BM sebagai bahasa supranasional - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

BM sebagai bahasa supranasional



APABILA kita menyebut sahaja bahasa Melayu, pastinya terlintas di benak kita semua; bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi, bahasa perpaduan, bahasa lingua franca, bahasa ilmu, bahasa pemerintah, bahasa negara dan pelbagai lagi yang seumpamanya.

Bahasa Melayu sudah pun terkenal dengan sejarah yang panjang iaitu sejak abad ke-7 lagi dengan penemuan prasasti di Kedukan Bukit (683M), di Talang Tuwo (684M), di Kota Kapur (686M) dan Karang Brahi (686M).

Bahasa Melayu seterusnya berkembang sebagai bahasa pentadbiran semasa pemerintahan Kesultanan Melaka (1400-1511) sehinggalah sekarang sudah menjadi bahasa penting yang dipelajari oleh pelajar asing di luar negara.

Buktinya terdapat banyak universiti asing yang telah pun menawarkan kursus Bahasa Melayu seperti Universiti Komunikasi China, Universiti Peking, Universiti Pengajian Guandong, Universiti Bangsa-Bangsa Guangxi, Universiti Bangsa-Bangsa Yunan, Universiti Pengajian Asing Beijing, China dan banyak lagi di serata dunia termasuklah di Eropah, Asia Barat, Asia Pasifik dan Asia Jauh.

Apakah yang maksudkan dengan bahasa supranasional dan mengapakah pentingnya kepada bahasa Melayu?

Bahasa supranasional dapatlah dijelaskan sebagai bahasa yang melebihi jangkauan kepentingan tanpa dibatasi oleh sempadan politik dan geografi.

Ternyata tempat bahasa Melayu sudah pun berada pada peringkat yang tinggi dan jauh terbang merentas Kepulauan Melayu dan Nusantara.

Kepentingan bahasa Melayu untuk berada pada tahap antarabangsa sangatlah penting sebagai tapak atau landasan kukuh untuk mengangkat pengiktirafan dan pemartabatan bahasa, bangsa dan negara.

Kita sepatutnya berbangga dengan pencapaian dan sejarah kegemilangan bahasa Melayu yang dicatatkan sejak dahulu lagi, apatah lagi terdapat ramai tokoh asing dari luar negara yang fasih dan berpengalaman luas dalam pengetahuan dan pengajian Bahasa Melayu.

Mereka ini antaranya termasuklah Prof Wu Zong Yu, Prof Kang Kyoung Seok, Prof Adelaar, Prof Jan Van der Putten, Prof Jun Onozawa, Prof Mikihiro Moriyama,  Prof Willem van der Molen,  Dr Tatiana Dorofeeva, Dr George Coedes, Dr Ismet Fanany dan ramai lagi.

Cabaran utama dalam mengekalkan supranasional bahasa Melayu terletak kepada pengguna dan penutur bahasa Melayu itu sendiri.

Jadi, kita sepatutnya memperkasa dan memartabatkan bahasa kita supaya dipandang tinggi dan mulia di mata dunia.

Usaha-usaha yang berkesan dan berterusan perlu dimantapkan malah disemat dalam hati sanubari setiap warga penutur dan pengguna bahasa Melayu walaupun berada di mana-mana sudut dunia.

Kesedaran tinggi dan pembudayaan bahasa seharusnya tidak diambil mudah oleh mana-mana pihak termasuklah kerajaan, badan bukan kerajaan, institusi, parti politik, ahli masyarakat pelbagai kaum dan seterusnya semua pengguna bahasa Melayu.

Dunia globalisasi kini mula mengancam tradisi dan budaya tempatan masyarakat dan negara, jadi kita perlulah bijak dalam setiap perkara yang melibatkan aspek bahasa dan budaya termasuklah membangunkan sumber manusia yang berkemahiran, prihatin dan bersemangat jati diri yang utuh dalam meneruskan cabaran bahasa Melayu ke peringkat bahasa supranasional yang lebih membanggakan dan dipandang tinggi di persada dunia.

0 Komentar untuk " BM sebagai bahasa supranasional "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ