TN50: Penjanaan minda agung - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

TN50: Penjanaan minda agung



TRANSFORMASI Nasional 2050 yang ingin diperkenalkan kerajaan adalah disebabkan kesinambungan dasar pembangunan negara yang telah dirancang sejak 1970.

Pelaksanaan Transformasi Nasional 2050 bertujuan mempersiapkan Malaysia menghadapi perubahan dunia yang serba mencabar seperti jumlah penduduk menjadi lebih besar, jangka hayat manusia lebih panjang, perwujudan bandar raya mega kesan penghijrahan penduduk, selain kemajuan sains dan teknologi yang mengurangkan keperluan tenaga kerja manusia.

Jika dilihat garis masa selang 30 tahun di Malaysia, kita dapati perubahan zaman sangat besar daripada generasi ke generasi seterusnya. Bermula 1910 negara di bawah naungan British dan orang Melayu pada masa itu baru diperkenalkan hasilan teknologi revolusi industri.

Penggunaan kenderaan kereta dan bas hanya terdapat di kawasan bandar. Rata-rata orang Melayu masa itu tinggal di kawasan pedalaman dan pinggir bandar. Masih belum mempunyai pendidikan dan hanya segelintir yang berjaya mendapat pendidikan Timur Tengah dan Barat.

Kemasukan warga Cina dan India ke Tanah Melayu semakin ramai. Walaupun begitu, mereka berada dalam garisan kelompok masing-masing. Asimilasi hanya berlaku pada kadar minimum.

Menjelang1940, negara diambang perang dan masyarakat bersatu menentang Jepun. Pengaruh komunis meresap ke dalam kalangan orang Cina melalui kegiatan anti-Jepun.

Walaupun orang Melayu menyokong Jepun, tetapi ramai juga bersimpati dengan British.

Jati diri orang Melayu semakin kukuh apabila Jepun menyerah kalah dan berlakunya pengamukan Bintang Tiga. Pengukuhan jati diri ini menyebabkan Malayan Union yang cuba diperkenalkan British gagal digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Terdapat idea-idea Malayan Union diterapkan ke dalam negara seperti politik pentadbiran sistem Westminster dan perundangan common law. Isu kewarganegaraan akhirnya dipersetujui semua lapisan masyarakat dalam kontrak sosial untuk kemerdekaan negara ini.

Masing-masing orang Melayu, Cina dan India mendapat hak dan ini menyebabkan mereka bersatu menuntut kemerdekaan negara. Ekonomi pada masa tersebut masih berpaksikan kepada pertanian dan perlombongan. Pada 1963, kemasukan Sabah dan Sarawak telah membentuk Malaysia sehingga hari ini.

Pada 1970, berlaku rusuhan kaum akibat ketidakadilan pembahagian kek ekonomi di negara ini. Pada masa itu, rakyat berada dalam segregasi disebabkan berlaku pembahagian pengenalan pekerjaan, pendidikan dan kawasan mengikut garis kelompok kaum.

Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan bertujuan menghapuskan kemiskinan dan pengenalan kaum. Pada masa sama, dasar afirmatif digunakan untuk mengeluarkan masyarakat Melayu daripada kemiskinan.

Ini disebabkan masyarakat Melayu merupakan majoriti negara ini perlu diberikan perhatian supaya keamanan dan kesejahteraan negara dapat dinikmati semua kaum.

Ekonomi perladangan dan industri asas tani turut diperkenalkan melalui penerokaan tanah-tanah untuk penanaman getah dan kelapa sawit. Pendidikan percuma dari sekolah rendah sehingga menengah diperluaskan ke semua negeri tanpa mengira pedalaman atau bandar.

Biasiswa pendidikan ke peringkat pengajian tinggi turut diberikan kepada anak-anak Melayu untuk melanjutkan pendidikan ke luar negara. Pengenalan perindustrian baru bermula dan teknologi berat dibawa masuk untuk pemodenan negara.

Teknologi komputer diperkenalkan lewat 1990-an menyebabkan banyak pengenalan pekerjaan diwujudkan zaman tersebut. Dasar Wawasan 2020 diperkenalkan bagi memperhebatkan negara ini untuk mencapai negara maju.

Menjelang 2000, satu perubahan besar telah berlaku di seluruh dunia termasuklah negara kita iaitu globalisasi. Situasi ini menyebabkan pengenalan ruang alam maya tanpa sempadan. Teknologi android dan GPS turut diperkenalkan.

Malahan pengenalan kad kredit dan kad debit telah memudahkan lagi pengembangan ekonomi alam maya.

Situasi ini akhirnya mewujudkan satu fenomena dunia tanpa rahsia. Akibatnya ekonomi negara terpaksa berubah dengan pantas daripada industri kepada digital. Pekerjaan yang lapuk tidak lagi praktikal dan digantikan dengan pekerjaan yang wujud disebabkan ekonomi digital.

Teknologi robotik masih belum dibawa masuk secara besaran ke dalam industri berat dan sederhana pada masa kini. Walaupun begitu, pembinaan negara dalam masa 30 tahun akan datang perlu kembali kepada jati diri negara dengan pemboleh ubah ekonomi, teknologi, sosial, politik dan pengurusan.

Bagi mempercepatkan pembinaan negara ini dalam masa 30 tahun sehingga 100 tahun akan datang perlu mengambil kira minda agung (great minds).

Minda agung amat penting dalam mencetuskan idea-idea baharu yang bernas, mampu mengubah corak pemikiran dan ketamadunan negara ini.

0 Komentar untuk " TN50: Penjanaan minda agung "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ