KITA bukan anti-China atau anti mana-mana negara. Malah kalau kita faham sejarah, kita akan tahu yang negara kita adalah antara yang terawal mengiktiraf China dan jalin perhubungan diplomatik.
Sebab itulah lebih 40 tahun kita berbaik-baik dan berniaga dengan China. Kita tiada masalah dengan negara gergasi itu sehinggalah dua, tiga tahun kebelakangan ini apabila kita mula jadi terlalu bergantung kepada China.
Dengan apa yang berlaku, kita tidak boleh tolak bulat-bulat kemungkinan China menjadi negara paling berpengaruh ke atas negara kita sehingga orang kita sendiri anggap China sahabat akrab.
Saya tak kata kita tak boleh berkawan dengan China. Sebaliknya kita wajib berbaik-baik dengan China macam kita berbaik-baik dengan semua negara yang berpegang kepada keamanan sejagat.
Yang hendak saya ingatkan ialah kita jangan terjerumus lagi dalam perlumbaan senjata dan ideologi kuasa besar macam yang terjadi pada 1950-an dan 60-an. Masa itu kita memihak kepada blok Barat.
Kita jangan sekali-kali cakap besar bahawa kita tidak akan jatuh di bawah pengaruh negara China atau mana-mana kuasa besar.
Kalau hal ini boleh berlaku kepada Pakistan, apa jaminan ia tidak boleh berlaku kepada kita. Kita lebih kecil daripada Pakistan dan bukan semua orang kita Islam macam di Pakistan di mana 97 peratus penduduknya Islam.
Hari ini, pengaruh China paling luas adalah ke atas Pakistan sehingga orang Pakistan sendiri menerima pengaruh China ke atas negara mereka sebagai positif.
Menurut kajian Perkhidmatan Dunia Badan Penyiaran British (BBC) tahun 2014, 75 peratus rakyat Pakistan menganggap pengaruh China ke atas negara mereka sebagai positif. Hanya 15 peratus mempunyai pandangan negatif terhadap China.
Dalam kalangan rakyat jelata China pula, kajian BBC itu mendapati mereka mempunyai pandangan paling positif terhadap negara mereka sendiri diikuti Indonesia dan Pakistan dalam kalangan negara-negara Asia Pasifik.
Mengapakah orang Pakistan mempunyai pandangan yang begitu positif terhadap negara China?
Jawabnya ialah kerana sejak 1960 lagi ia bergantung kepada China dalam bidang pertahanan, ekonomi dan teknologi.
Menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm, Pakistan adalah pengimport terbesar senjata China. Hampir 47 peratus eksport senjata China adalah ke Pakistan.
China bukan tamadun tua yang sia-sia. Hasil pengalaman beribu tahun itu, ia membentuk pemikiran yang strategik mengenai perhubungan luar.
Bagi tujuan itu, China membiayai dan membina jalan raya, landasan kereta api dan pelabuhan di Pakistan bagi menyambungkan wilayahnya dengan Lautan Hindi. Projek-projek itu dilaksanakan di bawah apa yang dikenali sebagai Koridor Ekonomi China-Pakistan yang dianggar menelan belanja AS$54 bilion (kira-kira RM243 bilion).
Pelabuhan yang China bina di Gwadar, di pantai Laut Arab itu memberikan China laluan terdekat ke Lautan Hindi. Pelabuhan itu beroperasi 13 November lalu apabila barang dari negara China dihantar melalui jalan darat dan dimuatkan ke atas kapal untuk dihantar ke Asia Barat dan Afrika.
Untuk lengkapkan jaringan ekonomi dan pertahanannya dengan Pakistan, China sedang berunding untuk jual lapan kapal selam berharga AS$4 bilion (RM18 bilion) hingga AS$5 bilion (RM22.5 bilion) kepada Pakistan macam ia jual kapal peronda persisiran pantai kepada negara kita.
Logiknya tentulah senjata yang China jual kepada Malaysia dan Pakistan atau mana-mana negara juga tidak akan digunakan untuk mengancam keselamatan China. Sebaliknya ia akan mengukuhkan pertahanan China dan membantu China menjadi kuasa besar selepas Amerika Syarikat.
Dengan semua ini, tidak hairanlah kalau ada penyelidik dan pengulas hal ehwal antarabangsa yang menganggap Pakistan sebagai tanah jajahan ekonomi China.
Cengkaman China ke atas Pakistan diramalkan akan menjadi lebih kuat berikutan berakhirnya skim bantuan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) tahun lalu.
Pada 2013, IMF meluluskan pinjaman AS$6.6 bilion (RM29.7 bilion) kepada Pakistan bagi menyokong usahanya menstabilkan ekonomi, merangsang pertumbuhan dan melindungi rakyat miskin.
Pakistan mengalami masalah pertumbuhan ekonomi yang rendah, kejatuhan rizab antarabangsa dan defisit belanjawan yang tinggi. Walaupun begitu, pertumbuhan ekonominya lebih tinggi daripada kita.
Melihat pengalaman Pakistan itu, kita jangan terlalu seronok menerima pinjaman dan pelaburan beratus bilion ringgit daripada China. Ia bukan derma atau sedekah. Ia adalah urusan yang bersyarat. Silap-silap kita akan jadi hamba ekonomi China. Wallahuaklam.
0 Komentar untuk " Bahaya jadi hamba ekonomi China "