Mengapa biarkan guru seperti lilin - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Mengapa biarkan guru seperti lilin



MEMANG sudah terlewat tiga hari, tetapi ingin juga saya mengucapkan selamat dan terima kasih kepada lebih 435,000 orang pendidik di seluruh negara. Jasa mereka patut dihargai.

Bercakap dari pengalaman silam, rasanya tidak semua orang boleh menjadi cikgu. Bukan kerja mudah. Saya pernah mencuba, tetapi ternyata tidak berjaya.

Awal 70-an, selepas keputusan peperiksaan, saya mendapat tawaran menjadi apa yang ketika itu dipanggil guru sementara, menggantikan seorang cikgu wanita yang cuti bersalin.

Saya diminta mengajar Bahasa Malaysia, subjek kegemaran – saya dapat A1 dalam SPM – kepada murid darjah satu di sebuah sekolah jenis kebangsaan (Tamil) di Muar.

Saya terhibur dengan gelagat murid-murid. Mereka nampak ceria dengan kedatangan guru baharu. Cuma saya tidak dapat berkomunikasi, sebab kesemua 21 murid itu hanya bercakap Tamil.

Ketika saya masuk ke bilik darjah, mereka serentak berkata: “Selamat pagi, cikgu...” Saya menyuruh mereka duduk, tetapi hanya seorang dua yang duduk, ramai lagi terus berdiri.

“Murid-murid boleh duduk,” kata saya lagi, tetapi mereka terus tercacak. Kemudian saya terdengar ada kalangan mereka berkata: “Uker, uker!” barulah semua duduk. Maka pada hari pertama, saya belajar satu perkataan Tamil: ‘uker’.

Hari-hari berikutnya banyak lagi saya tahu istilah-istilah Tamil daripada murid-murid yang ceria itu: ‘sapedek’ (nasi), ‘mutaye’ (telur), ‘rendek’ (dua), ‘pace thani’ (air sejuk), ‘palem-palabem’ (musim buah-buahan), ‘yeanadey!’ (alamak!) dan banyak lagi.

Masuk minggu kedua, saya sudah boleh cakap Tamil campur-campur. Ada guru tersenyum dan geleng-geleng kepala. Maka tidak sempat sebulan, saya diminta berhenti sebab ternyata tidak boleh mengajar. Kata guru besar: “Murid tidak pandai Bahasa Melayu, awak pula yang pandai cakap Tamil...”

Saya kagum dengan golongan pendidik yang sabar dan gigih. Sepanjang masa prima mereka dihabiskan di dalam bilik darjah, menghadapi pelbagai kerenah murid. Ada murid yang malas buat homework, ada yang melawan cakap guru, ada yang bengap menghafal sifir, hatta ada yang terkencing di dalam darjah.

Cikgu zaman sekarang lebih banyak cabaran. Bukan sahaja terpaksa menghadapi kerenah murid yang terlebih ‘bijak’ tetapi juga menghadapi kerenah ibu bapa yang sesetengahnya menganggap guru sebagi kuli upahan.

Ada ibu bapa yang datang ke sekolah membawa parang gara-gara anaknya disuruh berdiri atas meja kerana tidak membuat homework. Ada ibu bapa menulis surat kepada orang politik minta guru ditukar ke sekolah lain sebab mencubit anaknya. Ada ibu bapa yang mengherdik cikgu sebab anaknya tidak dapat semua A dalam peperiksaan. Senang sahaja ibu bapa menuduh “cikgu makan gaji buta” apabila anaknya tidak lulus peperiksaan. Pada hal ibu bapa sendiri langsung tidak ambil kisah mengenai pelajaran anak-anak semasa di rumah.

Setiap kali sekolah memanggil mesyuarat tahunan PIBG, berapa orang ibu bapa yang sudi datang? Ada yang datang seorang dua pun hanya untuk meluahkan rasa tidak puas hati kepada guru-guru.

Ada kerenah murid, ada kerenah ibu bapa. Tetapi turut melemaskan cikgu ialah kerenah kementerian. Tanggungjawab terus ditambah, prestasi akademik hendak ditingkatkan ke puncak, semua kena ikut SOP, GO dan lain-lain peraturan. Silap-silap gaya kena tukar ke pedalaman. Tersilap sokong politik lagi teruk akibatnya.

Hanya cikgu sahaja tahu dan merasakan betapa letih dan pedih – juga pilu! – menghadapi kerenah demi kerenah. Tetapi mereka tetap tabah, walaupun terpaksa berpisah dengan pasangan masing-masing kerana ditugaskan di tempat jauh. Ada beribu-ribu guru 'duka lara' yang tidak dapat bersama suami-isteri untuk tempoh yang panjang...

Memang ada seorang dua guru yang culas, mengajar sambil lewa. Ada juga yang garang seperti jin afrit, menampar murid hingga cedera. Ada juga yang asyik menjadi ejen MLM, menjual pelbagai produk.

Tetapi sebahagian besar daripada 435,000 pendidik – tidak kira yang mengajar di sekolah serba lengkap di bandar, atau sekolah daif di kampung terpencil – adalah mereka yang gigih mencurahkan bakti untuk membentuk generasi.

Secara peribadi saya terhutang budi kepada semua guru yang mula mengajar saya A, B, C; Alif, Ba, Ta; 1, 2, 3... Baik guru sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah agama, universiti, hatta mereka yang mengajar dan mendedahkan saya kepada dunia kewartawanan, budi mereka saya kenang sepanjang hayat. Tanpa mereka siapalah saya.

Terimalah ucapan ikhlas, walaupun saya tahu itu hanya setitis tinta, berbanding selautan ilmu yang telah mereka curahkan. Selamat Hari Guru!

0 Komentar untuk " Mengapa biarkan guru seperti lilin "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ