Kita kurang anjur kejohanan tempatan, cungkil bakat muda - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kita kurang anjur kejohanan tempatan, cungkil bakat muda



KEMELUT perebutan jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah berakhir. Namun, persoalannya sekarang ialah masa depan sukan itu sendiri. Sehingga bila kita harus bergantung kepada Datuk Lee Chong Wei? Mengapa kita masih gagal melahirkan pengganti Chong Wei? Wartawan BH Ahad, Helmi Talkah menembual Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff dan bekas pemain beregu kebangsaan, Datuk Seri Jalani Sidek yang turut mengulas pemilihan Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sebagai bakal Presiden BAM yang baharu.

S: Komen Tengku selepas kemelut membabitkan pemilihan Presiden BAM selesai dengan cara baik? 

J: Saya puji pengorbanan dilakukan Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid kerana memberi laluan kepada Datuk Seri Norza bagi mengekalkan tradisi tiada pertandingan dalam BAM. Secara keseluruhan, ia sesuatu yang positif untuk badminton negara. Namun, saya ingin sarankan siapa yang dipilih menjadi timbalan presiden nanti diharap dapat membantu presiden melaksanakan perancangan yang dibuat. Apa yang paling penting, timbalan presiden yang akan dilantik perlu mereka yang benar-benar mahu membantu presiden. Saya tidak mahu memihak kepada sesiapa kerana itu adalah hak presiden dan ahli majlis untuk menentukan. Cuma, saya boleh beri pandangan yang kita memerlukan individu yang meletakkan sukan badminton itu sendiri sebagai keutamaan yang pertama.

S: Ketika mula mengambil alih tugas Presiden BAM, apa visi Tengku? 

J: Misi saya mudah, iaitu melakukan pembersihan dalam BAM. Sebagai Presiden Persatuan Badminton Kelantan, saya sudah boleh nampak BAM akan berdepan cabaran lebih sukar jika kita kekal atau melakukan cara yang sama. Jika itu berlaku, kita akan terus kempunan untuk meraih kejayaan daripada pemain lain selain Datuk Lee Chong Wei dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong. Dari situ, visi saya adalah untuk memastikan ratusan ribu rakyat Malaysia menjadikan sukan badminton sebagai sukan nombor satu dan mengembalikan Malaysia sebagai kuasa besar badminton dunia. Perubahan bukan sesuatu yang sukar dilakukan kecuali orang dalam BAM sendiri tidak mahu berubah. Pencapaian yang kita raih sejak 2013 adalah kerja keras secara sepasukan termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Seri Norza Zakaria yang memberi sokongan penuh dan membenarkan BAM menggunakan kemudahan di Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

S: Boleh Tengku kongsi pandangan mengenai situasi semasa dalam sukan badminton dunia? 

J: Kita perlu berwaspada dengan perubahan yang berlaku dalam corak permainan sekarang bagi kekal kompetitif dalam setiap kejohanan. Secara keseluruhan, sudah banyak negara mengambil bahagian dan menjadi pencabar kepada negara kuasa besar. Peningkatan ditunjukkan Jepun, Korea Selatan, Taiwan, India, England, Russia, Vietnam dan Sepanyol sudah pasti memberi tekanan kepada Malaysia. Malah, wang tunai juga sudah memainkan peranan utama dalam sukan badminton dan jika BAM tidak mempromosi sukan ini dengan betul, kita pasti kehilangan peluang untuk penajaan. Permainan badminton itu sendiri sudah berubah. Sebanyak 20 hingga 30 pukulan diperlukan untuk memenangi satu mata. Ia memerlukan fizikal yang kuat dan pemain perlu cergas 100 peratus dalam setiap perlawanan. BAM juga mempunyai perjanjian persefahaman bersama Persatuan Badminton Korea untuk mengkaji kepakaran Sains Sukan mereka yang mana lebih canggih berbanding kita. Saya berani katakan, tanpa kerjasama ISN yang dipengerusikan Datuk Seri Nor- za, kita tidak boleh capai apa yang kita raih pada saingan Sukan Olimpik, Piala Thomas, Sukan Komanwel dan Sukan SEA.

S: Apakah isu utama yang perlu diberikan perhatian? 

J: Kita perlu meningkatkan jumlah pemain. Kita memerlukan 100,000 hingga 200,000 pemain di seluruh negara. Kita juga perlu mempromosikan sukan badminton ini untuk tujuan komersial - sama seperti bola sepak - bagi mengukuhkan lagi kewangan BAM. Kita juga memerlukan program struktur kejurulatihan lebih sistematik. BAM perlu mengambil yang terbaik daripada kalangan semua dan menggabungkan mereka dalam satu sistem yang standard bukan sahaja untuk BAM tetapi semua persatuan negeri juga.

S: Bagaimana dengan skuad kebangsaan dan pembangunan mereka. Adakah kita mempunyai material berkualiti untuk memastikan badminton kekal sukan nombor satu selepas Chong Wei bersara? 

J: Skuad kebangsaan kita sebenarnya berdepan risiko kerana sejak dua tahun terakhir ini kita gagal mencari pengganti kepada Chong Wei. Acara perseorangan paling mengecewakan. Selepas Chong Wei, kita tidak mempunyai mana-mana pemain yang mampu meneruskan legasinya. Bagi saya ini adalah satu kegagalan daripada aspek perancangan. Chong Wei ada membantu kita mengenal pasti pemain berpotensi dan jurulatih. Kita mempunyai dua jurulatih utama dari China - seorang daripadanya adalah bekas jurulatih Lin Dan dan seorang lagi melatih Goh Jin Wei (perseorangan wanita). Jurulatih berkenaan sudah mengenal pasti lima pemain muda yang berpotensi jika kita beri mereka semua yang diperlukan dan mampu berada dalam kelompok 10 terbaik dunia. Bagaimanapun, sejak kedatangan pengarah teknikal (Morten Frost Hansen), kedua-dua mereka meninggalkan BAM.

S: Apa harapan Tengku kepada kepemimpinan baharu BAM? 

J: Sebenarnya sebelum saya mengambil cuti kerana masalah kesihatan pada 2015 dan tugas saya dipangku oleh Tan Sri Mohamed Al Amin, saya ada perancangan menganjurkan kejohanan badminton antara negeri. Malaysia sebenarnya kekurangan kejohanan tempatan, bagaimana kita mahu lahirkan ramai pemain jika kejohanan kurang. Sebab itu, saya rancang untuk kejohanan badminton antara negeri ini. Sebelum bercuti, saya minta pengurusan BAM merealisasikannya. Sehingga hari ini ia tidak diadakan. Jadi, saya harap, Datuk Seri Norza dapat melihat perkara ini. Seperti yang saya katakan, Malaysia kurang kejohanan tempatan. Jika bandingkan negara lain seperti Denmark, mereka ada 11,000 kejohanan tempatan setiap tahun dan ada 100,000 pemain seluruh negara. Malaysia pula tidak sampai 2,000.

S: Komen Tengku mengenai peranan persatuan badminton negeri yang dilihat kurang menyumbang? 

J: Ini adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian. Kita tidak meletakkan sepenuh kesalahan kepada persatuan negeri tanpa memahami masalah yang dihadapi mereka. Cuba kita lihat, persatuan negeri mana yang sering melahirkan pemain. Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan biasa melahirkan pemain. Namun, mengapa negeri lain tidak boleh? Kita kena buat analisis apa masalah mereka. Jadi, BAM perlu bantu dan bincang dengan kerajaan negeri untuk cari jalan penyelesaian. Ada juga negeri yang berdepan masalah kekurangan dana, kita perlu faham. Tidak semua mereka mudah mendapatkan penajaan. BAM memainkan peranan dengan memberikan peruntukkan khas kepada negeri yang berdepan kesukaran mendapatkan penajaan. Ini perkara yang penting untuk kita beri perhatian. BAM perlu amal dasar keterbukaan Jalani Sidek BEKAS pemain beregu kebangsaan,


Datuk Seri Jalani Sidek. - Foto Hasriyasyah Sabudin

S: Pandangan Datuk Seri mengenai pelantikan Datuk Seri Norza sebagai Presiden baharu BAM? 

J: Pertama sekali saya ucapkan tahniah kepada Datuk Seri Norza. Saya gembira kerana proses peralihan kuasa itu diselesaikan secara baik dan beliau secara rasmi akan dilantik pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 29 April ini. Bagi saya, perkara pertama perlu dijelaskan oleh Datuk Seri Norza adalah berhubung visi beliau berdasarkan situasi semasa dalam badminton negara. Beliau perlu melakukan perbandingan dengan negara lain yang jauh lebih meningkat seperti Jepun, Taiwan dan Indonesia yang kini sudah menunjukkan peningkatan sangat ketara. Saya percaya beliau akan lebih jelas mengenai visi yang akan ditetapkan.

S: Secara peribadi bagaimana Datuk Seri melihat perwatakan Datuk Seri Norza sebagai pemimpin? 

J: Beliau seorang yang mudah didekati dan boleh masuk ke mana sahaja. Beliau boleh bergaul dengan pemain, jurulatih dan pegawai BAM. Daripada perwatakannya jelas membuktikan beliau seorang yang sentiasa ingin melihat kejayaan dicapai. Jadi, saya percaya beliau mampu membawa perubahan kepada BAM dan badminton negara boleh pergi jauh. Itu hanya dicapai jika beliau jelas dengan visi yang mahu dilaksanakan. Ini penting untuk mendapat sokongan pemain, jurulatih dan pegawai BAM. Jika tidak, ia pasti sukar. Saya harap dengan pelantikan Datuk Seri Norza ini, ia akan membawa kejayaan lebih gemilang kepada BAM.

S: Keputusan Tan Sri Al Amin memberi laluan kepada Datuk Seri Norza bagi mengelak berlakunya pertandingan jawatan presiden. Komen Datuk Seri? 

J: Apa yang saya lihat, kedua-dua tokoh berkenaan sebenarnya mempunyai kekuatan masing-masing. Dalam hal ini, saya lihat Tan Sri Al Amin mengambil pendekatan bertolak ansur berdasarkan kesepakatan dalam BAM termasuk daripada keputusan ahli majlis. Saya percaya Tan Sri Al Amin mahu BAM dipimpin generasi muda seperti Datuk Seri Norza. Kita tidak boleh terus melupakan jasa Tan Sri Al Amin sepanjang beliau bersama BAM. Sebagai orang lama, sudah pasti beliau mempunyai banyak ilmu yang boleh dikongsikan. Jadi, saya sarankan, Datuk Seri Norza bekerjasama dengan Tan Sri Al Amin demi kebaikan sukan badminton negara.

S: Apakah perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh Datuk Seri Norza? 

J: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei sering menyuarakan pandangannya mengenai masalah dihadapi pemain muda Malaysia, iaitu mengapa pemain muda kita tidak mempunyai perwatakan sebagai seorang juara. Beliau sendiri pernah katakan, beliau tidak akan dihantar menyertai kejohanan jika gagal menewaskan pemain senior. Namun, situasinya berbeza sekarang yang mana pemain dalam BAM ketika ini terlalu selesa. Tidak kira mereka kalah atau menang, mereka tetap ada dalam BAM. Apa yang disuarakan Chong Wei itu benar kerana saya sendiri melaluinya. Jika kami tewas kepada pemain luar BAM dalam kejohanan sirkit tempatan, kami yang akan ditunjukkan jalan keluar dari BAM. Perkara seperti ini membuatkan kami sedar, jika kami mahu berada dalam BAM, kami perlu lakukan yang terbaik. Jadi, jika kita terus simpan pemain yang sudah terlalu selesa ini, kita tidak akan nampak perkembangan prestasi mereka. Ibarat tidak bagus pun, tetapi masih dalam BAM. Ini yang perlu diberi perhatian oleh Datuk Seri Norza.

S: Cabaran yang bakal dihadapi Datuk Seri Norza sebagai Presiden BAM? 

J: Seperti yang saya katakan, beliau perlu ada visi iaitu jangka pendek dan untuk jangka panjang. Contohnya jika kita lihat, sudah 25 tahun Malaysia tidak memenangi Piala Thomas. Jadi beliau perlu ada perancangan yang perlu dilaksanakan bagi merampas kembali Piala Thomas. Piala Thomas adalah trofi yang berprestij selain dapat menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Bagaimana cara beliau untuk memastikan kita kembali menjadi juara Piala Thomas. Kita sudah lihat peningkatan yang ditunjukkan Denmark dan Jepun dalam Piala Thomas apabila masing-masing menjadi juara. Taiwan juga sedang meningkat naik. Jadi, ini adalah cabaran yang perlu dihadapi Datuk Seri Norza sebagai Presiden. Jelaskan kepada semua apa perancangan beliau. Adakah akan wujudkan satu projek khas bagi Piala Thomas. Selain itu, beliau juga berdepan cabaran bagi memastikan kita memenangi pingat emas Olimpik. Kita sudah menang pingat perak, jadi bagaimana cara untuk kita menang emas pula. Siapa pemain yang kita boleh jadikan sandaran untuk merealisasikan matlamat itu?

S: Individu yang bagaimana sesuai untuk menjadi timbalan kepada Datuk Seri Norza? 

J: Bagi saya, siapa yang menjadi timbalan presiden, orang itu perlu lihat perkara keseluruhan yang dimahukan oleh presiden. Seseorang yang boleh memantau dan menegur sekiranya berlaku kesilapan terhadap semua perancangan yang mahu dilaksanakan. Beri maklum balas kepada presiden kerana seorang ketua memerlukan sokongan daripada orang bawahan beliau dan kedua-duanya perlu bekerjasama secara rapat. Datuk Seri Norza perlu menjadi presiden yang sentiasa menerima teguran. Jika tidak boleh ditegur ia tidak akan menampakkan kesempurnaan dalam BAM. Perlu amal dasar keterbukaan.

S: Harapan Datuk Seri untuk BAM menjalin kerjasama yang lebih erat dengan kelab luar? 

J: Apa yang saya lihat sekarang, BAM sendiri tidak mempunyai pemain cukup bagus bersama mereka sehingga perlu memanggil pemain luar seperti Zulfadli Zulkifli dan Chong Wei Feng untuk kemungkinan disenaraikan bagi menghadapi Sukan SEA. Itu menunjukkan BAM sepatutnya dari awal lagi bekerjasama dengan kelab atau pemain luar. Jangan jadikan kelab atau pemain luar sebagai musuh. Sebagai presiden, saya harap Datuk Seri Norza boleh fikirkan cara untuk membantu kelab atau pemain di luar. Sistem kelab sebenarnya sudah lama terbukti berjaya seperti yang berlaku di Jepun, Taiwan dan Thailand. Persatuan di negara berkenaan tidak menjadikan kelab sebagai musuh sebaliknya menjalin kerjasama dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kualiti badminton negara masing-masing. Di Malaysia, kerjasama antara BAM dengan kelab luar jarang kita lihat.

S: Masalah siapa selepas Chong Wei sering diperkatakan. Apa saranan Datuk Seri kepada kepemimpinan baharu BAM? 

J: Bagi saya, sudah tiba masanya BAM menjadi lebih tegas. Usia Chong Wei sudah 35 tahun dan kita masih mengharapkan beliau lagi untuk mengharumkan nama Malaysia. Ia jelas masalah yang besar ketika negara lain sudah mempunyai ramai pemain muda yang mampu menyaingi kelompok pemain utama dunia. Sudah pasti ini adalah tanggungjawab dan perkara yang perlu diteliti kepemimpinan baharu BAM. Mereka perlu perbetulkan sistem dalam badan induk itu. Saya sarankan, pemain yang terus gagal menghasilkan keputusan, mereka seharusnya dikeluarkan daripada BAM. BAM perlu tegas kerana pelaburan yang dibuat adalah besar.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/275154
0 Komentar untuk " Kita kurang anjur kejohanan tempatan, cungkil bakat muda "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ