Pertelingkahan tidak ubah apa-apa - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pertelingkahan tidak ubah apa-apa



MUTAKHIR  ini negara kita sering disajikan dengan berita-berita pergaduhan dicetuskan oleh sifat amarah yang tidak terkawal. Terbaru, kita digemparkan dengan insiden pergaduhan di hadapan sebuah masjid yang sepatutnya tidak berlaku dalam sebuah negara berbilang bangsa dan agama yang aman seperti Malaysia.

Kejadian ini merupakan satu contoh bagaimana masyarakat semakin hilang nilai hormat-menghormati antara satu sama lain. Sama ada orang Melayu kepada orang Cina, orang Cina kepada orang India atau sebaliknya.

Sebagai umat Islam, kita jangan sekali-kali menjadikan kejadian kecil sebegini sebagai alasan untuk mewujudkan kebencian dan permusuhan dalam kalangan masyarakat yang berbeza fahaman agama. Begitu juga sebaliknya dengan penganut agama-agama lain. Insiden kecil sebegini sepatutnya dapat diselesaikan dengan diplomasi dan jangan sekali-kali ada pihak tertentu cuba menimbulkan provokasi perkauman melalui apa jua medium yang boleh mencetuskan pergaduhan dan pertelingkahan.

Provokasi yang ditimbulkan untuk membangkitkan nilai kebencian sesama sendiri menjadi barah yang mampu memusnahkan sesebuah negara. Dalam kehidupan bermasyarakat dengan berbilang bangsa dan agama, Islam amat jelas menolak prinsip yang tiada toleransi. ALLAH SWT menciptakan berbagai-bagai suku kaum, bangsa, agama serta etnik manusia bagi menghuni seluruh permukaan bumi dengan aman dan damai. Seperti yang difirmankan ALLAH SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakanmu daripada lelaki dan perempuan dan menjadikanmu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antaramu di sisi ALLAH ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali”. Dalam ayat ini seruan tidak hanya dikhususkan kepada orang yang beriman, tetapi sebaliknya ia berbentuk umum iaitu kepada umat manusia seluruhnya.


Sebab itulah dalam Islam pentingnya sesuatu permasalahan itu digarap dengan ilmu dan rasional yang tinggi. Bukan hanya bergantung pada emosi dan sentimen melulu hingga boleh mengakibatkan pemikiran dan tindakan menjadi haru biru.

 Bagi penulis, semangat patriotisme yang secara mudahnya dapat diamalkan sebagai semangat cintakan tanah air itu perlu lebih dihayati dan dipraktikkan. Ini sejajar dengan apa yang disyariatkan dalam Islam melalui kerangka maqasid al-syariah, yang meletakkan kewajipan mempertahankan negara sebagai salah satu komponen penting bagi memelihara agama.

Dalam al-Quran mahupun Hadis, banyak dipaparkan pengkisahan yang menggambarkan nilai-nilai semangat patriotisme yang tinggi. Sebagai contoh, lihat sahaja bagaimana Nabi Ibrahim AS. menzahirkan kecintaannya terhadap tanah air melalui doa yang diungkapkan baginda dan dirakamkan dalam Surah al-Baqarah ayat 126; “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada ALLAH dan hari kemudian.”

Hakikatnya, ALLAH menciptakan naluri manusiawi dengan rasa kecintaan dan sayangkan tanah air pada setiap insan. Malah Nabi Muhammad SAW sendiri banyak digambarkan dalam hadis-hadis betapa nilai kasih sayang kepada tanah air cukup sebati dalam diri baginda. Semangat cintakan tanah air dalam jiwa Rasulullah SAW diriwayatkan dalam banyak hadis, antaranya dialog Baginda dengan bumi Makkah, tatkala baginda terpaksa berhijrah ke Madinah. “Engkau wahai Makkah, merupakan satu bumi yang baik dan paling aku cintai, kalau sekiranya kaummu (pendudukmu) tidak mengeluarkan aku darimu nescaya aku tidak akan tetap di mana-mana tempat selain daripadamu.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Penulis merasakan, setiap daripada kita mampu berbakti setulusnya kepada agama, bangsa dan negara dengan penuh amanah sekiranya kita meletakkan perasaan cinta kepada negara dengan berorientasikan agama dan adat tradisi yang Islamik.

Justeru, demi menjamin keharmonian sedia ada terus kekal utuh di bumi bertuah ini, sikap menjaga sensitiviti dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain yang diamalkan sejak sekian lama di negara ini perlu lebih dihayati dan dipelihara dengan baik oleh setiap warga negara. Pergaduhan dan permusuhan tidak akan meleraikan kekusutan dan tidak mendatangkan apa-apa kebaikan atau kemajuan. Sesungguhnya, semangat patriotik berteraskan nilai-nilai Islam sejati berupaya menjelmakan natijah positif terhadap apa jua usaha untuk mengekalkan kesejahteraan mahupun membangunkan negara ini.

0 Komentar untuk " Pertelingkahan tidak ubah apa-apa "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ