TN50 bersifat futuristik ikut acuan kita - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

TN50 bersifat futuristik ikut acuan kita



Pada penulisan lalu, saya mengulas lapan cabaran belia melaksanakan Transformasi Nasional 2050 (TN50). Kali ini saya menyentuh mengenai mekanisme pelaksanaan TN50 yang boleh dicadangkan kepada kepemimpinan negara. Sebagai belia yang terbabit dalam proses menterjemah dasar negara ke dalam dunia pendidikan tinggi, saya berpandangan beberapa mekanisme perlu diperhalusi oleh semua pihak bagi menghasilkan pelan hala tuju jelas mengenai TN50. Hasrat Perdana Menteri bagi mendengar pandangan dan hasrat rakyat secara keseluruhan adalah satu proses yang amat bermakna bagi rakyat kerana mereka akan merasai kesepunyaan dalam membina hala tuju negara pada masa depan. Perdana Menteri mengikut jejak langkah ayahanda beliau, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dalam mencorak dan merintis pembangunan negara 46 tahun dahulu.

Tiba pula masanya Datuk Seri Najib Razak membuat perubahan besar kepada kemajuan pembangunan negara. Pada masa kini cabaran dan perubahan persekitaran besar menuntut agar pendekatan berbeza dilaksanakan. Pendekatan membina hala tuju TN50 oleh beliau adalah langkah strategik, meliputi keseluruhan aspek kehidupan rakyat Malaysia. Langkah utama dalam kejayaan TN50 adalah dengan meletakkan hala tuju jelas dan difahami rakyat. Hala tuju ini perlu berdasarkan keperluan semasa rakyat. Pembinaan hala tuju ini boleh dibina berdasarkan kepada penyataan masalah yang dilontarkan rakyat atau ramalan masa depan yang dicadang berdasarkan fakta dan perubahan semasa.

Hala tuju jelas 

Pembinaan hala tuju yang jelas dan tepat adalah satu prasyarat kepada kejayaan TN50. Usaha Kementerian Belia dan Sukan dalam mengumpul pandangan dan aspirasi rakyat melalui kaji selidik, media sosial, wacana ilmu dan pelbagai lagi saluran adalah pendekatan yang objektif dalam mendapatkan pandangan secara kolektif daripada semua pihak. Semua pandangan dan aspirasi ini akan menguatkan lagi usaha untuk membina hala tuju yang tepat dan jelas. Perdana Menteri juga sering kali menegaskan bahawa zaman untuk membina negara secara 'atas bawah' sudah berubah. Zaman kini adalah untuk kita bina negara secara 'bawah atas' iaitu aspirasi daripada golongan bawah sehingga yang paling atas.

Kedua, bagi membina hala tuju TN50 yang holistik, mekanisme pengumpulan maklumat dan aspirasi rakyat secara menyeluruh perlu dilakukan. Maklumat pelbagai sumber mampu melahirkan idea yang memenuhi keperluan negara secara total pada masa depan. Maklumat mahupun aspirasi itu mesti datang daripada kumpulan umur berbeza, lokasi penempatan berbeza, jenis pekerjaan pelbagai, kepakaran dimiliki dan kecenderungan terhadap sesuatu perkara. Kementerian yang bertanggungjawab memainkan peranan amat baik dalam mengumpul maklumat dan aspirasi rakyat. Pendekatan secara empirikal sedang dilakukan untuk mengumpul keseluruhan maklumat dan aspirasi rakyat.

Saya difahamkan bahawa kutipan data secara digital dengan soalan berbentuk objektif dan kajian sedang dijalankan. Pendekatan ini amat baik kerana kebanyakan rakyat di negara kita lebih cenderung untuk menggunakan medium digital bagi menerima sesuatu maklumat. Langkah pengumpulan maklumat dan aspirasi rakyat ini akan lebih lengkap jika ia dilebarkan ke kawasan yang tidak mendapat capaian digital dan internet yang meluas seperti di kawasan pedalaman.

Rakyat kemukakan pandangan 

Mekanisme ketiga, selepas mengenal pasti sasaran yang pelbagai. Topik yang relevan dan penting perlu dibincangkan oleh rakyat. Topik yang dikenal pasti ini akan menjadi bidang tumpuan utama dalam hala tuju TN50. Seperti dihasratkan Perdana Menteri topik seperti pendidikan, sains dan teknologi, alam sekitar, kesejahteraan bandar dan beberapa topik yang difikirkan penting untuk TN50, perlu dijadikan asas untuk rakyat mengemukakan pandangan dan aspirasi mereka. Secara umumnya, topik ini sudah pasti lahir daripada penyataan masalah yang dibangkitkan oleh rakyat. Namun, pandangan dan aspirasi yang lahir seharusnya bersifat objektif dan praktikal untuk masa depan. Cadangan ini juga perlu meliputi inisiatif yang boleh dilakukan bagi mencapai aspirasi yang dicadangkan. Jika perkara ini dapat dilaksanakan, secara tidak langsung satu kerangka yang jelas dapat dihasilkan.

Keempat, selepas pihak kerajaan mendapat semua maklumat dan aspirasi rakyat yang diperlukan. Satu jawatankuasa terdiri daripada cendekiawan, belia, golongan profesional dan pelaksana, pemimpin tempatan serta rakyat daripada pelbagai peringkat umur duduk berbincang dan menyenarai pendek keutamaan yang akan dijadikan fokus dan hala tuju bagi TN50. Maklumat dan aspirasi yang dikumpul mengikut keutamaan itu akan dijadikan sebagai rujukan bagi menjayakan aspirasi TN50. Kelima adalah mekanisme pemantauan dan pengukuran. Rakyat juga perlu mencadangkan mekanisme pemantauan dan pengukuran kepada cadangan dikemukakan. Mekanisme ini sebenarnya akan membantu pemimpin negara menilai sejauh mana pencapaian TN50.

Pengukuran yang dicadangkan perlu bersifat objektif dan senang difahami rakyat. Maka rakyat akan dapat melihat sejauh mana prestasi transformasi. Pemantau berkala juga perlu diwujudkan agar usaha dilakukan berterusan dan berkekalan sehingga kita mencapai sasaran dihasratkan. Bagi melicinkan usaha ini, pihak kementerian terbabit menggunakan pendekatan mengumpul maklumat dan aspirasi rakyat melalui Facebook, Twitter, Instagram, YouTube, Program Pengaktifan, Duta TN50 dan pelbagai lagi saluran yang efektif. Kesimpulannya, TN50 adalah satu usaha bersifat futuristik bagi menyediakan negara kita ke arah yang lebih maju pada masa depan. Penyediaan perancangan yang begitu teliti ini mampu untuk membawa rakyat Malaysia ke arah kemajuan yang terarah berdasarkan kepada acuan yang dibina sendiri oleh rakyatnya.

Oleh Mohammad Shafiq Abdul Aziz
Penulis adalah Pegawai Tadbir, Pusat Transformasi Insan, Jabatan Pendaftar, Universiti Sains Malaysia (USM)

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/276324
0 Komentar untuk " TN50 bersifat futuristik ikut acuan kita "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ