Inisiatif hijau jadi agenda setiap rakyat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Inisiatif hijau jadi agenda setiap rakyat



Keseimbangan alam semula jadi adalah elemen paling penting dalam menjamin usaha pembangunan kelestarian alam. Satu langkah bijak bagi masyarakat moden hari ini dalam menjaga keseimbangan ini adalah dengan menggunakan tenaga hijau dalam menjalani kehidupan seharian. Tenaga hijau dianggap pelbagai pihak sebagai satu penyelesaian krisis alam sekitar yang kian meruncing. Ia adalah tenaga mampan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan global, sekali gus dapat memelihara kualiti hidup untuk generasi akan datang. Pelaksanaan amalan tenaga hijau dapat dilakukan dalam pelbagai bentuk antaranya dengan peralihan sumber tenaga daripada bahan api fosil kepada sumber boleh diperbaharui seperti angin, ombak, pasang surut, terma dan cahaya solar.

Peralihan sumber tenaga seperti ini mempunyai potensi besar mengatasi masalah alam sekitar seperti kesan rumah hijau, pemanasan global dan perubahan iklim. Ia sekali gus dapat mengatasi masalah utama yang mengancam alam semula jadi iaitu pelepasan karbon dioksida yang meluas dari stesen jana kuasa, sektor industri dan pengangkutan. Di Malaysia, peralihan bahan api fosil kepada sumber tenaga hijau menjadi agenda penting dalam merealisasikan pembentukan negara maju menuju 2020.

Kerajaan Malaysia juga berhasrat mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida dalam negara sehingga 45 peratus pada 2030. Oleh itu, kerajaan memberi pelbagai insentif kepada pihak swasta bagi menggalakkan pelaburan dalam industri teknologi hijau serta menyokong adaptasi teknologi ini oleh sektor berkenaan. Antara langkah paling menarik ke arah pembangunan teknologi hijau itu adalah penawaran pembiayaan kewangan yang disediakan kerajaan dan institusi kewangan. Di bawah Program Transformasi Ekonomi, kerajaan serta agensi kewangan menyediakan platform pembiayaan kewangan kepada permohonan projek hijau baharu.

Kerajaan perkenal GTFS 

Melalui Green Tech Malaysia, kerajaan memperkenal Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) bertujuan mempromosi pelaburan dalam teknologi ini bagi mencegah kemusnahan alam daripada berterusan, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, menggalakkan gaya hidup sihat dan meningkatkan kesedaran untuk menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui daripada sumber semula jadi. GTFS pada asalnya dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan Bajet 2010 dengan pembiayaan awal RM1.5 bilion. Pada 2013, pembiayaan GTFS ditingkatkan kepada RM2 bilion dengan tempoh permohonan skim dilanjutkan hingga 31 Disember 2015. Ketika mengumumkan Bajet 2016, permohonan ini dilanjutkan lagi hingga 31 Disember 2017.

Seperti dinyatakan oleh Green Tech Malaysia, 272 projek sudah mendapat manfaat melalui skim ini antara 2010 hingga 2016. Secara keseluruhannya, ia membabitkan pembiayaan projek hijau RM2.962 bilion. Pada 2 Mac 2016, Majlis Tenaga Hijau Negara dan Perubahan Iklim (MTHPI) yang dipengerusikan Perdana Menteri bersetuju melanjutkan lagi pembiayaan skim GTFS lima tahun dengan penambahan pembiayaan RM5 bilion. Justeru, lanjutan tempoh ini dijangka dapat memberi manfaat besar kepada pengusaha dan pengguna teknologi hijau di seluruh negara.

Inisiatif seperti ini membuka peluang besar untuk rakyat dalam sektor perniagaan dan pada masa sama, berupaya menggalakkan mereka menghargai alam semula jadi selaras usaha kerajaan menitikberatkan pembangunan mampan. Dari sudut pandangan Islam, inisiatif Malaysia dalam membangunkan teknologi hijau adalah selaras dengan keprihatinan Islam terhadap tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Tanggungjawab ini secara amnya memfokuskan kepada bagaimana manusia dapat mencapai pembangunan yang inklusif bagi kedua-dua pihak; manusia dan alam semula jadi.

Dalam aspek pembangunan pula, Islam menekankan kepentingan penjagaan alam sekitar (hifz al-bi'ah) yang dilengkapi konsep lain seperti kebertanggungjawaban (amanah), kepemimpinan (khalifah) dan keseimbangan hidup (mizan). Manusia secara lahirnya diberi tanggungjawab amat besar dalam memelihara setiap apa yang mereka miliki dan pada masa sama dituntut menggunakannya demi manfaat diri, masyarakat dan alam sekitar. Manusia sebagai penjaga atau pemimpin (khalifah) di bumi, hendaklah lebih bertanggungjawab dalam menguruskan alam semula jadi. Allah SWT memerintah manusia menjauhkan diri daripada berbuat kerosakan terhadap alam sekitar kerana tindakan ini akan membawa kemusnahan ciptaannya yang dijadikan secara semula jadi (al A'raf, 7:85).

Justeru, manusia diingatkan dalam ayat al-Quran: "Berbuat baiklah (kepada hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan." (al Qasas 28:77).

Selaras tuntutan agama 

Amaran keras ini jelas menuntut manusia lebih bertimbang rasa kepada alam sekitar serta menjaganya dengan baik. Dalam konteks ini, amalan tenaga hijau amat sesuai dan selaras dengan seruan berkenaan dan ia dapat menjadi satu langkah yang baik dalam menjaga kelestarian alam. Pelaksanaan amalan tenaga hijau yang bertujuan untuk mengekalkan kesejahteraan manusia dan alam semula jadi dapat dicapai dengan meningkatkan kesedaran masyarakat, menggalakkan kerjasama antara syarikat pemaju, diperkasakan dengan penguatkuasaan yang ketat serta melalui aktiviti pemantauan berterusan.

Semua ini perlu dimulakan daripada peringkat individu serta melalui kefahaman yang betul dan mendalam. Sesungguhnya, al-Quran menyatakan bahawa amanah itu adalah lambang keimanan seseorang Muslim (al Mu'minun 23:8). Oleh itu, penjagaan alam semula jadi adalah perintah Ilahi yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Ia dapat dilaksanakan melalui inisiatif hijau oleh setiap individu. Penulis adalah Felo Penyelidik di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/274501
0 Komentar untuk " Inisiatif hijau jadi agenda setiap rakyat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ