Seni budaya warisan negara - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Seni budaya warisan negara



SEPERTI bangsa lain di dunia, kita adalah pewaris khazanah peninggalan nenek moyang. Khazanah Malaysia amat kaya dengan seni budaya warisan, dan ini sinonim identiti Malaysia di persada dunia.

Seni budaya warisan merangkumi adat, persuratan, seni halus, seni kraf serta pelbagai hasil kreatif kerja tangan dan juga seni persembahan. Ternyata skopnya amat luas.

Khazanah yang tidak ternilai ini, kini telah mendapat tempat di hati generasi pewaris bangsa. Selain itu, cabang-cabang kesenian dan kebudayaan serta warisan kita telah menarik minat dan perhatian pelancong, baik tempatan mahupun luar negara.

Kita dapat mengesan tingginya minat pelancong terhadap warisan kita. Pada waktu petang ada sahaja bas-bas yang membawa pelancong berhenti di hadapan Dataran Merdeka.

Mereka bergambar berlatar belakangkan Bangunan Sultan Abdul Samad atau pun Muzium Tekstil, dan paling tidak  tiang bendera Malaysia yang tinggi di situ. Aksi itu menunjukkan bahawa mereka kagum dan menyanjung tinggi khazanah warisan Malaysia.

Oleh yang demikian sebagai rakyat Malaysia, kita sendiri mestilah menghormati dan berusaha memelihara, memulihara serta melindunginya.

Syabas kepada Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia kerana diberi kepercayaan dalam memelihara, memulihara dan melindungi segala warisan kebangsaan negara. Jabatan Warisan Negara begitu gigih dan peka serta bersungguh-sungguh melaksanakan tugasnya.

Peranannya amat patut disanjung tinggi. Tanpa usaha gigih Jabatan Warisan Negara, identiti budaya warisan Malaysia mungkin akan hilang ditelan zaman.

Usaha Jabatan Warisan Negara dalam membentuk dan melahirkan focal point tertentu bagi memberi kesedaran dan juga untuk perkongsian maklumat yang berkaitan dengan warisan kebangsaan amatlah penting. Generasi muda hari ini akan lebih celik ilmu mengenai warisan kebangsaan.

Generasi Malaysia merupakan tiang negara dan harapan bangsa yang mengharumkan serta mengangkat Malaysia ke persada dunia. Khazanah warisan negara yang tidak ternilai kepada masyarakat akan tersemat dalam diari, sehingga ke peringkat Unesco.

Malaysia bukan sahaja melahirkan bijak pandai dalam bidang ekonomi, sains dan seumpamanya, malah sebuah negara yang kaya dengan keindahan.

Sekarang kita perhatikan bidang pantun dan nyanyian. Di sini, saya mengambil contoh negeri Melaka yang bersejarah. Melaka sinonim dengan Dondang Sayang - suatu persembahan seni yang bersifat dinamik.

Dalam nyanyian Dondang Sayang kita menemukan pantun yang sesuai untuk pembinaan negara bangsa, serta jati diri bangsa, dan seterusnya memajukan bangsa mengikut acuan sendiri. Pantun yang terdapat dalam Dondang Sayang, apabila dilagukan dengan bersahaja sebenarnya mempunyai unsur-unsur sindiran atau nasihat, sesekali humor yang mempunyai matlamatnya tersendiri.

Pantun seperti yang berikut ini memuatkan nasihat yang amat berguna kepada warga Malaysia.

Negeri Melaka negeri bersejarah,

Banyak peninggalan warisan bangsa,

Rakyat Malaysia patut bermegah,

Bangga memartabatkan warisan negara,

14 negeri kebanggaan Malaysia,

Memiliki warisan nenek moyang kita,

Warisan tidak ketara warisan negara,

Marilah bersama memeliharanya,

Kita sedar tentang pentingnya penghayatan seni dan warisan, dan kita perlu mempertingkatkannya sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara. Seni dan warisan amat membantu dalam usaha membina kesedaran terhadap sejarah.

Kita juga sedar bahawa masa depan yang akan kita kongsi bersama perlu dirancang bersekali dengan penjagaan seni dan warisan. Kesedaran tentang hal ini adalah benar, walaupun kegunaannya tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sebahagian perkara budaya ialah hal dalaman, bukan luaran. Seni budaya dapat membantu mempertingkatkan kualiti hidup rakyat.

0 Komentar untuk " Seni budaya warisan negara "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ