LAKARAN sejarah membuktikan iblis adalah makhluk yang taat kepada perintah Allah SWT, tetapi kerana sifat takbur iblis bertukar menjadi makhluk paling kufur dan derhaka kepada Allah SWT. Menerusi rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi mengingatkan dalam kita mencari kebaikan dalam kehidupan, perlu juga melihat perbuatan yang boleh merobohkan matlamat menuju syurga Allah SWT. Katanya, amat ditakuti perbuatan dan amalan kita yang setinggi gunung akhirnya ranap begitu sahaja hanya disebabkan sikap takbur yang sekali gus menjadikan kita penghuni neraka.
Ketaatan, kebaikan, kelembutan tidak akan bermakna jika ada perasaan takbur. Memetik kata-kata hukama, orang yang bakhil itu adalah musuh Allah SWT dan ini merujuk kepada orang yang taat kepada perintah Allah SWT, tetapi jika ada perbuatan buruk ia akan merosakkan amalannya. Rasulullah SAW adalah orang yang paling tawaduk dan ini dapat dilihat melalui akhlak serta keperibadian Baginda yang memilih untuk bersederhana. Sehingga tempat tidur Baginda diceritakan jauh daripada kelazatan dunia.
Sahabat mengalirkan air mata melihat kehidupan Baginda yang memilih untuk tidak terkesima dengan kelazatan dunia. Baginda pernah ditawarkan harta kekayaan sebanyak 'Timur dan Barat,' tetapi memilih hidup penuh tawaduk, berbakti kepada umat serta agama Islam. Kerana itu, Baginda diberi kemuliaan dengan segala kebaikan dan kerahmatan. Oleh itu, seorang Mukmin perlu sentiasa menyuluh apakah ada nilai tawaduk di dalam hati, atau terselit banyak sikap takbur yang mengikis nilai kebaikan.
Sentiasa rendah diri
Apabila menjadi orang yang rendah diri bukan bererti kita menghina diri. Merendah diri akan meningkatkan lagi kualiti seorang manusia di sisi Allah SWT dan mendapat penghormatan pada pandangan manusia. Tanda orang yang rendah diri atau tawaduk adalah sentiasa tunduk kepada perintah Allah SWT. Tawaduk bukan melalui pakaian lusuh, kata-kata lemah lembut tetapi tidak solat atau tidak mengikuti syariat Allah SWT.
Orang yang tawaduk akhlaknya terpuji, peri lakunya merendah diri, taat perintah Allah SWT kerana takut azab-Nya. Dengan kata lain, orang yang tawaduk benar-benar ikhlas melaksanakan segala amalan kerana Allah SWT. Mereka yang memiliki sifat tawaduk, berakhlak baik kepada semua orang tidak kira dengan majikan, pekerja, sahabat atau sesiapa sahaja tanpa melihat kedudukan mereka. Orang yang tawaduk amat merendah diri dengan Allah SWT dan manusia di dunia ini.
Ciri-ciri orang tawaduk
Ciri-ciri orang tawaduk suka mendengar nasihat, hatinya lembut dan mengambil manfaat daripada segala nasihat diperoleh. Hatinya terbuka mendengar nasihat dan teguran. Jika pada hati terselit rasa ego untuk menerima nasihat, bererti masih belum jernih nilai tawaduk dalam diri. Selain itu, seorang yang tawaduk tidak memperlekehkan orang lain, setiap orang dianggap penting. Walaupun status atau kedudukan sosial tidak sama, mereka tetap memandang tinggi atau menghormati orang lain. Orang yang tawaduk tidak mudah menghukum malah, dalam hatinya penuh dengan cinta dan kasih sayang. Sifat kasih sayang, kemaafan dan kebaikan dapat menutupi keegoan diri sehingga tidak sempat untuk menyalahkan orang lain.
Justeru, dalam kita menyuluh kekurangan dan mencari kebaikan diri, jangan sesekali terhasut dengan tipu daya syaitan yang selalu mengajak manusia membuat penilaian yang salah. Menilai diri lebih baik daripada orang lain adalah penyakit hati yang paling parah. Penyakit itu sering menimpa kita yang berusaha menjadi baik. Sebenarnya kita tidak menjadi baik tetapi hanya berasakan diri lebih baik daripada orang lain. Oleh itu, latih hati dengan nilai rendah diri supaya ia akan meninggikan darjat kita di sisi Allah SWT.
Oleh Nik Hasnah Ismail
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/281318
0 Komentar untuk " Tawaduk boleh kikis sikap takbur "