkan dan tindakan diambil, kes menyayat hati seperti itu tidak akan berlaku lagi.

Rupa-rupanya kita silap. Hanya seminggu selepas pembantu warden yang terlibat itu sujud syukur selepas dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah, timbul pula kes yang hampir serupa dua minggu lalu.

Seorang pelajar tahfiz Tingkatan Satu cedera di tulang rusuk kerana didakwa dirotan dan ditumbuk warden asrama di Shah Alam.

Kes itu disiasat polis sebagai sengaja mendatangkan kecederaan, Apa akan berlaku nanti dalam kes itu sama-samalah kita tunggu.

Dua hari kemudian, saya dihubungi seorang sahabat.

Masa kanak-kanak dan remaja, kami bermain bersama dan belajar mengaji dengan guru Quran yang sama. Ke masjid dan ke pawagam juga bersama.

Tetapi selepas bekerja dan berkeluarga, kami jarang berhubung, apa lagi berjumpa, hanya  bersembang jika berjumpa di majlis kenduri.

Sebab itu apabila dia hubungi saya baru-baru ini, saya rasa pelik. Rupa-rupanya dia ada masalah.

Seperti kes Allahyarham Thaqif, cucunya yang berusia 11 tahun juga disebat di tapak kaki dengan getah paip oleh seorang ustaz di sebuah sekolah agama di Selangor, kerana lambat menghafal ayat al-Quran.

Cucunya dimasukkan ke sekolah itu Januari lalu dan kes dia disebat bermula sebulan kemudian.

“Cucu aku tak pernah cerita, tapi selepas kes pelajar Johor itu, aku tanya dia. Rupa-rupanya dia pun kena sebat,” katanya.

Dia terus keluarkan cucunya dari sekolah itu dan daftarkan di sekolah lain, selepas dia bersemuka dengan guru dan guru besar dan mereka mengaku cucunya bersama pelajar lain disebat dengan tujuan mendisiplinkan mereka.

“Aku tak lapor pada polis sebab tak nak pengaruhi ibu bapa lain. Tapi bagi aku, cara mereka ajar tak betul. Budak-budak akan takut dan tak minat belajar,” katanya.

Katanya, dia tak kisah jika cucunya dirotan kerana buat salah seperti mencuri.

“Tapi rotan kerana nak dia hafal Quran, bukan caranya,” katanya.

Dia dapat tahu pasal kes merotan itu sebab dia sendiri jadi guru di sekolah yang sama.

Tiap-tiap dua minggu dia akan memandu dari utara ke sekolah itu untuk mengajar pelajar-pelajar di situ Bahasa Inggeris secara percuma.

“Aku ada rezeki, ada kesihatan dan kemampuan mengajar. Aku ingat apa salahnya aku ajar mereka, biar mereka juga tahu Inggeris.

“Tapi dah jadi macam ni, tak payahlah," katanya.

Cerita pelajar-pelajar kena sebat itu dia dengar daripada seorang ustaz ketika dia di sekolah itu untuk mengajar Inggeris.

Kini dia rasa lega kerana cucunya dan pelajar lain selamat daripada tindakan yang dia rasa tidak wajar.

Katanya, dia hendak minta Kementerian Pendidikan memantau status dan kelayakan guru-guru sekolah tahfiz di negara ini.

“Apakah mereka ini ajar ikut prosedur ditetapkan atau mengajar ikut suka hati saja?,” soalnya.

Setakat ini dia rasa usaha pemantauan tidak mencukupi.

Dia difahamkan guru yang menyebat cucunya bersama pelajar-pelajar lain itu ustaz import.

“Ada sekolah tahfiz yang mengambil tenaga pengajar dari luar negara yang kelayakan mereka diragui,” katanya.

Dalam kes cucunya itu, dia mahu jabatan agama menyiasat perjalanan dan pergerakan tenaga pengajar semua sekolah agama di negeri berkenaan.

Sebenarnya, untuk berlaku adil, perlu disebut di sini ada juga pusat tahfiz mendisiplinkan pelajar tanpa mengguna rotan.

Kawan saya, seorang pengasas pusat tahfiz, mengakui dia tak faham kenapa ‘sikit-sikit nak rotan, sikit-sikit nak tampar' pelajar.

Dia tanya tenaga pengajarnya, apakah Quran ajar pelajar perlu dirotan? Seorang pun tak jawab.

“Quran suruh ibu bapa rotan anak kalau tak solat apabila berumur 10 tahun. Itu saja,” katanya geram.

Katanya, dia pernah juga bertanya pengajar sama ada mereka suka dirotan? Mereka diam.

Kalau mereka tak suka, katanya sinis, janganlah suka rotan orang.

“Saya bagi tahu mereka, kalau saya dengar awak rotan mana-mana pelajar, awak jaga...,” katanya, sungguh-sungguh.

0 Komentar untuk " Sikit-sikit rotan, tampar. Kenapa? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ