Peminat buku sudah kembali - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Peminat buku sudah kembali



PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 baru sahaja melabuhkan tirai. Reaksi spontan di kalangan pempamer di pesta buku kali ini menunjukkan ia mendapat sambutan yang lebih baik daripada tahun lalu. Malah, sudah terlukis bayangan senyuman mereka yakin khalayak pembaca mula kembali ke pesta buku.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sebenarnya menjadi barometer kepada iklim industri buku dan tabiat membaca di Malaysia. Apabila pesta buku yang baharu lalu itu kian meriah dengan para pelanggan yang mula bersesak ke reruai-reruai, maka ia adalah bayangan suasana industri buku Malaysia bagi bulan-bulan yang mendatang.

Iya, khalayak peminat buku sudah kembali untuk mencapai dan menatap buku. Di mana mereka pada enam-tujuh tahun yang lalu? Sebenarnya, minat mereka mula teralih dengan teknologi telefon pintar. Kegemaran mereka sudah terpaling kepada laman-laman sosial seperti Facebook. Maka mereka tenggelam dalam dunia sosial kerana asyik berbual dengan rakan-rakan di laman-laman sosial. Perlahan-lahan buku dilupakan.

Dalam tempoh itu, muncul banyak sekali pemain dalam industri pembacaan buku. Teknologi print-on-demand yang membolehkan pencetak mengeluarkan sekitar 100 naskhah buku dengan harga yang cukup murah membuka selera mereka untuk menjadi penerbit.

Banyak penerbit bererti mereka mahukan lebih ramai penulis. Maka itulah yang terjadi. Mereka yang mendapat ribuan likes di laman sosial mula menjadi penulis dengan menghimpun catatan-catatan ringkas mereka. Banyak juga karya di kalangan mereka yang tidak terpilih oleh penerbit besar dan berpengalaman diambil oleh penerbit-penerbit yang baharu ini.

Bahasa bercakap yang lebih terbuka dan berani menjadi sesuatu yang lumrah dan diterima Gen-Y dan Gen-Z ini. Penerbit-penerbit dan penulis-penulis muda mengambil kesempatan ini untuk memberi pakej yang diingini oleh khalayak ini.  Akhirnya pasaran menjadi tepu dan sesak.

Khalayak pembaca yang konvensional, yang gemarkan suasana yang tenang berasa pasaran sudah bingit dan bising. Mereka berundur kerana tidak selesa dengan keadaan itu. Buku-buku pilihan mereka sudah tidak terpamer di rak-rak hadapan. Ia dipenuhi buku-buku oleh penerbit-penerbit indies yang punyai imej dan jalur cerita berbeza dengan selera mereka. Bagaimana ini bisa terjadi? Bukankah banyak juga penerbit konvensional yang bertahap gergasi?

Bagaimana pun, penerbit-penerbit indies menang dari sudut persepsi. Sebuah penerbit besar boleh menerbitkan 3,000 naskhah buku untuk satu judul. Tetapi 10 penerbit-penerbit indies hanya perlu mencetak 300 naskhah buku untuk sebuah judul. Oleh itu, yang  kelihatan di rak-rak buku ialah 10 judul baharu penerbit indies dan hanya satu penerbit konvensional. 1:10! Buku konvensional tenggelam di kelilingi buku-buku indies.

Ia memberi persepsi bahawa masyarakat pada hari ini lebih sukakan bahan bacaan yang santai, ringkas, terkini dengan gaya bahasa in-verbatim. Dan ia juga memberi tanggapan bahawa pengkaryaan yang menggunakan bahasa standard sudah out-of-date.

Dalam tempoh tiga-empat tahun yang lalu juga muncul laman sosial baharu yang lebih intim kepada khalayak penggunannya. Aplikasi WhatsApp, Line dan Telegram mengasyikkan khalayak pembaca. Mereka lebih gemar bersembang dan bertukar-tukar foto daripada membelek buku.

Tetapi, manusia akan kembali kepada fitrah. Jika makanan itu adalah santapan untuk perut, membaca itu santapan minda. Akhirnya penggemar buku mula laparkan bahan bacaan.

Mereka kembali mencari buku. Mereka yang membeli berbakul buku sudah muncul semula di pestabuku yang lalu. Mereka yang ke pestabuku tiga-empat kali hadir semula di gelanggang pembacaan.

Semua ini perlahan-lahan akan menghapus persepsi bahawa rakyat Malaysia tidak membeli buku kerana sudah tidak minat membaca; tidak membeli buku kerana harganya yang mahal. Sebenarnya, sesiapa yang meminati sesuatu akan berbelanja untuk mendapatkannya walau betapa tinggi harganya.

Lihatlah, betapa novel trilogi Tombiruo terbitan Alaf 21 yang berharga RM399 pun sudah mula menjadi sebutan dan rebutan meskipun ia masih di peringkat editing. Ia petanda baik tentang minat khalayak yang sudah kembali menggilai buku.

0 Komentar untuk " Peminat buku sudah kembali "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ