Erti tersingkirnya pengarah FBI - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Erti tersingkirnya pengarah FBI



SEJAK dulu, banyak yang bermula di Barat berlaku di Timur. Begitulah halnya dengan banyak ciptaan dan jumpaan baharu. Penjajahan pun begitu juga. Kita sering menepis, tetapi tidak tertepis. Di sini, semangat ketulenan Melayu dan Kemelayuan membuat apa saja asas agar kemurnian Melayu dan Kemelayuan itu kekal; namun segala itu sukar dipenuhi. Ini kerana proses globalisasi terus  menyusup dan bergerak ke hadapan.

Filem ialah gejala terpenting abad 20 dalam globalisasi. Dalam menghibur dan memberi info kepada dunia, filem berbahasa Inggeris adalah media paling luas dan popular di sini. Bahasa Inggeris juga menyalurkan ilmu dan info yang berkembang dalam pelbagai aspek kehidupan kita, termasuk politik – yang diertikan sebagai ‘cara sesebuah negara diperintahkan’.

Ringkasnya, satu cara Westminster; satu lagi ialah cara autokrasi anutan negara-negara berideologi komunis dan monarki absolut, dan lain-lain lagi.

Cara pertama itu berkembang ke semua negara Eropah dan Amerika di kedua-dua belah lautan Atlantik. Yang terbesar dan terkuat ialah Amerika Syarikat (AS). Di luarnya pula ialah India, dengan penduduknya lebih 1.3 bilion, dan banyak lagi negara lain, termasuk Jepun dan Malaysia.  Negara-negara seperti China, Korea Utara, Cuba dan monarki tertentu di bumi Arab tegak di atas autokrasi. Kuasa dipegang dan diturunkan melalui saluran parti dan titisan darah dan bukan melalui peti undi.

Dengan mengetepikan amalan politik di negara-negara autokrasi, kita dapati usaha terus menerus diambil tanpa kunjung padam untuk memastikan amalan demokrasi terjamin dengan kukuh.

Jaminan itu dibuat melalui pelbagai institusi, seperti parlimen dan badan perundangan; mahkamah; badan-badan penyiasatan kesalahan jenayah dan sivil; polis; tentera; anti perlakuan kotor, dan lain-lain.

Segalanya bermaksud memastikan presiden, perdana menteri atau canselor tidak memegang tampuk kuasa secara mutlak sehingga membahayakan rakyat.

Dalam abad 20, nama seperti Stalin di Rusia dan Hitler di Jerman selalu disebut-sebut sebagai contoh yang harus dielakkan.

Oleh itu jika ada tanda-tanda seseorang pemimpin yang dipilih parti atau rakyat akan menjadi seperti mereka berdua itu, maka semua langkah akan diambil institusi-institusi itu, serentak atau satu persatu, mencegah dan menghalangnya demi kebaikan rakyat dan negara. Saya pernah duduk selang beberapa kerusi saja dengan Presiden Peru Fujimuri di Istana Negara pada tahun 1995, dengan segala aura kuasa terpancar pada dirinya. Tidak berapa lama kemudian beliau diburu di negaranya sendiri kerana salah guna kuasa dan melakukan rasuah.

Tidak perlu diulangi nasib Presiden Brazil, Presiden Korea Selatan, Presiden Filipina (bekas bintang filem), Presiden Ukraine, apalagi PM Thailand Thaksin dan PM Israel Olmert,  malah banyak lagi.

Kini Presiden AS Trump menghadapi masalah besar dalam kes salah guna kuasa. Jika masalah Trump itu berlaku di sesetengah tempat lain,  ia mungkin dikuis dengan satu penafian dalam senyuman. Media pula akan menutupkannya sahaja bagaikan tidak ada nilai berita untuk diberikan masa dan ruang utama. Sampai bila gejala buruk begitu boleh dipertahankan?

Walaupun Trump menafikan beliau dan orangnya berkongsi info krusial dengan Rusia, namun TV, radio dan akhbar terus menyiarkan wasangka hari demi hari, 24 jam sehari, sehingga Jabatan Keadilan AS mengambil tindakan sendiri melantik Wakil Khas, tanpa anggukan Trump, untuk menyiasat sejauh mana Trump dan suku-sakatnya berkongsi info kritis dengan Rusia, dan setakat mana pula Rusia terlibat dalam usaha mempengaruhi pilihan raya Presiden AS 2016.

Disyaki juga bahawa Trump melakukan jenayah menahan pelaksanaan undang-undang apabila beliau memecat  Pengarah FBI agar pengarah itu tidak boleh meneruskan siasatan ke atas segala yang disebutkan di atas itu.

Jika asas dijumpai, maka Trump akan didakwa dan dibicarakan Dewan Senat. Jika didapati bersalah, beliau akan terpaksa meletak jawatan seperti Presiden Nixon pada 1974 sebelum kesnya sampai ke lantai Senat. Kes itu mengilhamkan semua penyingkiran: Presiden dan PM itu.

Demikianlah negara demokrasi nombor satu dunia ini menjaga demokrasinya. Ia harus berani diterjemahkan negara-negara lain demi kebajikan rakyat dan maruah negara. Persislah, apa yang berlaku di Barat akan berlaku di Timur.

0 Komentar untuk " Erti tersingkirnya pengarah FBI "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ