MEMANG tidak pernah pun terlintas dalam fikiran ia boleh berlaku pada kadar yang menyeramkan begini.
Ini bukan main-main, bukan misteri tapi masalah yang sangat bahaya kepada masyarakat dan masa depan generasi akan datang.
Apatah lagi, yang mendedahkan perkara itu bukan calang-calang orang.
Beliau adalah Datuk Azih Muda, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Cuepacs mempunyai 1.2 juta ahli, dengan 106 kesatuan gabungan di seluruh negara.
Menurut Azih, seperti yang dilaporkan media baru-baru ini, kira-kira 100,000 penjawat awam mungkin diiktiraf bankrap.
Buat masa ini, statistik kerajaan menunjukkan 3,547 penjawat awam diisytiharkan bankrap antara awal 2013 hingga Mac lalu.
Katanya, keadaan yang menakutkan ini mungkin lebih teruk kerana semakin ramai penjawat awam mendapatkan pinjaman daripada loan sharks, pemberi pinjaman yang mengenakan kadar faedah melampau atau daripada ah long.
Mereka yang terjebak ini mungkin hilang kerja atau digantung tugas dan masalah ini mungkin merebak hingga mengakibatkan keretakan hubungan dalam keluarga.
Menurut Azih, terdapat sekurang-kurangnya 20 institusi kewangan yang dilantik untuk memberi pinjaman kepada penjawat awam.
Yang jadi masalah, sebahagian institusi ini tidak meneliti latar belakang setiap pemohon.
Sebagai contoh, katanya, seorang penjawat awam yang cuma layak mendapat pinjaman RM50,000 mungkin memohon RM50,000 daripada empat institusi dan mendapat pinjaman berjumlah RM200,000.
Segelintir penjawat awam ini mengemukakan slip gaji palsu untuk mendapat pinjaman dan dari sinilah masalah itu bermula.
Tindakan penjawat awam mengorek lubang baharu untuk mengambus lubang lama ini hanya akan memakan diri sendiri.
Mungkin kerana menyedari keadaan serius ini, kerajaan telah mengumumkan mulai 11 Mei (esok) orang ramai boleh membuat carian status bankrap mana-mana individu hanya dengan menggunakan telefon pintar melalui aplikasi MyDI yang dilancarkan awal bulan ini.
Maknanya, mulai esok tidak perlu lagi kita ke Jabatan Insolvensi untuk memeriksa status bankrap.
Tidak boleh dinafikan tindakan-tindakan mengetatkan undang-undang dan memudahkan pihak berkaitan memeriksa status bankrap seseorang individu membantu pihak yang mahu mengekang masalah yang menakutkan itu.
Statistik kerajaan menunjukkan jumlah rakyat Malaysia yang diisytiharkan bankrap setakat ini adalah 292,000 orang.
Saya setuju sangat dengan Cuepacs yang telah meminta kerajaan wujudkan sistem bagi memantau keadaan yang serius ini secara berkesan.
Dalam keadaan ekonomi sekarang, penjawat awam perlu ikat perut, bukan mengambil tindakan merbahaya yang bagaikan tiada penghujung, iaitu dengan mengorek lubang baharu untuk mengambus lubang lama.
Dalam masa yang sama, kerajaan dan badan-badan seperti Cuepacs sendiri perlu lihat juga aspek-aspek yang meningkatkan sara hidup penjawat awam khususnya dan rakyat umumnya.
Apakah kenaikan bayaran tol, kenaikan tambang perkhidmatan awam, tambahan perbelanjaan untuk pendidikan anak-anak, kenaikan bayaran tol tidak menambah lagi bebanan kepada rakyat?
Perlu diselidik juga apakah penghapusan subsidi minyak bakar, perbelanjaan dan hutang oleh kerajaan tidak mengakibatkan kesusahan kepada rakyat?
Hari ini memiliki rumah sendiri nampaknya semakin menjadi mimpi kepada mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah.
Mengikut dasar kerajaan, kakitangan kerajaan tidak boleh meminjam melebihi 60 peratus daripada pendapatan masing-masing.
Bagaimanapun, sejauh mana majikan, ketua jabatan atau sesiapa sahaja mampu memantau pergerakan penjawat awam sekiranya mereka meminjam daripada ah long atau pihak luar lebih daripada kadar yang dibenarkan kerajaan?
Jangan kita lupa, kebanyakan penjawat awam adalah orang kita.
Sungguh malang, yang terbabit dengan dadah, dengan rasuah, dengan salah guna kuasa, yang terlibat dengan kegiatan rempit, berbasikal lajak, majoritinya orang kita juga. Kenapa jadi begini?
Apakah tidak ada cara untuk kita pantau, kawal dan kekang kegiatan dan insiden yang menyedihkan yang hanya akan memberi kesan buruk, bahaya dan merugikan masa depan generasi kita?
Tubuhlah jawatankuasa untuk menyiasat dan mengkaji sekiranya itu dirasakan perlu.
Buatlah apa yang perlu dibuat oleh pihak berkuasa dan berkaitan, asalkan kita tidak berpeluk tubuh.
Kita kena sama-sama cari jalan menangani masalah-masalah besar yang sangat serius ini sekarang, bukan esok, bukan lusa. Wallahuaklam.
0 Komentar untuk " Sampai bila korek & kambus lubang? "