Kelakar Mat Over lempang David Teo - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kelakar Mat Over lempang David Teo



*TIDAK tahu siapa yang sebenarnya kurang sopan, tetapi insiden Sulaiman Yassin melempang David Teo di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dianggap sebagai memalukan.

Seperti dilapor media, pelakon dan pelawak yang lebih dikenali dengan nama Mat Over berkata, dia hendak mengajar penerbit dan pengarah filem itu ‘cara beradab’.

Dia menganggap tindakan David tampil ke pentas pada dialog Transformasi Negara (TN50) di Seri Perdana malam itu sebagai tidak beradab. Tetapi sesetengah pihak pula bertanya, apakah cara Mat Over melempang David di hadapan PM itu sesuatu yang beradab?

Apa pun insiden beberapa saat yang sempat ditularkan di media sosial itu cukup untuk meriuhkan ‘satu Malaya’. Orang politik bagi komen, NGO buat demonstrasi, peminat seni tumpang semangkuk, warga siber pun pukul canang.

Maka pelempang Mat Over, walaupun tidak mengenai muka David, cukup untuk menghangatkan suasana.

Pada hal perkara itu telah diselesaikan pada malam itu juga, apabila yang melempang dan yang mengelak lempangan sama-sama naik pentas, saling salam bermaafan dan berpelukan. Najib sendiri kata; “perkara sudah selesai.”

Jadi, tidak perlu hendak dipanjangkan lagi perkara ini. Makin dipanjangkan makin malu kita. Lagi pun banyak benda lebih besar yang perlu kita fikirkan untuk negara!

*DARIPADA bercakap mengenai pelempang Mat Over yang tersasar itu, lebih baik fikir secara serius mengenai rasuah. Macam-macam kita sudah lihat dalam TV dan baca setiap hari dalam surat khabar. Tidak pernah ada hari tanpa berita rasuah.

Ada pegawai tinggi yang simpan duit tunai RM puluh-puluh juta dalam almari di rumah. Ada KSU kementerian yang simpan juta-juta dalam bank.

Ada exco kerajaan yang 'sakau' juta-juta. Ada OCPD yang direman kerana rasuah. Ada AJK masjid yang songlap duit jual tanah wakaf. Ada pegawai zakat yang gelap mata kerana rasuah.

Pendek kata dalam hal rasuah, ramai yang lemah semangat. Tidak kira pegawai tinggi kerajaan, pegawai swasta, orang politik, orang biasa, orang luar biasa, hatta orang masjid dan orang zakat pun semua bedal benda haram.

*AGAKNYA oleh sebab sudah muak sebab banyak sangat cerita mengenai rasuah, orang sudah macam tidak kisah. Almaklumlah, dulu rasuah dianggap wabak berbahaya, kini sudah jadi budaya.

Orang kita, termasuk para agamawan pun macam tidak beri tumpuan pada usaha memerangi rasuah. Mereka bising dan macam prihatin sangat pada benda lain.

Contoh, kalau ada coklat atau ubat yang dikatakan mengandungi gelatin babi, kita akan tular dalam internet, sebab haram makan benda-benda berbabi. Masing-masing keluar hujah dan fatwa sendiri.

Demikian juga kalau ada gadis atau wanita mendedahkan rambut, kita akan kutuk habis-habisan, cepat-cepat hukum mereka masuk neraka. Heboh ‘satu Malaya’ sebab wanita Islam tidak tutup kepala.

Tetapi rasuah RM juta-juta, bilion-bilion, yang terbukti mengancam negara dan jelas boleh membankrapkan institusi, tidak pula digembar-gemburkan macam coklat ada gelatin babi.

Memang, makan babi haram, tidak menutup aurat pun haram. Tetapi perlu sentiasa ingat, bahawa rasuah juga haram. Jadi tidak boleh ‘buat dhek’.

*Transparency International Malaysia (TI-M) mencadangkan supaya hukuman penjara minimum sehari ke atas pelaku rasuah dikaji semula.

Menurut Presidennya, Datuk Akhbar Satar, kerajaan patut kembali semula kepada Akta SPRM 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Di bawah Akta SPRM 2009 hukuman penjara minimum 14 hari ditukar kepada sehari. Tidak masuk akal orang rasuah hanya kena sehari penjara; pencuri bedak bayi di pasar raya pun ada yang kena enam bulan penjara.

*AKHIR kalam bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman memberi amaran kepada Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah agar tidak menjadikan agensi bebas itu sebagai ‘kuda tunggangan’ BN.

Seperti yang dilaporkan media, Abdul Rashid yang kini Naib Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) berkata demikian dalam kenyataan bersama dengan Ahli Biro Politik PKR R Sivarasa, Ketua Penerangan Parti Amanah Negara Khalid Abdul Samad dan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok.

Ketika menerajui SPR dulu beliau pun dituduh macam-macam, dan pernah menerima amaran serupa dari parti pembangkang. Maka, tentu beliau lebih arif apa yang dibuat badan bebas itu.

0 Komentar untuk " Kelakar Mat Over lempang David Teo "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ