Di pasaran kini, ada banyak produk kosmetik dan suplemen yang dipasarkan. Pengguna disajikan pelbagai testimoni yang kononnya berjaya daripada pihak penjual. Namun tahukah anda bahawa testimoni itu boleh direka? Ada sesetengah penjual atau pengedar tidak bertanggungjawab menipu pembeli atau pengguna dengan memberi testimoni palsu. Ada produk kecantikan mengandungi bahan terlarang seperti merkuri, hydroquinone dan tretinoin untuk mencerahkan kulit dengan cepat tetapi memberi kesan sampingan termasuk iritasi kulit, mual dan muntah manakala kesan jangka panjang boleh mengakibatkan kerosakan saraf otak, ginjal, kanser, Alzheimer, Parkinson dan gangguan perkembangan janin.
Sementara itu, ada pesakit sanggup mengambil apa sahaja suplemen tambahan untuk menyembuhkan atau sekurang-kurangnya dapat mengurangkan rasa sakit yang dialami tanpa mengetahui kemungkinan kesan buruknya. Hal ini kerana sesetengah produk kesihatan mengandungi bahan terlarang seperti dexamethasone iaitu sejenis steroid. Antara kesan buruk pengambilan steroid dalam jangka panjang serta tidak terkawal boleh menyebabkan penyakit darah tinggi dan diabetes bertambah buruk. Antara kesan lain termasuk menyebabkan kegagalan buah pinggang, tulang rapuh, mudah dijangkiti kuman dan sebagainya. Jadi, dalam soal membeli produk, saya sarankan ikut saranan doktor khususnya bagi penghidap penyakit serius seperti buah pinggang, diabetes, sakit jantung dan seumpamanya mestilah ikut saranan doktor dengan mengambil ubat-ubatan yang dibekalkan mengikut dos ditetapkan.
Jangan terpengaruh
Jangan mudah terpengaruh dengan dakyah penjual yang kononnya produk mereka mampu sembuhkan penyakit anda kerana kemungkinan produk itu akan burukkan lagi tahap kesihatan anda. Kedua, pastikan mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini untuk memastikan produk diambil bebas daripada bahan terlarang. Walaupun produk yang berdaftar di bawah KKM belum tentu 100 peratus selamat tetapi sekurang-kurangnya boleh mengurangkan risiko kesihatan. Ketiga, perhatikan kandungan dan dos bahan. Jika ada bahan terlarang di dalamnya, jangan beli biar pun produk berkenaan menarik dan menjanjikan hasil memuaskan.
Kesimpulannya, jangan terlalu obses dengan kecantikan sehingga memudaratkan diri sendiri. Sesungguhnya kecantikan rohani lebih penting dan mulia berbanding dengan kecantikan fizikal yang tidak kekal. Apabila rohani cantik, automatik kecantikan fizikal pun akan terserlah. Jadi, berhati-hatilah dalam memilih produk kecantikan dan kesihatan yang banyak di pasaran. Pengeluar dan penjual tidak akan peduli jika produk mereka memberi kesan buruk kepada pengguna asalkan mereka dapat keuntungan yang diinginkan.
Dimaklumkan pihak KKM menerusi Bahagian Perkhidmatan Farmasi sudah menyediakan perkhidmatan Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian bebas tol 1-800-88-6722 (Isnin-Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang) untuk orang awam bertanyakan apa sahaja berkaitan produk di pasaran. Sebarang aduan mengenai penjualan produk yang mengandungi bahan terlarang boleh dibuat menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) KKM di laman sesawang berikut: http://moh.spab.gov.my/eApps/system/index.do. Aduan anda mungkin boleh menyelamatkan orang ramai daripada menjadi mangsa. Anda mampu mengubahnya. Siti Nor Aishah Mamad, Universiti Sains Islam Malaysia
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/274856
0 Komentar untuk " Usah mudah terpedaya testimoni ditampilkan produk pengaruhi pengguna "