Mencari hikmah yang hilang - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Mencari hikmah yang hilang



KEBEJATAN dan kemunduran umat Islam ketika ini disebabkan kesilapan dalam meletakkan keutamaan dalam sesuatu permasalahan ataupun tiada hikmah dalam sesuatu tindakan.

Umat Islam perlu melakukan anjakan paradigma bermula daripada diri sendiri sebelum dapat memperbetulkan orang lain. Umat Islam perlu beralih dari perspektif konvensional kepada yang lebih baik lagi, beralih daripada mementingkan format dan simbol kepada hakikat dan kandungan. Beralih daripada perdebatan yang hanya mahu mementingkan kemenangan kepada muzakarah yang membuahkan hasil serta meminggirkan sikap emosional kepada menguasai ilmu.

Umat Islam juga perlu mengalihkan tumpuan daripada tidak habis-habis bercakap tentang masalah furuk (cabang) kepada menumpukan ke arah penyelesaian masalah pokok. Beralih daripada menyusahkan kepada memudahkan, sikap jumud dan taklid buta kepada ijtihad dan pembaharuan (pengislahan), sikap eksklusif kepada inklusif, berlebih-lebihan kepada sederhana, berkeras kepada hikmah dan pertelingkahan kepada perpaduan serta pendamaian.

Anjakan paradigma dalam erti kata lain, melakukan penghijrahan minda dan tindakan ini amat penting ke arah mengembalikan kecemerlangan umat Islam. Penghijrahan ini merupakan satu proses pembinaan tamadun sebagaimana qudwah yang ditunjukkan melalui sejarah seperti penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat ke Madinah dalam usaha memartabatkan agama Islam.

Syeikh Naquib Al-Attas mendefinisikan tamadun sebagai pembangunan yang seimbang antara lahiriah (fizikal) dan rohaniah (spiritual). Kedua-dua aspek ini adalah saling kait-mengait dan sangat penting dalam membentuk jati diri umat Islam yang sempurna. Inilah kehebatan Islam melalui bimbingan wahyu ALLAH SWT serta penjelasan daripada hadis Rasulullah SAW. Islam juga mempraktikkan konsep syumul dan tidak terikat asalkan menepati kehendak syariat Islam.

Dalam konteks dunia Melayu, Syamsul Alam MS dalam bukunya Sistem kebudayaan Melayu tradisi dan hubungannya dengan konsep Islam untuk pembangunan sosioekonomi, menjelaskan faktor-faktor memundurkan peradaban Melayu kepada beberapa faktor terpenting seperti kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka di tangan Portugis yang membawa kepada perubahan fundamental terhadap struktur perekonomian orang Melayu, kejatuhan kuasa politik telah melemahkan ekonomi serta penguasaan perdagangan orang Islam dan diganti dengan etnik lain mendominasi aktiviti perniagaan rantau ini.

Bakat dan keahlian masyarakat Melayu Islam dalam bidang perdagangan semakin merosot sementara sifat-sifat keusahawanan seperti kreatif, inovatif dan dinamik tidak lagi membudaya dalam kehidupan orang Melayu Islam di negara kita.

Sifat tidak peka kepada ekonomi, sistem politik dan sosial juga perlukan kepada revolusi minda dan tindakan yang lebih berani dan berpandu untuk mencapai kejayaan dalam semua aspek kehidupan.

Sudah tentu peradaban dan kecemerlangan sesuatu tamadun itu wahananya adalah ilmu. Hal ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika kamu ingin berjaya di dunia dapatkanlah dengan ilmu begitu juga di akhirat sana.”

Dengan ilmu umat Islam mampu berfikir dengan terbuka dan lebih matang untuk melihat segala permasalahan yang melanda, khususnya segala permasalahan yang berlaku di Malaysia pada hari ini. Jika umat Melayu Islam tidak mengkaji dan sambil lewa sahaja dalam membuat sesuatu keputusan serta tindakan ia sememangnya hanya akan merugikan umat Islam. Saya menjemput pembaca ruangan ini memikirkan bersama maksud tersirat ini dan hubungannya dengan apa yang berlaku di Malaysia pada hari ini.

Seperkara lagi yang saya perhatikan ketika ini ialah pelbagai isu yang melanda negara diukur dari parameter politik kepartian semata-mata dalam kalangan orang Melayu/Islam. Isu penggunaan kalimah ALLAH dalam kalangan orang bukan Islam umpamanya diungkapkan sebagai tindakan politik kepartian pihak-pihak tertentu walaupun sepatutnya dilihat dari kaca mata agama disesuaikan dengan uruf tempatan.

Sikap fanatik kepada politik kepartian dan tidak memahami waqi setempat menjadi salah satu faktor mengongkong kegemilangan umat Islam. Perpaduan umat Islam dalam isu Islam bukan lagi menjadi norma masyarakat Islam di Malaysia.

Ketika ini juga masyarakat lebih mementingkan hak asasi berbanding tanggungjawab yang hendak dilaksanakan. Hal demikian menjadikan seseorang itu lebih mementingkan diri sendiri berbanding kepentingan awam. Natijahnya umat Islam secara keseluruhannya tergelincir dari landasan kegemilangan itu sendiri.

Proses merealisasikan impian kejayaan Islam adalah bermula dari pada diri kita sendiri, ahli keluarga, masyarakat seterusnya negara.

0 Komentar untuk " Mencari hikmah yang hilang "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ